Delusi Ateisme 1.7 Adakah Teori Penciptaan (Creationism) Dalam Satu Peringkat Tunggal Boleh Diterima Di Sisi Kaedah Saintifik?

can-creationism-and-evolution-coexist

Hakikatnya, sesiapa yang mempunyai latar belakang dalam evolusi dan bagaimana ia terjadi secara saintifik, atau telah membaca sebuah buku yang ditulis oleh mana-mana Saintis Evolusi, meneliti respon mereka kepada hujah (pent: Hujah anti evolusi) atau sekurang-kurangnya membaca buku yang ditulis Darwin pada abad ke sembilan belas, di mana Darwin telah memberi hujah balas kepada pelbagai hujah anti evolusi, seterusnya meneliti pula hujah mereka yang memanggil diri mereka sebagai autoriti dalam bidang agama dan apa yang telah ditulis oleh agamawan, mereka akan segera mengetahui bahawa para agamawan ini cuba menanggapi isu yang mereka tidak mempunyai ilmu tentangnya. Mereka langsung tidak memahami tentang evolusi, atau bagaimana ia terjadi menurut saintis. Sebaliknya, mereka memahami evolusi dengan cara yang terbalik, dan kemudiannya terus berhujah dalam cara yang sangat cetek dan simplistik berdasarkan pemahaman yang terbalik. Kita juga mendapati mereka mengulangi hujah asal Darwin – yang mana Darwin telah bentangkan dan bantah di dalam bukunya – sama seperti mereka persembahkan penghujahan yang cetek dalam percubaan mereka untuk menafikan ketepatan prinsip dan kaedah pentarikhan geologi yang digunakan untuk menentukan umur batuan yang berada di lapisan lebih tua, walaupun ketepatan metod-metod ini tidak dapat dinafikan. 

 

Mereka berhujah menentang Teori Evolusi, bertanya soalan seperti mengapa khatan pada kanak-kanak tidak diwarisi, dan mengapa mawas yang dilatih berjalan tidak menurunkan sifat tersebut kepada keturunannya. Apabila orang-orang biasa membaca hujah ini, iaitu orang-orang yang tidak tahu apa itu evolusi – maka mereka mungkin akan terpedaya dengannya. Namun kepada mereka yang memahami evolusi dan bagaimana ia berfungsi, hujah-hujah ini adalah hujah simplistik. Sifat yang diwarisi oleh generasi seterusnya adalah sifat yang tertulis dalam pelan genetik organisme tersebut, bukan sifat yang diperolehi, seperti sifat berjalan bagi mawas yang dilatih atau kanak-kanak yang dikhatankan. Ini adalah sangat jelas kepada ahli biologi evolusi.

 

Di sisi yang lain, sesetengah orang yang menentang Teori Evolusi menggandaikan bahawa Biologi Evolusi menyatakan bahawa organ kompaun dan kompleks seperti mata wujud melalui mutasi tunggal. Darwin sendiri tidak menyebutkan perkara ini, apatah lagi saintis moden. Mereka sepatutnya menyangkal apa yang diajarkan di universiti terkemuka di serata dunia. Universiti-universiti ini tidak mengajarkan bahawa organ kompaun dan kompleks seperti mata terjadi melalui mutasi tunggal, atau malahan, puluhan atau ratusan ribu mutasi. Hakikatnya mereka ini jahil berkenaan asas Teori Evolusi. Jadi orang-orang ini mempersembahkan versi rosak teori tersebut, dan memberi respon berdasarkan pemahaman rosak mereka. Ini tidak boleh diterima bagi mereka yang membaca buku mereka, dan membuatkan para pembaca ini membuat kesimpulan bahawa para agamawan ini telah ditewaskan oleh teori evolusi, dan juga oleh gerakan ateis, sebuah gerakan yang cuba ditentang oleh agamawan menggunakan teori penciptaan dalam satu peringkat tanpa evolusi. Teori ini bukan sahaja bercanggahan dengan biologi, geologi sejarah dan arkeologi, malahan turut menyanggahi makna literal skriptur keagamaan. Ini akan dijelaskan apabila kita membincangkan skriptur keagamaan seperti Al-Quran, yang dengan jelas menunjukkan penciptaan terjadi dalam banyak peringkat dan melalui evolusi.

 

Satu soalan sudah memadai untuk meruntuhkan teori penciptaan dalam satu letusan yang mengecualikan evolusi. Tiada keraguan lagi, telah terbukti melalui sejarah geologi, apabila lapisan batu itu lebih tua, ia mengandungi organisme berdarjat lebih rendah, dan apabila lapisan batu itu lebih baharu, ia mengandungi organisme yang lebih berkembang dari lapisan sebelumnya. Isu di sini adalah isu perkembangan:dari bakteria kepada eukaryotes kepada organisme multi selular, sehingga menjadi ikan purba, kemudian vetebrata dan ikan, seterusnya makhluk amfibia dan haiwan darat, dan seterusnya.

 

Jadi persoalannya adalah: mengapa Tuhan mencipta makhluk hidup dalam beberapa letusan / peringkat dan dalam tempoh masa yang berbeza, sementara di setiap tempoh masa, Dia menciptakan makhluk yang lebih berkembang dari sebelumnya, sehingga menyebabkan sesiapa yang melihatnya mempercayai makhluk tersebut berkembang dari makhluk sebelumnya? Adakah mereka yang menafikan evolusi mengatakan bahawa Tuhan mahu menipu kita? Maha suci Tuhan dari perkara tersebut. Adakah mereka mempunyai  penjelasan yang logik dan saintifik, selain dari evolusi, untuk beberapa peringkat yang saling silih berganti dalam masa, perkembangan dan kompleksiti?

 

Sebagai contoh jika kita melihat paus dan dolfin yang sekarang ini tinggal di dalam air, yang dilihat berkembang dari mamalia yang hidup di darat, kita akan mendapati – berdasarkan fosil yang telah ditemui setakat ini – sebuah rantaian perantara organisme yang muncul secara berturut-turut dalam tempoh tersebut, setiap satu darinya terpisah selama jutaan tahun.

 

Mereka bermula sebagai mamalia darat, kemudian perlahan-lahan berkembang untuk tinggal di dalam air. Kita dapati setiap kumpulan berevolusi secara progresif untuk untuk hidup selesa di dalam air, sehingga akhirnya menghasilkan ikan paus.  Adakah ada sebarang penjelasan yang logik atau jawaban mengapa Tuhan menciptakan makhluk-makhluk ini dalam tempoh masa secara berturut-turut, sehingga menyebabkan sesiapa yang melihatnya membuat rumusan bahawa ikan paus adalah hasil dari rantaian organisme ini yang muncul secara berturutan dalam dari masa ke semasa, secara progresif ke arah kehidupan dalam air?!

 

Saya percaya tiada jawaban yang logik melainkan evolusi. Jika tidak, jawaban alternatif yang bercanggahan dengan sains, adalah dengan menuduh Tuhan melakukan semua ini untuk menipu manusia, namun maha suci Dia dari semua pertuduhan ini.

 

Apabila kita melihat ikan paus dan dolfin, kita akan dapati mereka berenang dengan menggerakkan badan mereka ke atas dan bawah dengan cara yang sama mamalia darat berlari. Mereka tidak berenang seperti ikan, yang mana kebanyakan mereka berenang dengan gerakan sisi ke sisi. Apabila kita memerhatikan ikan paus, kita mendapati mereka melahirkan anak dan menyusukan melalui susu yang dihasilkan oleh kelenjar susu, dengan cara yang sama dengan mamalia yang lain.

 

Kadang kala penentang evolusi juga terpaksa menggunakan buku tulisan ahli biologi dan ahli genetik yang menentang, atau bersifat kritikal terhadap teori evolusi, tanpa mereka mengetahui bahawa sesetengah dari mereka bukanlah menafikan evolusi, namun sekadar menganggapnya sebagai sebuah proses yang terkawal, atau mereka mempersembahkannya dengan cara yang baru. Sebagai contoh, saintis berselisih tentang bagaimana mutasi berinteraksi (kelajuannya, pemberhentiannya dll) untuk memberi kesan kepada kepelbagaian biologikal. Ada perbezaan yang besar antara mereka yang mengatakan teori evolusi itu benar dengan Tuhan mengawal proses tersebut dan mereka yang mengatakan teori tersebut batil.

 

Kepercayaan mereka yang sama adalah Tuhan itu wujud, bukan teori evolusi itu salah. Sebagai tambahan, tidak semua kenyataan dari biologis mempunyai nilai saintifik. Seseorang itu tidak sepatutnya hanya sekadar mempersembahkan pendapat, terutamanya pendapat yang diyakini oleh dirinya. Bukti dokongan juga perlu dipersembahkan agar manusia boleh melihat samada ia mempunyai nilai ilmiah, atau ia telah dinafikan secara saintifik, atau isunya telah diselesaikan. Banyak universiti dan pusat kajian di seluruh dunia yang mengguna pakai standard saintifik yang tepat ini dan mempunyai pakar yang menilai kertas-kertas kajian, buku dan pengkritik teori saintifik. Jika sememangnya ada kritikan saintifik yang berharga oleh pakar, universiti dan pusat kajian ini akan segera menggunapakainya, ia akan diterbitkan dan dipromosikan, seminar saintifik akan diadakan untuk membincangkannya.

 

Bagaimanapun, apa yang kita lihat adalah berlawanan. Hari ini, di semua universiti ternama seluruh dunia, teori evolusi adalah satu-satunya penjelasan kewujudan hidupan di bumi. Sesiapa yang mahu mencari kebenaran secara bersendirian dengan menjalankan kajian saintifik sekurang-kurangnya perlu mempunyai ilmu yang memadai dalam geologi sejarah, biologi evolusi, geneik, antropologi dan arkeologi. Mereka kemudiannya perlu membaca kritikan saintifik terhadap teori evolusi dan respon ke atasnya, agar kedudukan menjadi kukuh dan berharga secara saintifik. Bagaimanapun, jika seseorang hanya mengatakan ada sesetengah biologis telah memberi jawapan balas terhadap teori evolusi dalam buku tertentu, atau sesetengah saintis telah mengatakan bahawa teori evolusi itu adalah palsu, atau jika seseorang itu merujuki individu yang bukan seorang pakar dalam menilai teori tersebut, maka ini jelas adalah pendirian yang diadakan dan tidak saintifik. Apabila kamu membaca penilaian saintifik mereka, kamu akan mendapati kadang kala mereka kekurangan kredibiliti, kerana mereka mempersembahkan teori evolusi dengan cara yang licik, terbalik lalu kemudiannya memberi respon kepadanya (pent: dalam keadaan yang terbalik juga). Seolah-olah respon mereka adalah untuk orang-orang awam yang tidak tahu langsung tentang teori evolusi, dan menjadi alat pemasaran kepada kajian mereka yang tidak signifikan. Tiada asas saintifik untuk respon-respon ini. Malah respon ini hanya didasarkan kerana hakikat bahawa penulisnya mempunyai ijazah sarjana dalam biologi, atau di dalam bidang yang tidak relevan dengan topik, seperti kosmologi.

 

Kesimpulannya, sesiapa yang mengatakan mahu membantah teori evolusi tidak sepatutnya mengubahnya atau memutar belitkannya. Dia harus membantah teori ini seperti mana ia dipersembahkan di universiti terkemuka di seluruh dunia hari ini, bukan seperti yang dia bayangkan, atau seperti yang dipersembahkan secara salah oleh penentang teori ini.

 

Sebuah peringatan: Saya menyedari mereka yang menolak teori evolusi teleh mengulangi hujah yang sama, yang telah dibentangkan oleh saintis evolusi serta seterusnya diberi respon oleh mereka sendiri. Adalah tidak bersesuaian untuk mereka yang mendakwa sebagai orang berilmu dan mendakwa telah menafikan teori itu secara saintifik. Mereka patut membaca dan mengenali apa yang telah direspon oleh saintis evolusi terhadap penghujahan mereka, ada yang telah dibentangkan oleh Darwin sendiri pada abad ke sembilan belas. Oleh itu, sesiapa yang mengulangi hujah yang sama adalah mereka yang samada tidak mampu berdiskusi dan menafikan respon dari saintis evolusi kepada hujah-hujah ini, atau, beliau tidak membaca apa yang ditulis oleh saintis evolusi, dan tidak tahu bahawa para saintis ini adalah yang pertama membentangkan dan memberi respon terhadap penghujahan ini serta berdozen hujah yang lain. Apa pun, adalah tidak bersesuaian bagi mereka untuk menulis apa pun tanpa sebarang ilmu.

 

 


 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *