1.3 Agama Gereja Kristian dan Evolusi

1.3 Agama Gereja Kristian dan Evolusi
Walaupun mereka mungkin tidak mengeluarkan kenyataan rasmi untuk perkara ini, atau menyatakan pendapat tentang apa yang dipersembahkan oleh Teori Evolusi, Gereja Katolik telah menolak teori ini selama berdekad lamanya, walaupun hakikatnya teori ini berkait rapat dengan topik penciptaan, isu paling penting dalam agama. Malah, Teori Evolusi secara terang bercangghan dengan kisah biblikal (Injil) Genesis / Kelahiran.
 bg-home-page
Pendirian yang sama turut diambil oleh kelompok gereja yang lain, apabila mereka menolak Teori Evolusi walaupun sesetengah dari mereka tidak menyebutnya secara terbuka. Sebabnya sangat jelas; iaitu masa telah berubah. Inkuisisi (Pent: The Inquisition : Badan anti-bidaah yang ditubuhkan Gereja Katolik Rom) telah ditamatkan, jadi peluang untuk memotong lidah Darwin seperti mana yang dilakukan kepada Bruno, atau untuk memenjarakan beliau seperti Galileo juga turut berakhir. Jadi mereka terpaksa berdiam diri. Lama-kelamaan, apabila bukti yang menyebelahi evolusi telah bertambah secara signifikan, terutamanya setelah kemajuan di dalam bidang genetik, Gereja Katolik terpaksa menerima teori tersebut.
Kemudian ulama Katolik mula mengatakan bahawa mereka tidak pernah menentang Darwin, atau Teori Evolusi. Namun hakikatnya, mereka tidak memotong lidah Darwin atau membakarnya ketika itu kerana kekuasaan Gereja di Eropah telah berakhir. Hari ini, mereka terpaksa menerima Teori Evolusi walaupun ia menandakan “kematian” kepada agama Gereja Kristian, kerana pembuktiannya hanya didebatkan oleh segelintir kecil orang yang jahil, yang tidak memahami apa itu evolusi dan bagaimana ia berlaku, dan orang yang tidak memahami bahawa Teori tersebut telah berbeza dari apa yang dipersembahkan oleh Darwin pada awalnya.
Sebenarnya, satu-satunya yang tinggal dari apa yang beliau persembahkan adalah konsep umumnya, kerana perinciannya, kaedah teori, bukti dan keterangan evolusi semuanya baru wujud kerana kemajuan dalam sains dan kajian. Jadi bagi mereka yang mempercayai teori ini, ia kini mewakili risalah saintifik yang disempurnakan yang menerangkan kisah penciptaan, tanpa perlu kepada apa-apa campur tangan ghaib dalam penyempurnaannya, malah permulaannya.
Oleh itu, Teori Evolusi dipersembahkan pada hari ini sebagai sebuah Teori yang menyangkal agama dan kewujudan Tuhan. Tiada siapa pun boleh mendakwa menerima evolusi dan agama tanpa menyelesaikan konflik yang menghalang dari menerima kedua-duanya. Cara Teori Evolusi dipersembahkan, difahami dan dipandang hari ini oleh ahli biologi evolusi menunjukkan bahawa evolusi itu tidak bermatlamat pada jangka masa panjang, jadi ia tidak dapat disatukan dengan agama.
Dengan kata lain, tiada siapa yang dapat mengatakan mereka menerima secara mutlak Teori Evolusi, bersama implikasi yang diakibatkan darinya, contohnya, seperti ia tidak mempunyai matlamat dalam jangka masa panjang, dan dalam masa yang sama, terus berkeras bahawa mereka menerima agama. Ini adalah percanggahan secara terang-terangan di peringkat paling asas, ia tidak akan disebutkan oleh seseorang yang rasional dan berilmu tanpa pertama sekali menyelesaikan percanggahan ini, agar dakwaan mereka menjadi benar, boleh diterima dan logik. Inilah sebabnya saya katakan penerimaan Teori Evolusi oleh Gereja, sesuatu yang ia terpaksa lakukan, boleh membawa pengakhiran kepada agama Gereja Kristian melainkan jika Gereja dapat menyelesaikan percanggahan ini dengan membuktikan evolusi mempunyai matlamat dalam jangka masa panjang.
Sudah tentu mereka tidak memahami perkara ini, kerana malangnya, ramai dari mereka tidak memahami apa sebenarnya evolusi, atau bagaimana Teori Evolusi dipersembahkan pada hari ini.
Berikut adalah sebuah segmen perdebatan antara Dr. Richard Dawkins dan George Pell, seorang Kardinal Australia untuk Gereja Katolik Roma dan juga Ketua Biskop Sydney, Australia: *
Kardinal Pell: …Anda perlu menerangkan fakta-fakta sains, bertanya samada anda percaya bahawa pemilihan rambang itu memadai dan juga kebanyakan ahli biologi evolusi tidak mempercayainya.
Richard Dawkins: Tidak percaya apa?
Kardinal Pell : Mereka tidak mempercayai (evolusi) secara rambang,  seperti versi mentah yang anda cadangkan.
Richard Dawkins: Saya tidak mencadangkannya (kerambangan evolusi) dan saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa evolusi adalah pemilihan rambang. Evolusi adalah pemilihan tidak rambang.
Kardinal Pell : Jadi ianya ada matlamat, begitu?
Richard Dawkins: Tidak.
Kardinal Pell : Boleh anda terangkan apa maksud tidak rambang?
Richard Dawkins: Ya, sudah tentu saya boleh. Ia adalah hasil kerja seumur hidup saya… Wujud variasi genetik yang rambang, kelansungan hidup tidak rambang dan pembiakan tidak rambang, inilah sebabnya, setelah beberapa generasi berlalu, haiwan menjadi lebih baik dalam apa yang mereka lakukan. Ini adalah contoh unggul ketidak rambangan (evolusi). Ini bagaimanapun tidak bermakna ia mempunyai matlamat dalam erti kata matlamat yang difahami manusia, iaitu satu prinsip yang mempunyai bimbingan, yang dirancang terlebih dahulu. (Pent: Evolusi itu tidak rambang dalam erti kata makhluk menjadi lebih baik dari setiap zaman akibat pemilihan terancang oleh alam semulajadi, bukanlah bermakna ia dirancang sebegitu oleh kuasa ghaib sejak awal lagi).
Berdasarkan pengalaman lalu, kita boleh katakan sesuatu seperti sayap burung nampak seperti mempunyai matlamat, mata manusia seolah-olah mempunyai matlamat, namun hakikatnya ia telah melalui satu proses pemilihan semula jadi yang tidak rambang. Tidak wujud “matlamat” seperti pemahaman (atau yang difahami) manusia. Sememangnya wujud seolah-olah ada matlamat, namun ia bukan seperti yang difahami manusia, iaitu bimbingan secara sedar. Bagaimanapun saya harus tegaskan, Evolusi Darwini adalah sebuah proses yang tidak rambang.
Salah satu dari salah faham terbesar, yang mana dimulakan oleh Kardinal, maaf saya katakan, adalah evolusi sebuah proses rambang. Hakikatnya ia adalah berlawanan dengan proses rambang.” (Religion and Atheism Q & A : Adventures in democracy 2012)
Jelas bahawa Kardinal menyertai debat bersama Dr. Dawkins tanpa memahami evolusi atau apa yang dipegang oleh biologis evolusi seperti Dawkins: evolusi adalah tidak rambang kerana ia ditadbir oleh sistem pemilihan alam semulajadi, namun ia tidak mempunyai matlamat dalam jangka masa panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *