Delusi Ateisme 1.6 Beberapa Agamawan Syiah dan Teori Evolusi Bhg. 1

دیدار اعضای مجلس خبرگان رهبری دیدار اعضای مجلس خبرگان رهبری[/caption]

Tidak semua ulama-ulama Syiah telah menolak teori evolusi. Hakikatnya ia boleh difahami daripada kenyatan-kenyataan mereka bahawa sebilangan dari mereka telah pun menerimanya. Bagaimanapun, saya belum menjumpai sebarang kenyataan tentang penerimaan yang jelas dan nyata daripada mereka yang menerangkan bagaimana ianya selari dengan agama secara umum, atau dalam kitab-kitab agama, dan lebih tepatnya dari Al-Quran.

 

Dalam bab ini , saya akan membincangkan tentang pendapat-pendapat beberapa pihak yang menentang evolusi, seterusnya menilai isi kandungan kenyataan-kenyataan mereka di atas neraca sains dan menilai sejauh mana kebenarannya.

 

Shaikh Jafar Sobhani

 

Di dalam buku beliau, AI-Manhaj Al Tafsiriyya (Kaedah Penafsiran), Sheikh Jafar Sobhani [1] menulis:

 

Charles Darwin telah menerbitkan buku beliau berjudul The Tranformation of Species pada tahun 1908. Berdasarkan kajian beliau, beliau membuktikan bahawa manusia adalah spesis yang terakhir dalam rantaian pengevolusian dan rantaian ini merujuk kembali kepada sejenis haiwan yang menyerupai seekor kera.

 

Lantas beliau memadankan bapa-bapa dan nenek moyangnya pada satu susur galur yang khusus, dengan sebuah puisi yang berbunyi:

 

"Mereka adalah bapa-bapaku, maka aku juga seperti mereka…"

 

Ketika teori ini diperkenalkan, ianya kurang diterima oleh rata-rata kumpulan agama di kalangan penganut Kristian, Islam dan Yahudi. Mereka bersepakat bahawa manusia adalah makhluk yang unik di mana rantaiannya merujuk kembali kepada Adam, bapa kepada seluruh umat manusia yang diciptakan dalam bentuk rupa fizikal sekarang tanpa ada sebarang kaitan dengan haiwan.

 

Tambahan lagi, sebilangan kelompok yang naif menggunakan pendekatan hipotesis yang sama sebagai hujah kepada percanggahan antara sains dan agama, dan untuk memisahkan diantara satu sama lain. Mereka mendakwa bahawa urusan agama adalah berbeza dengan sains, walaupun ada kalanya bertepatan dan pada masa-masa yang lain menyimpang darinya.

 

Terdapat juga sebilangan yang tidak percaya dalam pemisahan sains dari agama, justeru mereka cuba untuk mengaitkan Al-Quran di dalam hipotesis tersebut. Dalam menjayakan usaha ini, mereka telah menafsirkan pelbagai ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh kepada penciptaan manusia tidak lain hanya untuk menepati hipotesis tersebut.

 

Perdebatan ini menjadi hangat diantara kelompok yang cenderung dalam mengambil hujah-hujah agama secara literal dan kelompok yang cenderung dalam penafsiran sahaja. Masa berlalu, hipotesis yang telah dicanangkan di atas – dan perihal penciptaan manusia yang mendokongnya – ternyata adalah tidak benar. (Sobhani 2005, 45. Sumber Bahasa Arab, diterjemahkan)

 

Kelihatannya seperti Sheikh Jafar, semoga Allah menunjukkan beliau jalan kebenaran, juga gemar berseloroh. Beliau telah menulis, “Mereka adalah bapa-bapaku, maka aku juga seperti mereka,” tanpa menyedari “bapa-bapa” tersebut, sebagaimana yang telah dibahasakan oleh Sheikh Jafar, tidak lain dan tidak bukan secara fizikalnya merujuk kepada nenek moyang yang sama dimaksudkan oleh ahli biologi Charles Darwin. Justeru itu, sekiranya terbukti mereka adalah nenek moyang kepada Darwin, maka mereka juga adalah nenek moyang kepada Jafar Sobhani, malah nenek moyang kepada setiap manusia di muka bumi ini.

 

Sebaliknya, sekiranya terbukti bahawa mereka adalah bukan nenek moyang kepada Jafar Sobhani, atau “bapa-bapa”, maka semestinya mereka juga bukan nenek moyang kepada Darwin. Pembuktian atau penafian perkara ini adalah berhubung rapat dengan sains, yang mana saya meragui Sheikh Jafar dan autoriti agama Syiah (Rujukan Keagamaan) mempunyai kredibiliti untuk memperhalusi dan mengolahnya secara saintifik. Ini ternyata benar jika dilihat pada kenyataan Sheikh Jafar terhadap teori Darwin yang penuh dengan ralat. Beliau mendakwa Charles Darwin menerbitkan bukunya The Transformation of Species pada 1908, tetapi Darwin hakikatnya telah meninggal pada tahun 1882, dan beliau tidak pernah menulis buku yang bertajuk The Transformation of Species. Walaubagaimanapun, beliau pernah mengarang sebuah buku yang bertajuk The Origin of Species, diterbitkan pada tahun 1859, yang mana tidak langsung mengulas perihal asal usul manusia. Beliau menyentuh tentang asal usul manusia dan hubungannya dengan kera di dalam bukunya yang lain berjudul The Descent of Man and Selection in Relation to Sex. Penulis sejujurnya tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakan. Maka adalah lebih baik saya serahkan kepada pembaca untuk menilainya sendiri.

 

Sayyid Ali Sistani

 

Dalam kandungan “Tentang” di laman web Pusat Kajian Kepercayaan yang diwujudkan oleh Sistani, yang mana ianya mendokong doktrin utama Autoriti Agung Syiah yang ditaja oleh beliau sendiri, menyatakan:[2]

 

Kami mendapati Yang Utama Autoriti Agung Syiah, Ayatollah Al-Uzma Sayyid Ali Husseini Sistani – semoga beliau dipanjangkan usia – bersama program-program dan projek-projeknya, adalah model yang paling ideal dalam lapangan ini untuk mempertahankan doktrin Syiah dan menyebarkan pengetahuan Ahlul Bait a.s ke seantero dunia.

 

Pusat Kajian Kepercayaan adalah salah satu dari projek-projek yang diberkati, yang mana diasaskan dibawah pemantauan dan sokongan Hujjat al-Islam Jawad Shahristani.

 

Pembukaan rasminya bertepatan dengan ulangtahun kelahiran Imam al-Ridha a.s yakni pada Sembilan Zulkaedah (Bulan 11 dalam Kalendar Islam), 1419 selepas hijrah. Ianya diasaskan untuk mendokong doktrin itu sendiri, membangunkan konsep yang betul dan menjulang fahaman Ahlul Bait a.s melalui semua aktiviti-aktivitinya yang pelbagai.

 

Pusat kami telah nekad untuk menentang doktrin sekular dan membantah segala tuntutan-tuntutannya. Ini adalah sejajar dengan arahan yang dikeluarkan oleh Ulama Agama Agung,Yang Utama, Ayatollah Al-Uzma, Sayyid Al Husseini Sistani – semoga beliau dipanjangkan usia – menyeru kepada keperluan usaha ini. (Sistani 2011, Sumber Bahasa Arab, diterjemahkan).

 

Berikut juga dinyatakan dalam laman web tersebut:

 

Sebarang kenyataan yang terkandung di dalam laman web Pusat Kajian Kepercayaan tidak semestinya mewakili kenyataan dari Yang Utama Sayyid Sistani (Sistani 2011, Bahasa Arab, diterjemahkan).

 

Ini bermaksud yang mereka mungkin membawa pendapat beliau, atau mungkin tidak. Kenyataan seterusnya yang penulis dapati di laman web Pemikiran Sistani berkait langsung dengan isu penting ini. Sekiranya kenyataan tersebut bukan dari beliau sendiri, maka beliau boleh menafikannya dan menjelaskan perkara sebenar, jika tidak ianya akan dianggap sahih dan beliau akan terikat dengan maklum balas ini.

 

Dari Laman Web Pusat Kajian Kepercayaan Sistani:

 

Sebuah soalan berkenaan kepalsuan teori evolusi.

 

Saya ingin menanyakan Tuan berkenaan teori saintifik Darwin yang berkaitan evolusi dan perkembangan, yang mana ianya mendakwa organisma-organisma yang hidup telah pun berevolusi dari  keadaan sebelumnya. Sebagai contoh, haiwan-haiwan telah melalui proses mutasi dalam jangkamasa tertentu dan telah berubah kepada hidupan yang lebih kompleks. Apa pendapat Tuan tentang teori ini? Adakah ianya bercanggah dengan Islam? Adakah ianya turut melibatkan manusia?

 

Terima kasih, dan semoga Allah melindungi anda dan selalu membantu kami untuk menimba segala manafaat dari Tuan.

 

Jawapan:

 

Saudara Mustafa yang dihormati.

 

Semoga kesejahteraan, ihsan dan rahmat Allah ke atas kamu.

 

Ianya telah dibuktikan secara saintifik bahawa teori ini adalah tidak benar. Mungkin perkara yang paling mudah untuk menyangkal teori ini adalah berdasarkan pengiraan kebarangkalian, ia akan mengambil masa berjuta-juta tahun untuk sel yang mudah untuk berubah kepada yang lebih kompleks.  Ini adalah contoh terhadap satu sel, maka bagaimana pula dengan seekor haiwan boleh berubah kepada sesuatu yang lain?!! Ia pasti akan mengambil masa berbilion-bilion tahun, dan ini telah terbukti tidak benar sama sekali. Ini adalah salah satu cara untuk menyanggah teori ini. Ada pelbagai cara lain lagi, dan kesemuannya mampu membuatkan teori evolusi ini gagal berhadapan dengan kritikan-kritikan saintifik.

 

Tambahan lagi, di dalam doktrin Islam kita, kita mempunyai penerangan yang jelas bagaimana kehidupan manusia ini bermula. Al-Quran yang suci menyatakan di sini bahawa Allah telah berfirman:

 

([Dia] yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah liat.) [As-Sajdah 32:7] Justeru itu, penciptaan manusia itu bermula dari tanah liat, dan bukannya dari haiwan sepertimana yang didakwa oleh para penyokong evolusi. Allah yang Maha Kuasa berfirman: (Dia menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar.) Ar-Rahman 55:14. Allah s.w.t berfirman: (Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.) Al-A'raaf 7:11. Dan Allah s.w.t berfirman lagi: (Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula). As-Saaffaat 37:11. Allah s.w.t juga berfirman: (Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.)  Al-Hijr 15:28-29. Disamping itu, terdapat riwayat dari para anbiya dan penggantinya a.s yang menjelaskan bagaimana Nabi Adam, bapa segala manusia telah diciptakan.

 

Maka, teori evolusi ternyata menyimpang dengan kenyataan di atas.

 

Semoga saudara sentiasa di bawah perlindungan Allah s.w.t.

 

Abu Hussain mengulas jawapan di atas : “ Kami amat berharap Tuan dapat huraikan secara terperinci dan kami sangat berterima kasih. Semoga Allah jua yang membalas kebaikan Tuan.”

 

[Pusat Kajian Kepercayaan seterusnya memberi maklum balas berikut]

 

Jawapan:

 

Saudara Abu Hussein yang dihormati, Semoga kesejahteraan, ihsan dan rahmat Allah ke atas kamu.

 

Dipetik dari Thimat Al-Afkar (Buah Fikiran) oleh Sheikh Ali Al-Akorani Al-Amili, 354-357:

 

[Teori evolusi telah bercanggah dengan banyak fakta sains moden, sekaligus meletakkannya dalam kedudukan yang dipertikaikan kebenarannya . Salah satu percanggahannya berkisar tentang fakta-fakta fizikal…Berikut adalah percanggahan tersebut: Matahari dan bintang-bintang lain membakar dan memancarkan sejumlah besar tenaga haba, sinaran dan cahaya jauh ke dalam pelusuk alam semesta. Tetapi jumlah tenaga yang hebat ini tidak boleh dianggap secara spontan akan kembali semula kepada matahari dan bintang-bintang tersebut. Sekiranya anda meninggalkan sesuatu untuk suatu jangka masa yang lama, ia akan merosak dengan cepatnya..Jika anda meninggalkan satu ketulan daging, atau sebahagian buah-buahan atau makanan, anda akan dapat melihat ianya akan rosak selepas satu tempoh yang tertentu dan anda perlu mengambil langkah pencegahan yang tertentu untuk melindunginya dari menjadi rosak, seperti menyejukbekukan ia. Bagaimanapun, langkah pencegahan ini hanya akan berkesan untuk satu jangka masa yang tertentu sahaja. Jika anda meninggalkan rumah atau istana, ia akan menyusut selepas beberapa tahun dan seterusnya.

 

Oleh itu, setiap benda bergerak menuju ke satu arah yakni penyusutan, penguraian dan pereputan.

 

Entropi: Bagi membantu para saintis untuk menerangkan konsep keteraturan dan ketidakteraturan di dalam alam semesta atau dalam sesuatu sistem, mereka mengunakan istilah “entropi”. Entropi merujuk kepada jumlah ketidakteraturan, dengan kata lainnya jumlah tenaga yang tidak memberi sebarang manfaat. Hukum kedua termodinamik dikenali sebagai hukum yang meningkatkan entropi. Profesor F. Bush berkata, “Semua tindakbalas semulajadi yang berlaku mengakibatkan gangguan di dalam alam semesta itu meningkat. Ini adalah tidak lain tidak bukan adalah ketetapan hukum kedua yang digunapakai dalam alam semesta secara keseluruhannya.’. Saintis Amerika Isaac Asimov pula berkata, “Berdasarkan maklumat yang kami ada, semua pertukaran dan perubahan adalah ke arah meningkatkan entropi, meningkatkan ketidakteraturan, meningkatkan gangguan, dan menuju kearah kemusnahan”’. Dalam artikel yang sama, beliau memperincikan topik ini dengan menambah,”Antara cara yang lain untuk menyatakan hukum kedua ini adalah: ”Alam semesta ini mengalami ketidakteraturan secara konsisten! Dilihat dari konteks tersebut, kita akan mendapati kesan hukum kedua adalah segalanya mengenai kita semua. Kita perlu berkerja keras untuk menyiapkan sebuah bilik, tetapi jika ditinggalkan ianya akan menjadi tidak terurus dengan cepat dan mudahnya. Walaupun kita tidak pernah memasukinya, ianya tetap akan berhabuk dan berbau hapak. Betapa susahnya untuk menjaga rumah-rumah, mesin-mesin, dan juga badan kita untuk kekal dalam kondisi yang sempurna; begitu mudahnya juga untuk membiarkan mereka merosot. Hakikatnya, tiada apa yang dapat kita lakukan, dan semuanya merosot, musnah, rosak, terhakis, dengan sendirinya – dan ini adalah apa yang dimaksudkan dengan Hukum Kedua.

 

Kita boleh rumuskan hukum yang pertama dan kedua seperti berikut. Saintis evolusi Jeremy Rifltin mengulas tentang hukum kedua. “Albert Einstein mengatakan, ‘ (Hukum Kedua) Ini adalah asas kepada segala hukum sains,’ dan Sir Arthur Eddington merujuk ianya sebagai “hukum metafizikal untuk seluruh alam semesta’. Justeru itu, hukum yang komprehensif ini membuktikan bahawasanya semua perubahan dan pertukaran yang berlaku di alam semesta ini menuju ke arah entropi, ataupun bermaksud menuju ke arah peningkatan ketidakteraturan, penguraian dan perpecahan.

 

Dengan kata lain, alam semesta ini semakin menghampiri kepada kematian, dan ahli fizik mngungkapkan, “ Alam semesta menuju kematian disebabkan haba.” Ini adalah disebabkan pemindahan haba daripada entiti yang panas (bintang-bintang) kepada entiti yang sejuk (planet-planet dan debu-debu kosmik sebagai contoh) akan terhenti suatu hari nanti, bila mana suhu kedua-dua entiti tersebut di alam semesta ini menjadi sama.

 

Dalam kes ini, pemindahan haba diantara entiti-entiti ini terhenti, maka semua aktiviti yang lain turut terhenti. Inilah yang dikatakan kematian alam semesta. Kita boleh membentangkan hipotesis evelosi dan fizik serentak dalam 3 graf tunggal. Daripada ini, kita akan dapat melihat percanggahan yang ketara diantara keduanya. Hipotesis evolusi mendakwa bahawa pertukaran dan perubahan yang berlaku dalam dunia kita dan di alam semesta menjadi pemangkin kepada peningkatan komplikasi dan keteraturan, yang mana evolusi berkesinambungan pada kadar yang semakin meningkat.

 

Dari sudut fizik pula, ianya merumuskan bahawa semua pertukaran dan perubahan semasa di alam semesta (dan juga di dunia kita) menjurus kepada peningkatan entropi, secara tidak langsung kepada peningkatan ketidakteraturan, penguraian dan perpecahan.

 

Ini bermakna bahawa alam semesta tidak menuju ke arah sesuatu yang lebih baik, sebaliknya cenderung menghampiri sesuatu yang lebih teruk yakni kearah kematian. Ini juga bermakna tiadanya proses spontan yang meningkatkan kewujudan, komplikasi dan penciptaan.

 

Ini menunjukkan bahawa masa adalah merupakan satu faktor kepada kehancuran, bukannya kepada pembinaan. Disebalik ini, semua para pendokong evolusi bersependapat dengan isu masa dalam menjelaskan semua halangan-halangan dan kesusahan-kesusahan yang di hadapi dalam hipotesis eveolusi ini.

 

Justeru itu, apabila anda menolak kebetulan buta yang menghasilkan semua keteraturan, komplikasi dan keindahan yang mengisi alam semesta ini, mereka berkata: “ Ini tidak berlaku dalam masa jutaan tahun, tetapi ianya berlaku ratusan atau ribuan juta tahun!” Ianya seolah-olah apabila mereka memperkatakan tentang jangka masa yang panjang itu, mereka menganggap bahawa mereka telah mengatasi segala kesusahan dan memberikan penyelesaian kepada semua keajaiban yang mengisi alam semesta ini.

 

Ini adalah kejahilan. Bahkan, ia adalah suatu kejahilan yang nyata. Kami mengesyorkan kelompok ini tersebut untuk menelaah buku-buku fizik supaya mereka memahami istilah masa – yang mereka anggap adalah faktor kepada pembinaan dan pembangunan – tetapi sebenarnya tiada apa-apa selain dari menjadi faktor kepada kemusnahan, penguraian dan perpecahan! Maka, pandangan mana yang perlu kita ikuti? Wajarkah kita mendokong suatu hipotesis (atau teori) yang jauh sekali dari terbukti kebenarannya dan dibangkang oleh ramai saintis?! Atau adakah kita memilih hukum saintifik yang terbukti kesahihannya dengan ribuan ujian makmal (setiap radas atau peralatan yang digunakan mengesahkan kebenaran hukum ini) dan diterima oleh para saintis tanpa ada keraguan?

 

Kesimpulannya, hipotesis evolusi adalah bercanggah dengan sains hingga ke asasnya.

 

Evolusi ke arah sesuatu yang lebih baik tidak boleh berlaku dalam dunia yang sedang menuju kepada perpecahan dan kemusnahan dalam semua aktiviti, pergerakan dan perubahannya, maka secara saintifiknya  evolusi untuk berlaku adalah mustahil:

 

Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami). Al-Anbiyaa' 21:18

 

Semoga anda sentiasa di bawah perlindungan Allah s.w.t (Sistani 2011)

 

Ulasan : Kenyataan di atas mewakili pandangan Sistani dan pandangan beliau berkaitan teori evolusi, atau paling kurang kenyataan tersebut telah dipersetujui oleh beliau sendiri. Maka tiada masalah untuk menganggap nilai dan kualitinya adalah terbukti.

 

(1) Beliau berkata:

 

Ianya telah terbukti secara saintifik bahawa teori ini adalah tidak benar. Mungkin perkara yang paling mudah untuk menyangkal teori ini adalah berdasarkan pengiraan kebarangkalian, ia akan mengambil masa berjuta-juta tahun untuk sel yang mudah untuk berubah kepada yang lebih kompleks.  Ini adalah contoh terhadap satu sel, maka bagaimana pula dengan seekor haiwan boleh berubah kepada sesuatu yang lain?!! Ia pasti akan mengambil masa berbilion-bilion tahun, dan ini telah dibuktikan tidak benar sama sekali.

 

Beliau menyatakan di sini bahawa teori evolusi telah terbukti menyeleweng secara saintifik. Saya sejujurnya tidak tahu di mana ianya pernah sesekali berlaku. Mungkin hanya di dalam khayalan mereka. Hakikatnya, teori ini telah dibuktikan secara saintifik benar sama sekali, terutamanya disebabkan kemajuan yang telah dicapai dalam penyelidikan genetik. Teori evolusi pada ketika ini diajar secara meluas di pusat-pusat pendidikan di negara-negara membangun dan universiti-universiti yang terkemuka di seluruh dunia. Tambahan lagi, pelbagai vaksin dan rawatan perubatan telah dihasilkan dan dibangunkan berasaskan teori evolusi ini

 

Beliau kemudiannya mengutarakan bukti-bukti saintifik beliau yang mana pada asasnya hanyalah hujah yang hambar dan hanya menyerlahkan kejahilan pengarang itu sendiri terhadap teori evolusi. Teori evolusi tidak menyatakan bahawa mutasi akan mengubah satu spesis kepada spesis yang lain atau seekor haiwan kepada haiwan yang lain, malah tidak juga menyatakan bahawa wujudnya pertumbuhan organ-organ yang kompleks secara tiba-tiba, seperti seekor haiwan tidak bermata secara tiba-tiba mempunyai mata, jika benar, ianya bermakna masalah kebarangkalian matematik boleh wujud daripada ini dan pasti menjadi aral penghalang kepada teori evolusi ini.

 

Hakikatnya, evolusi terjadi melalui beberapa langkah-langkah besar yang amat perlahan, dan disebabkan ianya berterusan, maka tiada permasalahan matematik dengan kebarangkalian dalam setiap langkah evolusi yang berlaku secara berasingan. Selain itu, kebarangkalian untuk setiap satu mengikuti yang sebelumnya adalah sangat tinggi  disebabkan variasi, pembiakan dan pemilihan semulajadi yang wujud dalam kitaran perjalanan ini. Dan sekiranya tiga faktor ini wujud, evolusi akan turut wujud. Ini adalah fakta saintifik yang hanya dipertikaikan oleh kelompok yang tidak faham mengenai variasi, pembiakan dan pemilihan, dan apa yang dimaksudkan dengan istilah ketiga-tiga ini. Saya menasihatkan Sayyid Sistani dan Pusat Kajian Kepercayaan untuk meneliti semula apa yang ditulis oleh para saintis evolusi supaya mereka memahami teori evolusi ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang hanya menonjolkan kejahilan mereka berkenaan teori dan mekanismanya.

 

2. Petikan ayat-ayat Al-Quran yang samar-samar maksudnya untuk menyangkal teori saintifik yang telah pun terbukti tidak memberikan nilai saintifik kepada para ahli biologi, malah langsung tidak mempunyai nilai keagamaan juga. Tiada satu pun dari ayat-ayat ini menyimpulkan penentangan ke atas teori evolusi hinggakan seseorang mampu berkata, sebagai contoh, agama dan evolusi tidak boleh benar secara serentak kedua-duanya. Kenyataan mereka tentang kejadian manusia yang bermula dari tanah liat, dan pengeksploitasian ayat-ayat Al-Quran berkenaan perkara ini, boleh disangkal dengan mudahnya dengan menyatakan ayat-ayat ini sebenarnya mengenai penciptaan roh. Penciptaan dari tanah liat telah berlaku di dalam syurga  sebagaimana yang telah dinyatakan dalam ayat-ayat yang sama mengenai perihal penciptaan, dan ini juga diberitahu dalam riwayat keagamaan juga.

 

Syurga adalah dunia untuk roh, bukan fizikal dan dunia kebendaan seperti sekarang, yang akan dijelaskan kemudian Insya Allah. Antara ulasan yang lain pula adalah berkenaan tentang peciptaan manusia yang bermula bila Allah menciptakan pelan genetik pertama atau protein yang boleh dihasilkan semula yang pertama, kerana protein ini telah diciptakan dari sebatian-sebatian kimia yang terdapat di muka bumi ini, samada dalam debunya atau ketulan tanah liat kering. Maka, ia adalah benar bahawasanya Allah telah menjadikan manusia dari tanah liat basah, debu, tanah liat kering dan bumi kerana manusia adalah sebaik-baik penciptaan untuk difahami. Justeru itu, ayat-ayat Al-Quran berkenaan penciptaan Adam dari tanah liat dan debu boleh dipersetujui sepenuhnya seiring dengan konsep evolusi. Kami juga menjumpai ayat-ayat Al-Quran yang lain yang mendokong teori evolusi ini. Allah s.w.t berfirman:

 

"Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat. Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat. Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang), Dan Allah telah menumbuhkan kamu  dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna” Juz Quran “Nuh” 71:14-17.

 

Ayat-ayat di atas adalah jelas: “ Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat. Dan Allah telah menumbuhkan kamu dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna.” Perincian daripada ayat-ayat di atas akan dibincangkan kemudian.

 

3. Ringkasan dari apa yang di petik dari buku Korani adalah entropi memerlukan sistem yang kompleks untuk bergerak menuju keruntuhan, dan alam semesta secara keseluruhannya bergerak ke arah ini, demikian juga bumi dan semua hidupan yang dirangkuminya menuju ke arah yang sama. Menurut mereka, terdapat kemunduran dan penangguhan ke arah yang lebih teruk, dan bukannya evolusi. Mereka merumuskan:

 

Sehubungan itu, hipotesis tentang evolusi adalah bercanggah dengan sains hingga ke asasnya. Evolusi ke arah sesuatu yang lebih baik tidak boleh berlaku dalam dunia yang sedang menuju kepada perpecahan dan kemusnahan dalam semua aktiviti, pergerakan dan perubahannya, maka secara saintifiknya  evolusi adalah mustahil berlaku.

 

Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami). Al-Anbiyaa' 21:18

 

Hakikat sebenar, percanggahan ini mulanya diusulkan oleh Dr Henry Morris [3] yang menyatakan bahawa hukum kedua termodinamik menunjukkan semua benda cenderung ke arah ketidakteraturan, yang mana membuatkan proses evolusi itu mustahil (Morris 1974).  Para fundamentalis Kristian di Amerika dan Eropah mengeksploitasi percanggahan ini sebagai maklum balas terhadap teori evolusi. Segelintir bangsa Arab juga telah menegaskan kembali hujah ini selepas ianya diterjemahkan dan pengikut Korani telah bertindak menyebarkannya. Alangkah baik jika beliau boleh menerima hakikat ini seadanya, tetapi sebaliknya beliau bertindak menokok-tambah yang mana menyerlahkan kejahilan total beliau. Pada akhirnya, Korani mengambil dan memuatkannya di dalam buku beliau. Laman web berkenaan kepercayaan yang diasaskan oleh Sistani kemudian memetiknya dari Korani and digunapakai sebahai hujah untuk membantah teori evolusi ini.

 

Secara amnya, hujah di atas telah pun diringkaskan secara keterlaluan, dan secara saintifiknya adalah tidak lengkap dan tidak betul. Akan dibentangkan kemudian fakta yang diperolehi berdasarkan pemerhatian yang mana telah diterima secara meluas dalam sains bahawa alam semesta itu yang mendatar, terbuka dan mengembang pada kadar kelajuan yang tertentu.

 

Walaubagaimanapun, kita akan menyelami pemikiran mereka terlebih dahulu dan menganggap alam semesta ini secara fizikal adalah suatu sistem yang tertutup yang mana hukum termodinamik kedua terpakai. – memandangkan entropi tidak berkurangan di dalam sistem yang tertutup – dan kita akan menganggap bahawa entropi bersifat meningkat di dalam alam semesta. Ini tidak bermakna setiap komponen di alam semesta bergerak ke arah peningkatan entropi. Adalah tidak mustahil bagi sebahagian dari alam semesta (yang kita anggap sebagai sistem yang tertutup) seperti bumi, untuk menuju ke kondisi yang lebih teratur, pada suatu masa, selagi ianya diimbangi oleh komponen-komponen lain yang bergerak kepada peningkatan entropi. Pokok pangkalnya, sistem alam ini secara keseluruhannya tidak menyanggah hukum kedua termodinamik. Ini menyerlahkan lagi bahawa hujah mereka telah pun digarap dari asas yang lemah dan pemahaman yang rapuh tentang hukum termodinamik kedua ini.

 

Disamping itu, bumi itu sendiri bukanlah satu sistem yang tertutup. Sebenarnya terdapat lebih dari satu sistem pertukaran tenaga wujud di dalamnya, sebagaimana sistem-sistem ini bertukaran dengannya di mana matahari menyebarkan haba dan cahaya ke bumi. Sebahagian dari bumi mengalami waktu malam dan siang tanpa secara berturutan, memisahkannya kepada beberapa sistem yang menyebabkannya melalui satu proses pemindahan haba yang berubah-ubah dan berterusan. Ini adalah disebabkan kewujudan pelbagai sistem, dan bukan hanya satu sistem. Sebagai tambahan, oleh kerana kerak bumi adalah panas dan mengandungi magma, maka terdapat proses pertukaran tenaga yang tidak sistematik di antara kerak, permukaan dan atmosfera di bumi ini.

 

Demikian juga, ruang angkasa yang meliputi bumi juga merupakan satu sistem, dan terdapat pemindahan haba berlaku diantara ruang angkasa dan bumi ini.

 

Graviti di bulan juga memberi kesan kepada bumi, dan kesan ini malah berubah dari masa ke semasa kerana peredaran bulan yang mengelilingi bumi [4].Oleh itu, berdasarkan kondisi bumi seperti yang dijelaskan di atas, hukum termodinamik bagi dua sistem akan menjadikan jumlah entropi untuk kedua-dua system tidak akan berkurangan bila mana pemindahan haba berlaku di antara keduanya. Maka peningkatan keteraturan di bumi adalah mungkin disebabkan pertukaran tenaga di antara bumi dan alam semesta di sekelilingnya. Dengan kata lain, peningkatan keteraturan dalam hanya beberapa bahagian bumi juga mungkin memandangkan beberapa sistem menukarkan tenaga di antara satu sama lain. Apa yang penting adalah jumlah entropi untuk kedua-dua sistem – bukan hanya satu – tidak menurun sama sekali

 

Bumi itu sendiri adalah bukan satu sistem yang tertutup mahupun sistem yang tunggal, bahkan ia merangkumi pelbagai sistem. Tiada permasalahan dengan peningkatan entropi di satu-satu lokasi di bumi sementara ia menurun di tempat yang lain, juga tidak menjadi masalah dengan kemerosotan hidupan, kemusnahan, gempa-gempa bumi dan banjir-banjir yang berlaku di satu tempat di bumi sementara pada masa yang sama wujud pembinaan, pembangunan dan perkembangan hidupan berlaku di satu tempat yang lain. Ini adalah fenomena biasa kita saksikan setiap hari, dan ia tidak melanggar hukum kedua termodinamik.

 

Tambahan pula, hakikat bahawa alam semesta sebenarnya bukan menuju ke arah kehancuran pada masa yang lepas mahupun pada masa ini adalah satu topik yang telah diselesaikan. Ianya sudah dibuktikan secara saintifik melalui pemerhatian terhadap sejenis supernova, radiasi latar belakang kosmik dan Kesan Doppler – dakwaan bahawa alam semesta adalah mendatar dan pengembangannya semakin pantas dan berterusan untuk suatu tempoh yang cukup lama. Kita akan menyentuh tentang isu ini kemudian di dalam penerangan tentang tenaga gelap. Penulis percaya penerangan yang diberikan tentang entropi dan hukum termodinamik kedua adalah memadai untuk menyangkal hujah-hujah dangkal yang terdahulu. Untuk penerangan yang lebih jelas, kita akan meninggalkan topik entropi ini dan melihat kepada rumusan yang dicanang oleh mereka, yang mana alam semesta telah bergerak, dan masih sedang bergerak, menuju kepada kehancuran, kerosakan dan kemusnahan. Ini adalah tidak benar sama sekali.

 

Hakikat sebenar ianya bertentangan sepenuhnya. Melalui pemerhatian dan pemantauan astronomi yang tepat, dengan mengambil kira Kesan Doppler, radiasi latar belakang kosmik dan pemerhatian supernova, secara jelas telah dibuktikan bahawa kelajuan mana-mana galaksi yang bergerak menjauhi satu sama lain adalah semakin meningkat. Alam material di mana kita telah dan sedang berada sekarang adalah berkembang, menggandakan diri dan bertambah. Malah galaksi yang kita berada sekarang masih mengandungi gugusan gas dan debu-debu yang membantu dalam pembentukan dan kejadian bintang-bintang baru, dan ini akan berterusan untuk tempoh yang cukup lama. Fakta sains ini, terbukti mengatasi keraguan,  adalah memadai untuk menyangkal apa yang Korani perkatakan dalam buku beliau. Tambahan lagi, berdasarkan model yang biasa atau teori Big Bang (Ledakan Dasyat), alam semesta tidak bermula dengan satu sebatian dan kompleks, tetapi sebaliknya bermula dari titik tunggal atau kejadian kuantum sebagaimana yang dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik seperti pemisahan galaksi-galaksi, dan penyejukan alam semesta dari semasa ke semasa. Setelah ledakan dasyat berlaku, kesemua jirim terbentuk secara beransur-ansur. Ia adalah jelas menunjukkan alam semesta ini masih baru, sedang mengembang dan sentiasa bertambah. Menurut pengiraan saintifik yang terperinci yang berdasarkan kepada pemerhatian yang tepat, alam semesta pada ketika ini tidak menuju kepada kemusnahan, dan tidak pernah juga berlaku di masa yang lepas malah ianya sedang berkembang dan bertambah.

 

Walaupun kita beranggapan bahawa alam semesta ini mempunyai lengkungan positif, seperti sebiji bola dan bukannya rata, yang mana pada akhirnya akan menuju kepada penguncupan dan musnah, ianya tidak akan sesekali mungkin hinggalah alam semesta sampai ke titik pengembangan yang maksimum, dan menuju kepada penguncupan dan musnah bila mana tenaga positif di dalam alam semesta – tenaga yang memaksa pengembangangnya – tidak lagi mampu untuk menahan graviti jirim. Alam semesta belum mencecah titik pengembangan maksimum yang mampu dicapainya. Hakikatnya, kadar pengembangannya semakin meningkat sekarang.

 

Justeru itu, kenyataan mereka bahawa alam semesta telah dan sedang menuju kepada keruntuhan menurut hukum kedua termodinamik, adalah menyeleweng dari segi saintifik. Ia juga tidak konsisten dengan fakta-fakta yang dikemukakan melalui pemerhatian astronomi yang tepat dan pengiraan matematik saintifik. Ditambah pula, menurut kesan Doppler dan kehadiran radiasi latar belakang kosmik , alam semesta ini tidak menuju kepada keruntuhan. Dan ia tidak wujud sebagai alam yang kompleks dan sebati yang kemudiannya menghampiri kepada penurunan dan keruntuhan. Sebaliknya, ia bermula dengan alam semesta yang mudah, kemudian menuju kepada pembesaran, struktur dan menjadi lebih rumit, dan kekal dalam keadaan ini sampai sekarang.

 

Sekiranya kita mengambil kira apa yang telah berlaku dan yang sedang berlaku di alam semesta ini secara keseluruhannya – sebagaimana Korani dan sekutunya, Sistani dan pusat nya menghendaki kita memahami perkara ini-  dengan menganggap segalanya bermula dari kosong, dan kemudiannya diperkukuhkan untuk menampung bumi dan hidupannya, maka idea tentang evolusi di bumi dan kitaran kehidupan atau organisma ke arah pembiakan dan struktur tambahan dan komplikasi bukanlah satu masalah.

 

Ia sebenar-benarnya relevan dengan hakikat umum tentang alam semesta, samada yang lepas atau masa kini, yakni ke arah pengembangan dan perluasan. Walaupun saya menjawab dengan kenyataan di atas dan mengariskan kesalahan-kesalahan yang dibuat oleh Korani dalam bukunya,  dan apa yang dipersembahkan oleh Sistani dalam laman laman web idealoginya, dan penulis menjelaskan bahawa alam semesta telah dan sedang bertambah dan mengembang, dan ini akan berlangsung untuk tempoh yang lama, adalah memadai untuk meyakinkan mereka bahawa wujud pertumbuhan, penambahan, pembiakan serta perubahan dari keadaan yang ringkas kepada keadaan yang kompleks dan pelbagai, dan menuju ke arah keadaan yang optimal serta lebih baik, ini adalah kejadian berulang yang kita saksikan setiap hari di bumi ini.

 

Jadi sekiranya evolusi dikatakan mengingkari hukum kedua termodinamik, maka pertumbuhan dan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan dikira mengingkarinya juga. Dan jika evolusi adalah mustahil disebabkan alasan ini, maka pertumbuhan dan kepelbagaian tumbuh-tumbuhan juga mustahil. Tumbuhan bermula dari benih – pelan genetik – yang kemudiannya tumbuh dan diperkukuhkan dengan peredaran masa. Ini juga boleh digunapakai dalam konsep tumbesaran janin dan anak binatang. Hakikatnya, tiada perbezaan diantara tumbesaran janin, tumbuh-tumbuhan, kanak-kanak dan evolusi. Kesemuanya menunjukkan kepelbagaian, pengukuhan, dan satu kitaran dari keadaan yang mudah kepada yang lebih rumit dari semasa ke semasa. Jika evolusi melanggar hukum kedua termodinamik – seperti dakwaan mereka – maka tumbesaran janin, tumbuh-tumbuhan dan kanak-kanak dikira melanggar hukum ini juga. Walhal kita masih melihat janin, tumbuh-tumbuhan dan kanak-kanak membesar, menjadi kuat dan beranak pinak.

 

Nota: Saya tidak tahu bagaimana Korani, Sistani dan “Pusat Kepercayaan” nya – yang telah menerima pakai kenyataan-kenyataan di atas – mampu menjadikan fizik sebagai satu paksi diatas graf yang mereka sebutkan. Hakikatnya, ini adalah kali pertama saya mendengar bahawa fizik, yang mana dengan semua ini, boleh menjadi suatu paksi di atas mana-mana graf. Saya berharap mereka tidak menggunakan kepintaran mereka untuk diri mereka sendiri sahaja. Saya juga berharap mereka menghantar graf tersebut ke universiti-universiti terkemuka di seluruh dunia supaya institusi-institusi ini dapat mempelajari bagaimana fizik boleh menjadi satu paksi di atas graf seperti kefahaman mereka agar semua pihak beroleh manafaat darinya. (Note editor: Sayed Ahmed Al-Hasan mempersoalkan bagaimana ulama Syiah menggunakan hukum fizik bagi menolak evolusi..)

 

Sekiranya mereka tidak tahu apakah itu fizik, maka tidak menjadi masalah untuk memberitahu mereka akan definisinya. Fizik adalah satu cabang sains yang berkaitan dengan perlakuan jirim, tenaga dan dimensi (seperti tiga dimensi ruang dan dimensi masa), termasuklah interaksi dan perhubungan di antara mereka dan hukum-hukum yang berkaitan. Saya tidak memperlekehkan golongan ini dan kejahilan yang telah mereka tonjolkan, kerana kita mempunyai banyak perkara lain untuk diambil berat dari memperlekehkan sesiapa. Saya hanya berniat untuk menarik perhatian pengikut-pengikut Ahlul Bayt yang diperdayakan dan ditindas seramai mungkin, bagi menunjukkan apa sahaja yang sanggup dilakukan oleh para ulama ini agar terus dapat melakukan apa yang mereka pandai, iaitu berdakwah tanpa ilmu dengan tiada rasa malu.

 

Ini adalah antara sebab-sebab mengapa mana-mana mukmin yang beriman kepada Muhammad dan keluarga Muhammad a.s, yang menitikberatkan imannya dan kehidupan di akhirat, tidak patut meletakkan urusan agama mereka di tangan orang lain.

 

 


 

[1] Shaikh Jafar Sobhani, lahir pada 1929, adalah ulama syiah yang menerima pendidikannya dari Pusat Keagamaan Islam di Qum. Beliau membangunkan Institut Imam Sadiq di Iran dan telah menulis beberapa buku berkenaan sains Islam.

 

 [2]  Laman “Tentang”, Laman web  The Center for Doctrinal Research Website. (1433 AH /2011).

 

 [3] Henry Morris (1918-2006) adalah seorang professor kejuruteraan awam dan beragama Kristian Amerika. Beliau juga adalah presiden Institut Kajian Penciptaan dan telah menerbitkan sebilangan buku saintifik dan keagamaan.

 

[4]  Bulan menjauhi bumi pada kadar lebih kurang 3.8 sentimeter setiap tahun (NASA, Accuracy of Eclipse Predictions, 1994)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *