Delusi Ateisme 1.6 Beberapa Agamawan Syiah dan Teori Evolusi Bhg. 2

post-94256-0-90982800-1345671374Sayyid Muhammad Shirazi Dan “Dialognya” Bersama Darwin

 

Sayyid Muhammad Shirazi menjawab teori Darwin di dalam sebuah buku yang berjudul "Antara Islam Dan Darwin". Beliau menyebutkan dirinya di awal buku tersebut sebagai "Yang Mulia, Autoriti Agama Besar, Imam Shirazi, 'semoga dipanjangkan umur beliau'. Tidak ada salahnya bagi kita untuk meneliti penghujahan beliau ke atas sains sejarah geologi dan teori evolusi untuk menentukan samada ia mempunyai nilai saintifik, atau "beliau telah mendengar secara salah, lalu menjawab secara salah". Shirazi membayangkan apa yang Darwin akan jawab, dan menjawab bagi pihak Darwin, dan kemudiannya beliau akan menjawab di bawah nama "Muslim", nama yang dipilih untuk dirinya dalam "dialog" ini.

 

 Di dalam bukunya, Shirazi menulis:[1]

 

Darwin [Shirazi membayangkan apa yang akan diucapkan oleh Darwin]: Eksperimen itu adalah pemeriksaan dan bukti-bukti yang lain.

 

Pemeriksaan: Jika seseorang itu memeriksa lapisan-lapisan bumi, dia akan mendapati fosil-fosil tumbuhan, haiwan dan manusia. Fosil setiap lapisan ini adalah saling berbeza antara setiap lapisan. Selain itu, semakin hampir fosil tersebut kepada lapisan luaran bumi, maka ia menjadi semakin ideal, sementara jika ia semakin jauh dari lapisan luaran bumi, maka ia menjadi semakin kurang ideal.

 

Muslim [Shirazi merespon kepada kononnya jawapan Darwin]:  Bagaimana ini berkaitan dengan evolusi, mengetahui asal usul hidupan dan manusia dijadikan daripada monyet?

 

Darwin [ Shirazi membayangkan apa yang akan diucapkan oleh Darwin ]: Sekarang saya katakan, kaitannya adalah:

 

1. Lapisan bawah bumi mengandungi fosil cengkerang, span, batu karang, udang, ikan, organisme sel tunggal bercengkerang dan tumbuhan alfalfa.

2. Lapisan kedua mengandungi pokok pain, pokok palma, reptilia, burung, ikan dan marsupial.

3. Lapisan ketiga mengandungi ular, ikan paus, mawas dan pohon moden.

4. Lapisan keempat mengandungi mammoth, kuadraped berbulu, manusia dan semua pokok moden.

 

Muslim [Shirazi]:

 

Pertama sekali, bagaimana anda membuktikan semua lapisan fosil ini wujud? Dan bagaimana anda membuktikan dakwaan anda bahawa semua lapisan fosil ini berevolusi dari lapisan sebelumnya?

 

Kelima: Jika kita mengandaikan manusia tidak wujud di semua lapisan bawahan, adakah perubahan fosil secara berturut ini membuktikan evolusi sebagai benar? Bagaimana jika seseorang memberitahu anda bahawa Tuhan mencipta hidupan span di lapisan bawah ini dan seterusnya, bagaimana anda memberi respon?

 

Seterusnya, adakah kewujudan kereta kecil di tingkat bawah sebuah bangunan, kereta yang lebih besar di tingkat kedua, kereta yang lebih besar ditingkat ketiga dan seterusnya, kerana mereka mempunyai saiz yang pelbagai, membuktikan kereta ini berevolusi dengan sendirinya dan setiap satu darinya tidak dibina secara berasingan?

 

Sebagai tambahan, katakan ada satu tanah runtuh di bandaraya New York, dan 1000 tahun kemudian, seseorang menemui bangunan tersebut bersama aras-aras dan kereta-kereta. Adakah mereka boleh mengatakan seperti yang anda katakan? Bagaimana respon anda jika mereka berkata sedemikian?

 

Apa bezanya antara anda dan apa yang mereka katakan? (AI-Shirazi 1972. sumber bahasa Arab}.

 

Respon: Dengan begitu sahaja, dengan sedik gerakan pena, serta penghujahan yang sangat ringkas, beliau ingin memusnahkan sejarah geologi dan segala kemajuannya, dan kemampuannya untuk menentukan umur lapisan-lapisan bumi, dan seterusnya umur fosil yang berada di dalamnya. Shirazi berkata:

 

…bagaimana anda dapat membuktikan dakwaan anda bahawa semua lapisan fosil ini wujud?

 

Kemudian, di dalam dialognya, beliau mendakwa sains, Darwin (atau dengan sesiapa sahaja beliau berbicara) tidak dapat menjawab soalan-soalan ini!

 

Berkenaan dengan contoh bangunan tersebut, nampaknya Sayed Shirazi membayangkan ahli geologi mengklasifikasikan lapisan bumi berdasarkan susunan yang mana berada di atas atau bawah, tanpa apa-apa standard saintifik atau peraturan untuk mengurangkan risiko kesilapan secara signifikan. Jadi beliau membayangkan para geologis ini akan mengabaikan peristiwa alami seperti tanah runtuh, gempa bumi, letusan gunung berapi, atau pergerakan plat tektonik bumi tanpa sebarang perhatian kepada semua ini semasa mereka menetapkan standard saintifik untuk klasifikasi.

 

Sepatutnya beliau pertama sekali patut mengenali kaedah geologikal untuk mengklasifikasikan dan menentukan umur lapisan bumi, mekanisme konventional dan kaedah pemeriksaan, dan samada kaedah ini tepat atau tidak secara saintifik, agar beliau tidak mempersembahkan hujah yang sangat naif dan simplistik, namun dalam masa yang sama menyebutkan beliau sebagai seorang Imam dan seorang Ayatollah!

 

Umumnya, sesiapa yang mencari kebenaran hanya perlu menyiasat untuk mendapati kaedah saintifik berikut digunakan untuk mengklasifikasikan umur lapisan-lapisan bumi:

 

1. Kaedah Pentarikhan Relatif:

 

Kaedah ini bergantung kepada beberapa faktor termasuk: Untuk sebarang giliran lapisan batu yang tidak dirosakkan oleh bukaan atau lipatan, lapisan bawah adalah lebih tua dari lapisan atasnya, dan seterusnya. Oleh itu, menentukan lapisan yang lebih tua bukanlah secara rambang seperti yang dibayangkan oleh Shirazi, is adalah klasifikasi yang tertakluk kepada standard saintifik. Asasnya, kaedah ini menentukan umur lapisan batu secara relatif dengan lapisan batu yang lain, tanpa mengetahui umur sebenar bagi setiap lapisan.

 

2. Kaedah Pentarikhan Mutlak:

 

Kaedah ini mengguna pakai elemen radioaktif isotop. Apabila meningkat tua, nukleas sebuah atom itu akan mereput dan membentuk isotop radioaktif.

 

Pereputan ini berlaku pada kadar tetap bagi setiap elemen. Oleh itu, tempoh masa bagi lapisan batu yang mengandungi isotop radioaktif dapat dikira dengan membandingkannya dengan isotop asal yang diketahui. Kaedah ini telah masyhur selama berdekad lamanya, dan diketahui lama sebelum Shirazi menulis bukunya. Sekarang ia digunakan untuk menentukan umur lapisan batu dengan ketepatan tinggi. Beberapa isotop digunakan untuk menentukan umur batu, fosil dan bahan organik, seperti Carbon (C) dan Argon (Ar)

 

Inilah bagaimana Shirazi memberi respon kepada Darwin dan para Saintis Evolusi:

 

"Dan bagaimana anda membuktikan dakwaan bahawa fosil di setiap lapisan ini telah berevolusi dari lapisan sebelumnya?"

 

Jawaban bagi soalan ini sangat mudah. Kita ada lapisan bumi, setiap satu di atas lapisan yang lain, yang telah diperiksa menggunakan kaedah saintifik yang berketepatan tinggi tanpa sebagai ruang untuk kesalahan. Kita telah mendapati lapisan bawah adalah yang paling tua, dan lapisan atas adalah lapisan yang paling baru, perbezaan umur antara lapisan sesetengahnya mencapai ratusan juta tahun.

 

Lapisan yang lebih tua mengandungi organisme yang primitif, dan semakin kita bergerak ke atas, organisme menjadi semakin maju, berevolusi dan kompleks.

 

Oleh itu, tidak dapat dikatakan bahawa keseluruhan proses penciptaan terjadi dalam satu letusan, kerana sesetengah organisme ini datang selepas ratusan juta tahun dari organisme yang lain. Malah, kompleksiti dan kepelbagaian jasad datang setelah  jasad yang ringkas selama ratusan juta tahun.

 

Analisis, klasifikasi dan perbandingan organisme kemudiannya dilaksanakan dengan kaedah saintifik yang ketat, seperti Perbandingan Anatomi, dengan alatan analitikal yang paling canggih. Berdasarkan bukti saintifik dan kajian, didapati fosil-fosil ini adalah generasi organisme yang telah berevolusi dari organisme yang lain.

 

Sesiapa yang menolak keputusan ujian dan keputusan saintifik ini akan mengatakan organisme ini dicipta secara terus, setiap kumpulan pada tempoh waktunya. Bagaimanapun, mereka harus menerangkan mengapa Tuhan menciptakan mereka dalam kumpulan dan menampakkan seperti setiap satu darinya berevolusi dari yang lain. Adakah ia untuk menipu manusia?! Yang Maha Besar adalah jauh dari pertuduhan ini.

 

Oleh itu, isunya mudah: Organisme ini telah berevolusi dari sesama mereka.

 

Hari ini, kita dapat menguji perkara ini di dalam makmal, memanipulasi gene dan mencipta organisme dari spesis baru.

 

Shirazi juga berkata:

 

Kesembilan: Andaian bahawa sel pertama adalah sel hidup tidak cukup untuk memberikan kehidupan kepada jutaan atas jutaan organisme. Adakah kewujudan sekeping besi menjelaskan kewujudan jutaan tan besi? Semestinya tidak! (Al-Shirazi 1972, Diterjemahkan).

 

Respon: Saya tidak pasti samada Shirazi memahami konsep pembiakan. Adakah beliau tahu di dalam makmal, satu sel bakteria tunggal boleh menggandakan diri untuk membentuk jutaan sel bakteria?! Saya percaya ini sudah memadai untuk membuktikan penggandaan kehidupan adalah satu perkara yang semulajadi dan biasa, setelah material dan persekitaran yang sesuai tersedia. Saya percaya bahawa tidak dapat dinafikan, bumi menyediakan keadaan yang mencukupi untuk hidupan berkembang, dan ini adalah sesuatu yang dapat diuji dengan mudah di dalam makmal. Variasi hidupan adalah sangat semulajadi dan tidak dapat dielakkan, selagi kita ingat bahawa wujud asas untuk kehidupan fizikal – pelan genetik –  dan wujud mutasi yang sentiasa terjadi dalam pelan ini yang menghasilkan variasi. Jika variasi, pembiakan dan alam semula jadi yang memilih hidupan yang paling kuat untuk terus hidup itu wujud, dan organisme hidup mewariskan gen mereka kepada generasi seterusnya melalui reproduksi, evolusi pasti akan terjadi.

 

Shirazi juga berkata :

 

Kedua: Jika alam semulajadi memilih yang terkuat, mengapa tumbuhan dan haiwan primitif masih wujud? Mengapa alam semulajadi tidak menukarkan mereka kepada bentuk terbaik?

 

Ketiga: Mengapa anda melihat [2] haiwan yang kurang kuat menyerang yang kuat dan membunuh mereka yang lebih kuat? Sebagai contoh, singa membunuh manusia, haiwan berbisa seperti kala jengking dan ular menyengat dan menggigit manusia (iaitu haiwan yang lebih kuat) dan membunuh mereka, kuman (mikrob) membunuh manusia yang lebih kuat.

 

Keempat: Mengapa benda yang lebih kuat berubah menjadi kurang kuat? Seperti mana manusia menjadi lemah lalu mati, dan kemudiannya menjadi tanah, perkara yang sama terjadi kepada tumbuhan dan haiwan.

 

Kelima: Mengapa wujud fosil haiwan yang telah pupus, yang tergolong dalam haiwan dari kalangan kelas atasan, dari sudut saiz badan dan kesempurnaan bentuk..?

 

Keenam: Apakah sebenarnya bentuk "alam semulajadi yang memilih?"

 

Jika ia mempunyai akal, pemahaman dan perasaan, maka apakah ia?

 

Jika ia tidak mempunyai akal atau pemahaman, maka bagaimana ia memilih?

 

Jika seseorang mengatakan "kepingan besi itu telah memilih batu bata menjadi pasangannya", bukankah ia kedengaran mengarut dan tidak masuk akal?

 

Bagaimana alam semulajadi boleh disebutkan dengan sifat "pemilihan ini" yang lebih baik dari pemilihan semua saintis, bijak pandai, para filsuf, ahli ilmu, pemahaman dan pengalaman?!(Al- Shirazi 1972, diterjemah) .

 

Respon: Kenyataan Shirazi bahawa mawas dan tumbuhan tidak berevolusi adalah batil. Ini adalah perkara sejarah yang dapat dibuktikan dengan mudah berdasarkan perbandingan fosil, serta merujuk kepada fakta berkaitan arkeologi dan fosil. Sebagai contoh, telah terbukti bahawa tumbuhan berbunga tidak wujud di masa silam, jadi tumbuhan telah berevolusi. Mawas juga telah berubah dan berevolusi, mawas yang kita lihat hari ini adalah berbeza sama sekali dengan mawas pertama. Tidak wujud mawas besar di masa silam, malah 70 juta tahun yang lepas, tidak wujud mawas sama sekali. Yang wujud hanyalah mamalia kecil, yang mana makhluk masa kini, termasuk mawas, berevolusi darinya, setelah dinasor menjadi pupus.

 

Berkenaan dengan kenyataan Shirazi berkaitan haiwan yang lebih rendah kedudukannya membunuh individu dari kalangan atasan:

 

Sebagai contoh, singa memburu manusia, haiwan berbisa seperti kala jengking dan ular mengigit atau mematuk manusia (i.e haiwan yang lebih kuat) lalu membunuh mereka, dan kuman (mikrob) membunuh manusia yang lebih kuat. Andaian beliau bahawa contoh ini adalah penafian kepada pemilihan semulajadi membuktikan beliau tidak mempunyai pemahaman dalam perkara ini. Singa, kala jengking, ular, bakteria dan virus semuanya mewakili kaedah alam semulajadi yang mengelilingi sesuatu spesis yang sedang menjalani pemilihan – dalam contoh beliau, adalah manusia.

 

Kaedah ini memilih individu yang terkuat, atau mereka yang dapat mengelakkan dan mengalahkan halangan-halangan ini, dari kalangan spesis itu untuk terus hidup dan mewariskan gen mereka kepada generasi seterusnya. Sebagai tambahan, ahli dari spesis yang sama kadang kala memainkan peranan sama dengan lebih agresif berbanding ahli spesis yang lain, kerana mereka bersaing untuk ruang yang terhad di dalam persekitaran yang dikongsi bersama,

 

 

Saya akan persembahkan sebuah contoh berdasarkan standard Shirazi untuk membantu mereka yang terpedaya dengan beliau untuk memahami apa yang saya katakan:

 

Andaikan kita berada 2 juta tahun yang lepas di mana sebuah spesis manusia bernama Homo Erectus wujud. Spesis ini mempunyai otak yang kecil (lebih besar dari chimpanzi namun lebih kecil dari Homo Sapiens, atau manusia moden). Adalah dipercayai spesis manusia moden, Homo Sapiens, berevolusi dari Homo Erectus dan menjadi spesis yang berasingan dua ratus ribu tahun yang lepas. Sekarang mari kita bayangkan bahawa kita sekarang sedang memerhatikan sekumpulan Homo Erectus yang terdiri daripada 10 betina remaja dan 10 jantan remaja, yang dikelilingi oleh pemangsa yang merbahaya seperti singa, haiwan berbisa seperti kala jengking dan ular dan bakteria merbahaya. Kumpulan 10 orang remaja ini berbeza antara satu sama lain, seperti biasa, sesetengahnya tinggi, dan ada juga yang rendah.

 

 

Ada yang mempunyai kaki yang lurus, dan ada juga yang mempunyai kaki yang bengkok sedikit, sifat yang diwarisi yang memperlahankan kelajuan mereka. Sesetengahnya mempunyai badan yang kuat, ada juga yang lemah. Sesetengahnya mempunyai ketahanan yang tinggi terhadap bakteria, dan sesetengah yang lain mempunyai ketahanan yang rendah terhadap bakteria. Ada yang mempunyai otak yang lebih besar dari yang lain, dan ada juga yang berotak kecil. Maka apabila mereka diserang oleh pemangsa, yang terkuat, paling laju dan paling cerdik dari kalangan mereka selalunya akan terus hidup, sementara yang paling lemah, paling lambat dan kurang cerdik akan mati.

 

Sebagai contoh, mereka yang cerdik akan menjumpai satu cara untuk menghalang ular dari mematuk lebih kerap dari yang kurang cerdik, dan dengan ini, yang lebih cerdik (mereka yang mempunyai otak yang lebih besar dan bagus) akan terus hidup, menjadi dewasa, membiak dan mewariskan gen nya kepada generasi baru. Dengan cara ini, generasi selepas generasi, berdasarkan variasi, pemilihan dan reproduksi, saiz otak dan kelurusan kaki akan tertegak lebih kuat, sama juga dengan ketahanan terhadap bakteria serta sifat yang lain. Sama juga, manusia, rusa, ular dan bakteria semuanya akan menjadi sebahagian dari alatan alam semulajadi kepada singa.

 

Oleh itu, jika kita mempunyai dua ekor singa, salah seekor dari mereka adalah kuat dan laju, sementara seekor lagi lebih lemah dan lambat, ke tahap lebih lambat dari kelajuan purata seekor rusa dan antelop yang tinggal di persekitaran tersebut, singa itu berkemungkinan besar akan mati, atau menjadi terlalu lemah sehingga tidak dapat bersaing dengan jantan yang lain, membiak, melahirkan dan mewariskan gen kepada generasi seterusnya. Sementara, singa yang kuat dan laju berkemungkinan besar dapat mengawan, membiak dan mewariskan gennya. Inilah caranya alam semulajadi memilih mereka yang paling mampu terus hidup dan bertahan di dalamnya. Berkenaan dengan rusa, singa adalah alatan alam untuk memilih dengan cara alam akan memilih rusa yang laju, yang paling mampu mengelak dan melepaskan diri dari pemangsa. Dengan cara ini, gen yang paling mampu bertahan dengan alam semulajadi akan berterusan, sementara gen yang tidak mampu bertahan akan dihapuskan. Jadi inilah pemilihan semulajadi dan keberterusan hidup bagi yang paling kuat, dan ianya bukanlah seperti yang difahami oleh Shirazi – bahawa ahli spesis yang kurang maju tidak dapat mengapa-apakan spesis yang lebih maju. Beliau mempersembahkan hujah beliau berdasarkan kepada salah faham ini. 

 

Baki penghujahan Shirazi adalah berdasarkan salah faham beliau tentang pemilihan semula jadi. Jika beliau tahu bahawa pemilihan semulajadi itu adalah keberterusan hidup bagi yang terkuat untuk hidup dan membiak di dalam persekitaran semulajadi organisme tersebut, maka beliau tidak akan mempersembahkan penghujahan yang sangat ringkas ini. Sebagai contoh, pemilihan semula jadi bagi haiwan yang tinggi yang tinggal di persekitaran yang mana makanan ada pada ketinggian tertentu bermakna haiwan yang cukup tinggi untuk mendapatkan makanan akan mewariskan sifat ketinggian kepada keturunan mereka. Ia juga bermakna, haiwan yang rendah akan samada mati, atau mereka tidak dapat mencari makanan yang mencukupi untuk membiak dan mewariskan gen mereka kepada generasi seterusnya.

 

Sebagai tambahan, sebuah persekitaran yang dapat memberikan makanan yang banyak kepada haiwan tertentu akan membenarkan ia bertambah saiz setiap kali ada mutasi yang memberika gen untuk pertambahan saiz. Oleh itu, pemilihan semulajadi untuk yang terkuat bermakna kondisi di dalam alam semulajadi tersebut yang membenarkan keberterusan hidup bagi sesetengah individu dari spesis tersebut yang mempunyai gen yang terpilih, dalam masa yang sama tidak membenarkan keberterusan yang lain. Ini kerana kondisi ini sesuai untuk individu yang terselamat, bukan untuk mereka yang mati – mereka yang tidak mewariskan gen mereka kepada generasi seterusnya kerana mereka tidak membiak.

 

Shirazi juga menulis dialog rekaan berikut

 

Darwin:  Bukti kedua adalah evolusi, yang terjadi dalam banyak spesis haiwan. Jadi kita melihat jika seorang manusia dilahirkan dalam cuaca dingin, dia akan menjadi putih. Perkara yang sama juga terjadi pada haiwan. Maka satu spesis mempunyai keadaan, bentuk dan sifat tertentu dalam setiap persekitaran. Sama juga pada tumbuhan. Oleh itu, jika ianya mungkin, maka tiada beza antara evolusi melintang, yang mana warna, saiz dan sifat sesuatu haiwan berubah kerana perbezaan cuaca dan keadaan lain, dan evolusi menegak, yang mana satu sel berubah menjadi tumbuhan, tumbuhan menjadi binatang dan binatang menjadi manusia.

 

Muslim [Shirazi]: Kesimpulan anda agak aneh, ada dua cara untuk melihat perkara ini di sini:

 

1. Individu haiwan, tumbuhan atau manusia berbeza sedikit sekali bergantung kepada perbezaan persekitaran dan cuaca, sementara dalam masa yang sama, semua individu ini tergolong dalam spesis yang sama, sama halnya dengan manusia, ada yang hitam, merah atau kuning.

 

Atau semua ahli spesis adalah beruang, namun semua beruang polar mempunyai sifat tertentu, sementara beruang lain di kawasan yang lebih panas mempunyai sifat yang lain.

 

Atau semua ahli spesis adalah pohon gandum, namun gandum Iraq mempunyai sifatnya dan gandum Australia ada sifatnya.

 

2. Bahawa satu perkara itu berbeza secara drastik berdasarkan perbezaan persekitaran, sebagai contoh, menjadi mawas dalam satu persekitaran, atau manusia / tumbuhan di persekitaran yang lain, walaupun semua mereka mempunyai asal usul tunggal.

 

Dari apa yang kami perhatikan, dan apa yang semua orang tahu ia benar, adalah pemerhatian pertama.

 

Berkenaan dengan pemerhatian kedua, apakah bukti anda untuk membuktikannya?

 

Ia seperti mengatakan:

 

Sama seperti tanah liat yang boleh digunakan untuk membuat bata, tembikar dan bahan binaan, ia juga boleh digunakan untuk membuat besi, batu permata dan air.

 

Adakah mungkin ada analogi seperti ini?

 

Darwin: Saya sedang berfikir!

 

Muslim [Shirazi]:Maka pembuktian kedua anda telah dinafikan. Apa bukti kamu yang ketiga? {Al-Shirazi 1972. Sumber bahasa Arab, diterjemah}.

 

Respon: Darwin telah difitnah dalam dialog imaginasi Shirazi. Darwin tidak pernah membahagikan evolusi secara menegak atau melintang, beliau juga tidak pernah mengatakan sebuah sel boleh berubah menjadi tumbuhan, tumbuhan menjadi binatang, atau seekor binatang menjadi manusia. Beliau juga tidak memperjuangkan transmutasi, sama seperti para ahli Biologi dan punctuationis.

 

Berkenaan dengan kata-kata Shirazi:

 

Dari apa yang kami perhatikan, dan apa yang semua orang tahu ia benar, adalah pemerhatian pertama.

 

Ini bermakna Shirazi telah mengakui evolusi tanpa menyedarinya. Beliau telah mengakui evolusi dalam had sebuah keluarga spesis, seperti keluarga Ursidae, sementara beliau menolaknya apabila ia mencapai tahap pemisahan taxonomi yang lebih tinggi. Oleh itu, beliaulah yang harus mempersembahkan bukti bahawa evolusi terhenti pada had sebuah keluarga spesis. Mengapa ia tidak mencapai pemisahan di tahap yang lebih tinggi, sebuah tahap yang mesti dicapai dengan berlalunya masa, memandangkan ia adalah hasil normal pengumpulan evolusi dalam suatu tempoh?

 

Kita mempunyai mutasi genetik yang pasti membawa kepada kepelbagaian. Kombinasi mutasi genetik, pemilihan semulajadi dan pembiakan akan membawa kepada kemunculan sifat yang baru dan khusus dalam sesebuah organisme, seperti saiz, bentuk, jenis rambut, kuku dan lain-lain. Perbezaan sifat ini menjadi jelas setelah beberapa ketika, perubahan ini terkumpul sedikit demi sedikit. Shirazi dan orang-orang seperti beliau menerima semua perkara ini namun ia terhad dalam konteks satu keluarga spesis sahaja. Ini bermakna mereka menerima fakta bahawa pengumpulan sifat perbezaan ini terjadi selama lebih ratusan ribu tahun, atau mungkin lebih dari beberapa juta tahun. Namun Shirazi tidak menerima bahawa perbezaan ini akan mencapai perubahan kepada spesis keluarga yang lain, walaupun pembezaan ini tidak dapat dielakkan akibat daripada pengumpulan variasi dalam tempoh waktu tertentu – puluhan juta tahun sebagai contoh. Ini cukup panjang untuk menekankan perpisahan spesis ini dalam satu jalan yang besar, menghasilkan klasifikasi biologi ke dalam keluarga spesis yang baru.

 

Beliau menerima bahawa adanya modifikasi secara berterusan dan pengstrukturan semula organisme bergantung kepada persekitarannya. Pengstrukturan dan modifikasi ini bertanggungjawab ke atas variasi antara beruang kutub dan beruang matahari, dengan mengambil kira perbezaan besar antara keduanya dalam bentuk, saiz, berat, warna, jenis makanan dan metabolisme. Bagaimanapun, Shirazi menolak penghujahan bahawa pengstrukturan dan modifikasi ini mencapai tahap variasi sehingga meletakkan hidupan ini dalam keluarga yang baru, sebagai contoh. Jadi Shirazi perlu memberikan bukti untuk ini, pengklasifikasian adalah hasil yang tidak dapat dielakkan akibat dari pengumpulan pengstrukturan dan modifikasi. Ia adalah proses yang bergantung kepada mutasi genetik,  dan dalam alam semulajadi adalah boleh secara teorinya untuk sebuah mutasi genetik membentuk spesis, genus dan keluarga baru apabila diberikan masa yang mencukupi.

 

Telah dibuktikan di dalam makmal bahawa gen dapat diubah strukturnya. Ini dapat dilakukan dengan cara yang tidak terkawal seperti pendedahan radioaktif atau dalam cara yang terkawal, seperti yang dilakukan secara meluas hari ini.

 

Malah, kita telah mencapai tahap di mana pelan genetik bakteria yang lengkap dapat dibina dengan menggunakan bahan kimia yang bukan hidup. Dengan cara ini, adalah mungkin secara teorinya, untuk menghasilkan manusia di dalam makmal dengan menggunakan ovum dan sperma Chimpanzi, atau hanya menggunakan nukleus sel seekor Chimpanzi dan ovum seorang wanita yang dibuang nukleusnya. Apa yang perlu kita lakukan adalah mengubah kromosom chimpanzi agar mempunyai nombor yang sama dengan kromosom manusia, yang mana secara teorinya bermungkinan.

 

Kita telah mencapai tahap yang lebih jauh dari ini. Sama seperti pelan genetik bakteria yang sempurna telah dikeluarkan dalam makmal dengan menggunakan bahan kimia bukan hidup, dan kemudiannya ia diimplankan kepada cytoplasma bakteria dan kromosom itu mampu untuk terus hidup dan mereplikasi dirinya, sebuah pelan kromosom manusia yang sempurna juga boleh dihasilkan dengan menggunakan bahan kimia bukan hidup [Alleyne 2010], kerana perbezaan antara kromosom bakteria dan manusia adalah sama seperti perbezaan antara bangunan kecil dan besar, kerana keduanya mempunyai bahan binaan yang sama. Kita patut  mengambil perhatian bahawa klasifikasi biologi antara manusia, chimpanzi, gorila dan orangutan meletakkan semua mereka dalam satu keluarga, Mawas Besar, sama seperti semua beruang diletakkan dalam satu keluarga, Ursidae. Perbezaan antara manusia dan chimpanzi adalah sama seperti perbezaan antara beruang matahari dan beruang kutub. Malah, perbezaan antara chimpanzi dan manusia adalah kurang dari apa yang ditemui antara beruang matahari dan beruang kutub. Oleh itu, apabila Shirazi menerima evolusi itu wujud, namun menilainya hanya terhad kepada dalam keluarga sesuatu spesis sahaja, tanpa menyedari apa yang dikatakannya, beliau telah mengakui chimpanzi, bonobos dan manusia telah berevolusi dari asal usul yang sama, kerana semua mereka adalah adalah ahli satu keluarga.[3]

 

Berkenaan dengan kenyataan beliau:

 

Ia seperti mengatakan: Sama seperti tanah liat yang boleh digunakan untuk membuat bata, tembikar dan bahan binaan, ia juga boleh digunakan untuk membuat besi, batu permata dan air.

 

Ini tidak mempunyai apa-apa makna kerana pembuatan bata dari tanah liat tidak mengubah atom pada peringkat partikel nuklear. Maka kita tidak boleh membandingkan perkara ini dengan perubahan tanah liat kepada elemen lain seperti besi, sebagai contoh, kerana transformasi sebuah elemen kepada elemen yang lain memerlukan pengstrukturan partikel nuklear. Kita mempunyai dua peringkat yang berbeza sama sekali di sini, maka perbandingan ini tidak mempunyai apa-apa makna. Tiada makna juga bagi Shirazi untuk membandingkan contoh ringkas ini dengan apa yang terjadi dalam evolusi, kerana variasi dalam evolusi terjadi pada peringkat molekul tunggal, iaitu pengstrukturan kromosom yang mempunyai komposisi molekul yang sama dalam semua organisme. Satu-satunya perkara yang berbeza antara kromosom dalam setiap organisme adalah susunannya. Hakikatnya, adalah lebih baik bagi beliau jika tidak membuat sebarang perbandingan. Dan dengan ini saya mengakhiri respon saya, namun tidak ada masalah untuk menjelaskan perkara ini dengan lebih mendalam.

 

Nampaknya Shirazi tidak memahami apa yang beliau katakan kerana berkenaan evolusi hidupan, kita sedang bercakap tentang pengstrukturan kromosom – iaitu bahan binaan untuk hidupan. Dan apabila membandingkan kromosom kepada elemen, analoginya adalah pengstrukturan nuklei atomik – bahan binaan bagi elemen.

 

Element kimia boleh dibentuk dan distruktur. Hanya saja jika beliau bertanyakan mana-mana ahli astrofizik atau ahli fizik, beliau akan mengetahui bahawa besi dihasilkan dari elemen lain dalam alam semesta di sekeliling kita, dan dihasilkan dalam jumlah yang besar. Besi dan banyak elemen yang lain dihasilkan dari pelakuran nuklear, sebuah proses yang terjadi pada bintang-bintang di sekeliling kita. Pelakuran nuklear menyebabkan pengstrukturan dan pembentukan elemen. Jadi apabila perbincangan kita adalah berkenaan peringkat subatomik, dan ia adalah berkenaan transformasi nuklei atomik, maka tiada beza antara besi, oksigen, karbon, helium dan hidrogen, kerana semua mereka dibina dari bahan binaan yang sama.

 

Oleh itu, sebuah elemen boleh diubah dan distruktur semula untuk menghasilkan material lain dari bahan binaan utama yang sama dengan elemen tersebut. Inilah yang terjadi di dalam bintang apabila mereka membakar hidrogen dan helium. Nuklei elemen yang lebih berat, yang mengandungi lebih banyak proton dan neutron dihasilkan hasil dari gabungan nuklei elemen yang ringan. Dengan cara ini, carbon, oksigen dan lebihan elemen dihasilkan sehingga menjadi besi, sebuah elemen yang paling stabil. Kemudian, apabila letupan bintang supernova yang besar  terjadi, proses pelakuran  nuklear memproses lebih dari besi, iaitu kepada elemen yang lebih berat seperti Uranium.

 

Jadi kita boleh membuat besi dari elemen lain jika kita dapat mengawal partikel nuklear atomik (proton dan neutron). Apa yang kita perlukan adalah sejumlah tenaga yang besar  untuk mencipta sebuah jarak yang kecil antara partikel-partikel ini supaya tenaga nuklear dapat mula bekerja dan terjadinya pelakuran nuklear. Jumlah tenaga sebesar ini wujud dalam bintang-bintang sebagai contoh. Atas sebab ini, pengeluaran satu elemen dari elemen yang lain sentiasa terjadi dalam alam semesta di sekeliling kita.

 

Bagaimanapun, adalah lebih mudah untuk menghasilkan nuklei yang lebih ringan dari nuklei yang lebih berat, kerana ia tidak memerlukan jumlah tenaga yang besar. Kita hanya perlu mencetuskan pembelahan nukleus yang tidak stabil, seperti nukleus Uranium – 235.

 

Inilah yang terjadi dalam reaktor nuklear, namun dalam keadaan yang dikawal. Sebagai contoh, ia boleh dikawal dengan menambah material seperti aloi kadmium untuk menyerap lebihan neutron agar pembelahan nuklear bergerak pada kadar yang boleh diterima, daripada kadar yang mendadak dan tidak terkawal seperti yang terjadi pada bom atom.

 

 


[1] Muhammad Al-Shirazi (1928-2001) adalah seorang ulama Syiah Iran.Beliau menulis banyak buku dalam pelbagai subjek termasuk politik, sains dan agama.

 

[2] Versi elektronik tertulis: "Anda tidak melihat". Ini menyebabkan kenyataan beliau menjadi kotradik dan mungkin terjadi akibat kesalahan ejaan atau kekeliruan.

 

[3] Richard Alleyne, ‘Scientist Craig Venter Creates Life For First Time ln Laboratory Sparking Debate About ‘Playing God", Telegraph.Co.UK, last modified 2010, accessed December 10, 2015, http://www.telegraph.co.uk/news/science/7745868/scientist-Craig-Venter-creates-life-for-first-time-in-laboratory-sparking-debate-about playing-god.html.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *