1.2: Pendapat Agamawan Terhadap Evolusi

1.2: Pendapat Agamawan Terhadap Evolusi

Malangnya, kebanyakan ulama dari tiga agama Ibrahimi (Yahudi, Kristian dan Islam) telah mengambil pendirian yang sama terhadap teori Darwin, sama seperti pendirian mereka terhadap pendahulu beliau, Galileo. Seperti mana masa berlalu terhadap teori Galileo berkenaan bumi berputar, yang telah mengakibatkan tragedi disebabkan oleh para ulama yang menentangnya, yang menumpahkan darah saintis, dan kemudiannya, bukti tentang pemutaran bumi semakin bertambah sehingga ke tahap wujudnya imej bumi berputar di angkasa lepas; sama juga kini masa sudah membuktikan evolusi, dan bukti-bukti saintifik (seperti genetik) telah terkumpul banyak sehingga ke tahap penafian evolusi kini adalah satu kebodohan dan kedegilan yang hina. Bagaimanapun, ramai agamawan masih terus bergantung kepada kejahilan manusia yang mendengar dan mengikuti mereka. Malangnya, sehingga hari ini, mereka masih terus menolak evolusi, bukti-bukti dari genetik dan anatomi perbandingan, serta kajian ke atas haiwan-haiwan yang tertanam, dan atas semua ini, mereka malah menolak bukti pewarisan fosil yang dijejaki hingga ke makhluk yang berjalan tegak di atas dua kaki jutaan tahun yang lepas.

Bagi ahli biologi, semua bukti ini adalah lebih dari mencukupi untuk membuktikan evolusi, dan kini, ia telah menjadi satu fakta saintifik, yang diajarkan di sekolah dan universiti. Ahli biologi tidak lagi mencari bukti untuk evolusi, sebaliknya mereka kini menyiasat mekanisma dan sejarahnya. Walaupun begitu, ramai agamawan terus menerus menolaknya tanpa sebarang bukti saintifik untuk menentang bukti evolusi. Mereka tidak berpuas hati dengan hanya menolaknya, malah sesetengah mereka juga mengisytiharkan sesiapa yang mempercayai evolusi adalah kafir dan harus dihukum mati!

Kita akan menanggapi persoalan evolusi secara ringkas dan bukti yang mendokongnya, namun jika mereka yang memanggil diri mereka agamawan ingin menolak teori evolusi, maka haruslah mereka memberikan teori alternatif yang konsisten dengan fakta saintifik yang telah diterima dalam bidang genetik, perbandingan anatomi dan fosil-fosil. Dan jika mereka melihat ikan berparu dan ikan amfibia, maka beritahu kepada kami: Adakah mereka berevolusi dari ikan akuatik (ikan dalam air sepenuhnya) atau tidak? Dan apakah bukti bagi pandangan mereka tersebut?

Mereka juga haruslah menentukan tempoh masa kehidupan manusia dari penciptaan Adam (salam atasnya) hingga ke hari ini. Ini penting kerana tempoh masa yang diberikan perlu konsisten dengan kenyataan mereka yang menolak evolusi serta konsisten dengan fakta saintifik berkenaan sejarah genus Homo (pent: keluarga spesis manusia dan kelompoknya dari Mawas Besar jutaan tahun lepas) di bumi ini. Kini tidak dapat dinafikan lagi fakta saintifik bahawa manusia moden adalah Homo Sapien. Asal usul homo sapien dan sejarah mereka, serta jalan migrasi mereka dari Afrika adalah sangat terkenal, jadi mereka yang menafikan evolusi sepatutnya memberikan anggaran tarikh bila Adam diciptakan, dan lokasi pertama beliau tinggal. Malah, anggaran lokasi juga boleh diterima.

Sudah tentu, tarikh yang mereka berikan mestilah berasaskan teks agama yang mereka dakwa menafikan evolusi. Kemudian mereka akan mendapati dengan sendirinya bahawa mereka “membuka semula benang yang mereka pintal”, dan mereka akan mendapati mereka tidak mempunyai hujah atau bukti, selain dari mencetuskan keegoan dan keangkuhan manusia dengan kenyataan seperti, “Evolusi mendakwa manusia berasal dari kera.”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *