Hadis Kitab Allah dan Sunnah Ku Adalah Dhaif Di Sisi Standard Sunni

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين،

وصلى الله على محمد وآل محمد الأئمة والمهديين وسلم تسليماً كثيراً

Ahlul Sunnah Wal Jamaah berpegang kepada hadis bahawa Nabi Muhammad (SAW) meninggalkan dua pusaka berat kepada umat, iaitu Al Quran dan Sunnah Nabi (saw). Namun dari kajian kami, kami dapati bahawa hadis ini sebenarnya dhaif mengikuti standard penerimaan hadis mereka sendiri. Kami tidaklah menyokong penggunaan ilmu rijal atau standard rekaan ini yang jelas bertentangan dengan Quran dan Islam, namun kami rasa perlu untuk dikongsikan di sini bagi meruntuhkan "berhala-berhala" di dalam pemikiran saudara ASWAJA kita.

 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” ini tidak terdapat di dalam kitab hadis Kutub As Sittah (Shahih Bukhari, Shahih Muslim, Sunan Ibnu Majah, Sunan An Nasa’i, Sunan Abu Dawud, dan Sunan Tirmidzi). Sumber hadis ini hanyalah dari Al Muwatta Imam Malik, Mustadrak Ash Shahihain Al Hakim, At Tamhid Syarh Al Muwatta Ibnu Abdil Barr, Sunan Baihaqi, Sunan Daruquthni, dan Jami’ As Saghir As Suyuthi. Selain itu hadis ini juga boleh didapati di dalam kitab-kitab karya Ulama seperti, Al Khatib dalam Al Faqih Al Mutafaqqih, Shawaiq Al Muhriqah Ibnu Hajar, Sirah Ibnu Hisyam, Al Ilma ‘ila Ma’rifah Usul Ar Riwayah wa Taqyid As Sima’ karya Qadhi Iyadh, Al Ihkam Ibnu Hazm dan Tarikh At Thabari. Dari semua sumber yang disebutkan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa hadis ini hanya diriwayatkan dengan 4 jalur sanad iaitu dari Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Amr bin Awf, dan Abu Said Al Khudri. Terdapat juga beberapa hadis yang diriwayatkan secara mursal (terputus sanadnya), mengenai hadis mursal ini sudah jelas kedhaifannya.

 

Hadis ini terbahagi kepada dua iaitu

  1. Hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang mursal
  2. Hadis yang diriwayatkan dengan sanad yang muttasil atau bersambung

 


 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” Yang Diriwayatkan Secara Mursal

 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” yang diriwayatkan secara mursal ini terdapat dalam kitab Al Muwatta, Sirah Ibnu Hisyam, Sunan Baihaqi, Shawaiq Al Muhriqah, dan Tarikh At Thabari. Berikut adalah contoh hadisnya

 

Dalam Al Muwatta jilid I hal 899 no 3

 

Rasulullah SAW bersabda: ” Wahai sekalian manusia sesungguhnya Aku telah meninggalkan pada kamu apa yang jika kamu berpegang teguh pasti kamu sekalian tidak akan sesat selamanya iaitu Kitab Allah dan Sunah RasulNya”.

 

Dalam Al Muwatta hadis ini diriwayatkan Imam Malik tanpa sanad. Malik bin Anas adalah generasi tabiit tabiin yang lahir antara tahun 91H-97H. Jadi paling tidak ada dua perawi yang tidak disebutkan di antara Malik bin Anas dan Rasulullah SAW. Berdasarkan hal ini maka dapat dinyatakan bahawa hadis ini dhaif kerana terputus sanadnya.

 

Dalam Sunan Baihaqi terdapat beberapa hadis mursal mengenai hal ini, diantaranya

 

Al Baihaqi dengan sanad dari Urwah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda pada haji wada: “Sesungguhnya Aku telah meninggalkan sesuatu bagimu yang apabila berpegang teguh kepadanya maka kamu tidak akan sesat selamanya iaitu dua perkara Kitab Allah dan Sunnah Nabimu, Wahai umat manusia dengarkanlah olehmu apa yang aku sampaikan kepadamu, maka hiduplah kamu dengan berpegang kepadanya”.

 

Selain pada Sunan Baihaqi, hadis Urwah ini juga terdapat dalam Miftah Al Jannah hal 29 karya As Suyuthi. Urwah bin Zubair adalah dari generasi tabiin yang lahir tahun 22H, jadi Urwah belum lahir saat Nabi SAW melakukan haji wada maka hadis di atas terputus, dan ada seorang perawi yang tidak disebutkan, mungkin dari golongan sahabat dan mungkin juga dari golongan tabiin. Apapun, hadis ini dhaif kerana terputus sanadnya.

 

Al Baihaqi dengan sanad dari Ibnu Wahb yang berkata: “Aku telah mendengar Malik bin Anas mengatakan berpegang teguhlah pada sabda Rasulullah SAW pada waktu haji wada yang berbunyi ‘Dua hal Aku tinggalkan bagimu dimana kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunah NabiNya”.

 

Hadis ini tidak berbeza dengan hadis Al Muwatta, kerana Malik bin Anas tidak bertemu Rasulullah SAW jadi hadis ini juga dhaif.

 

Dalam Sirah Ibnu Hisyam jilid 4 hal 185 hadis ini diriwayatkan dari Ibnu Ishaq yang berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda pada haji wada….. Disini Ibnu Ishaq tidak menyebutkan sanad yang bersambung kepada Rasulullah SAW oleh kerana itu hadis ini tidak dapat dijadikan hujjah. Dalam Tarikh At Thabari jilid 2 hal 205 hadis ini juga diriwayatkan secara mursal melalui Ibnu Ishaq dari Abdullah bin Abi Najih. Jadi kedua hadis ini dhaif. Mungkin ada yang beranggapan kerana Sirah Ibnu Hisyam dari Ibnu Ishaq sudah menjadi kitab Sirah yang dijadikan pegangan oleh jumhur ulama maka adanya hadis itu dalam Sirah Ibnu Hisyam sudah cukup menjadi bukti kebenarannya. Jawaban kami adalah: Memang benar bahawa Sirah Ibnu Hisyam dijadikan pegangan oleh jumhur ulama, tetapi dalam kitab ini, hadis tersebut terputus sanadnya jadi tentu saja mengikut standard hadis Sunni, hadis tersebut tidak dapat dijadikan hujjah.

 

 


 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” Yang Diriwayatkan Dengan Sanad Yang Bersambung.

 

Telah dinyatakan sebelumnya bahawa dari sumber-sumber yang ada ternyata ada 4 jalan sanad hadis “Kitab Allah dan SunahKu”. 4 jalan sanad itu adalah

 

1. Jalur Ibnu Abbas 

 

2. Jalur Abu Hurairah 

 

3. Jalur Amr bin Awf 

 

4. Jalur Abu Said Al Khudri 

 

 

Jalan Sanad Ibnu Abbas

 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” dengan jalan sanad dari Ibnu Abbas dapat ditemui dalam Kitab Al Mustadrak Al Hakim jilid I hal 93 dan Sunan Baihaqi juz 10 hal 4 yang pada dasarnya dikutip dari kitab Al Mustadrak. Dalam kitab-kitab ini sanad hadis tersebut adalah dari jalan Ibnu Abi Uwais dari bapanya dari Tsaur bin Zaid Al Daily dari Ikrimah dari Ibnu Abbas

 

Rasulullah SAW bersabda “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Aku telah meninggalkan pada kamu apa yang jika kamu pegang teguh pasti kamu sekalian tidak akan sesat selamanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya”.

 

Hadis ini adalah hadis yang dhaif kerana terdapat kelemahan pada dua orang perawinya iaitu Ibnu Abi Uwais dan bapanya. Kami kongsikan di sini statusnya

 

1. Ibnu Abi Uwais

 

  • Dalam kitab Tahdzib Al Kamal karya Al Hafiz Ibnu Zakki Al Mizzy jilid III hal 127 mengenai biografi Ibnu Abi Uwais terdapat perkataan orang yang mencelanya, diantaranya Berkata Muawiyah bin Salih dari Yahya bin Mu’in “Abu Uwais dan putranya itu keduanya dhaif(lemah)”. Dari Yahya bin Mu’in bahawa Ibnu Abi Uwais dan ayahnya suka mencuri hadis, suka mengacaukan(hafalan) hadis atau mukhallith dan suka berbohong. Menurut Abu Hatim Ibnu Abi Uwais itu mahalluhu ash shidq atau tempat kejujuran tetapi dia terbukti lengah. An Nasa’i menilai Ibnu Abi Uwais dhaif dan tidak tsiqah. Menurut Abu Al Qasim Al Alkaiy “An Nasa’i sangat jelek menilainya (Ibnu Abi Uwais) sampai ke derajat matruk(ditinggalkan hadisnya)”. Ahmad bin Ady berkata “Ibnu Abi Uwais itu meriwayatkan dari pamannya Malik beberapa hadis gharib yang tidak diikuti oleh seorangpun.”

 

  • Dalam Muqaddimah Al Fath Al Bary halaman 391 terbitan Dar Al Ma’rifah, Al Hafiz Ibnu Hajar mengenai Ibnu Abi Uwais berkata ”Atas dasar itu hadis dia (Ibnu Abi Uwais) tidak dapat dijadikan hujjah selain yang terdapat dalam As Shahih kerana celaan yang dilakukan Imam Nasa’i dan lain-lain”.

 

  • Dalam Fath Al Mulk Al Aly halaman 15, Al Hafiz Sayyid Ahmad bin Shiddiq mengatakan “berkata Salamah bin Syabib Aku pernah mendengar Ismail bin Abi Uwais mengatakan “mungkin aku membuat hadis untuk penduduk Madinah jika mereka berselisih pendapat mengenai sesuatu di antara mereka”.

 

Jadi Ibnu Abi Uwais adalah perawi yang tertuduh dhaif, tidak tsiqat, pembohong, matruk dan dituduh memalsukan hadis.

 

2. Abu Uwais

 

  • Dalam kitab Al Jarh Wa At Ta’dil karya Ibnu Abi Hatim jilid V hal 92, Ibnu Abi Hatim menukil dari ayahnya Abu Hatim Ar Razy yang berkata mengenai Abu Uwais “Ditulis hadisnya tetapi tidak dapat dijadikan hujjah dan dia tidak kuat”. Ibnu Abi Hatim menukil dari Yahya bin Mu’in yang berkata “Abu Uwais tidak tsiqah”.

 

  • Dalam kitab Tahdzib Al Kamal karya Al Hafiz Ibnu Zakki Al Mizzy jilid III hal 127. Berkata Muawiyah bin Salih dari Yahya bin Mu’in “Abu Uwais dan putranya itu keduanya dhaif(lemah)”. Dari Yahya bin Mu’in bahawa Ibnu Abi Uwais dan ayahnya(Abu Uwais) suka mencuri hadis, suka mengacaukan(hafalan) hadis atau mukhallith dan suka berbohong.

 

Dalam Al Mustadrak jilid I hal 93, Al Hakim tidak menshahihkan hadis ini. Beliau mendiamkannya dan mencari syahid atau penguat bagi hadis tersebut, Beliau berkata ”Saya telah menemukan syahid atau saksi penguat bagi hadis tersebut dari hadis Abu Hurairah”. Mengenai hadis Abu Hurairah ini akan dibahas nanti, yang penting dari pernyataan itu adalah, secara tidak langsung, Al Hakim mengakui kedhaifan hadis Ibnu Abbas tersebut oleh kerana itu beliau mencari syahid penguat untuk hadis tersebut .Setelah melihat kedudukan kedua perawi hadis Ibnu Abbas tersebut maka dapat disimpulkan bahawa hadis ”Kitab Allah dan SunahKu” dengan jalan sanad dari Ibnu Abbas adalah dhaif.

 

Jalan Sanad Abu Hurairah

 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” dengan jalan sanad Abu Hurairah terdapat dalam Al Mustadrak Al Hakim jilid I hal 93, Sunan Al Kubra Baihaqi juz 10, Sunan Daruquthni IV hal 245, Jami’ As Saghir As Suyuthi(no 3923), Al Khatib dalam Al Faqih Al Mutafaqqih jilid I hal 94, At Tamhid XXIV hal 331 Ibnu Abdil Barr, dan Al Ihkam VI hal 243 Ibnu Hazm.

 

Jalan sanad hadis Abu Hurairah adalah sebagi berikut, diriwayatkan melalui Al Dhaby yang berkata telah menghadiskan kepada kami Shalih bin Musa At Thalhy dari Abdul Aziz bin Rafi’dari Abu Shalih dari Abu Hurairah

 

bahawa Rasulullah SAW bersabda bahawa Rasulullah bersabda “Sesungguhnya Aku telah meninggalkan pada kamu sekalian dua perkara yang jika kamu pegang teguh pasti kamu sekalian tidak akan sesat selamanya iaitu Kitabullah dan SunahKu.Keduanya tidak akan berpisah hingga menemuiku di Al Haudh”.

 

Hadis di atas adalah hadis yang dhaif kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak bisa dijadikan hujjah iaitu Shalih bin Musa At Thalhy.

 

  • Dalam Kitab Tahdzib Al Kamal ( XIII hal 96) berkata Yahya bin Muin bahawa riwayat hadis Shalih bin Musa bukan apa-apa. Abu Hatim Ar Razy berkata hadis Shalih bin Musa dhaif. Imam Nasa’i berkata hadis Shalih bin Musa tidak perlu ditulis dan dia itu matruk al hadis(ditinggalkan hadisnya).

 

  • Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalany dalam kitabnya Tahdzib At Tahdzib IV hal 355 menyebutkan Ibnu Hibban berkata bahawa Shalih bin Musa meriwayatkan dari tsiqat apa yang tidak menyerupai hadis itsbat(yang kuat) sehingga yang mendengarkannya bersaksi bahawa riwayat tersebut ma’mulah (diamalkan) atau maqbulah (diterima) tetapi tidak dapat dipakai untuk berhujjah. Abu Nu’aim berkata Shalih bin Musa itu matruk Al Hadis sering meriwayatkan hadis mungkar.

 

  • Dalam At Taqrib (Tarjamah :2891) Al Hafidz Ibnu Hajar Al Asqallany menyatakan bahawa Shalih bin Musa adalah perawi yang matruk(harus ditinggalkan).

 

  • Al Dzahaby dalam Al Kasyif (2412) menyebutkan bahawa Shalih bin Musa itu wahin (lemah).

 

  • Dalam Al Qaulul Fashl jilid 2 hal 306 Sayyid Alwi bin Thahir ketika berkomentar tentang Shalih bin Musa, beliau menyatakan bahawa Imam Bukhari berkata”Shalih bin Musa adalah perawi yang membawa hadis-hadis mungkar”.

 

Kalau melihat jarh atau celaan para ulama terhadap Shalih bin Musa tersebut maka dapat dinyatakan bahawa hadis “Kitab Allah dan Sunahku” dengan sanad dari Abu Hurairah di atas adalah hadis yang dhaif. 

 

Jalan Sanad Amr bin Awf

 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” dengan jalan sanad dari Amr bin Awf terdapat dalam kitab At Tamhid hal 331 Ibnu Abdil Barr. Telah menghadiskan kepada kami Abdurrahman bin Yahya, dia berkata telah menghadiskan kepada kami Ahmad bin Sa’id, dia berkata telah menghadiskan kepada kami Muhammad bin Ibrahim Al Daibaly, dia berkata telah menghadiskan kepada kami Ali bin Zaid Al Faridhy, dia berkata telah menghadiskan kepada kami Al Haniny dari Katsir bin Abdullah bin Amr bin Awf dari ayahnya dari datuknya bahawa

 

Rasulullah bersabda “wahai sekalian manusia sesungguhnya Aku telah meninggalkan pada kamu apa yang jika kamu pegang teguh pasti kamu sekalian tidak akan sesat selamanya iaitu Kitabullah dan Sunah Rasul-Nya.

 

Hadis ini adalah hadis yang dhaif kerana dalam sanadnya terdapat cacat pada perawinya iaitu Katsir bin Abdullah .

 

  • Dalam Mizan Al Itidal (biografi Katsir bin Abdullah no 6943) karya Adz Dzahabi terdapat celaan pada Katsir bin Abdullah. Menurut Daruquthni Katsir bin Abdullah adalah matruk al hadis(ditinggalkan hadisnya). Abu Hatim menilai Katsir bin Abdullah tidak kuat. An Nasa’i menilai Katsir bin Abdullah tidak tsiqah.
  • Dalam At Taqrib at Tahdzib, Ibnu Hajar menyatakan Katsir bin Abdullah dhaif.
  • Dalam Al Kasyf Adz Dzahaby menilai Katsir bin Abdullah wahin(lemah).
  • Dalam Al Majruhin Ibnu Hibban juz 2 hal 221, Ibnu Hibban berkata tentang Katsir bin Abdullah “Hadisnya sangat mungkar” dan “Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu dari ayahnya dari datuknya yang tidak layak disebutkan dalam kitab-kitab mahupun periwayatan”

 

  • Dalam Al Majruhin Ibnu Hibban juz 2 hal 221, Yahya bin Main berkata “Katsir lemah hadisnya”
  • Dalam Kitab Al Jarh Wat Ta’dil biografi no 858, Abu Zur’ah berkata “Hadisnya tidak ada apa-apanya, dia tidak kuat hafalannya”.
  • Dalam Adh Dhu’afa Al Kabir Al Uqaili (no 1555), Mutharrif bin Abdillah berkata tentang Katsir “Dia orang yang banyak permusuhannya dan tidak seorangpun sahabat kami yang mengambil hadis darinya”.
  • Dalam Al Kamil Fi Dhu’afa Ar Rijal karya Ibnu Adi juz 6 hal 63, Ibnu Adi berkata perihal Katsir “Dan kebanyakan hadis yang diriwayatkannya tidak bisa dijadikan pegangan”.
  • Dalam Al Kamil Fi Dhu’afa Ar Rijal karya Ibnu Adi juz 6 hal 63, Abu Khaitsamah berkata “Ahmad bin Hanbal berkata kepadaku : jangan sedikitpun engkau meriwayatkan hadis dari Katsir bin Abdullah”.
  • Dalam Ad Dhu’afa Wal Matrukin Ibnu Jauzi juz III hal 24 terdapat perkataan Imam Syafii perihal Katsir bin Abdullah “Katsir bin Abdullah Al Muzanni adalah satu pilar dari berbagai pilar kedustaan”

 

Jadi hadis Amr bin Awf ini sangat jelas kedhaifannya kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang matruk, dhaif atau tidak tsiqah dan pendusta. Seterusnya..

 

 

Jalur Abu Said Al Khudri

 

Hadis “Kitab Allah dan SunahKu” dengan jalan sanad dari Abu Said Al Khudri ra terdapat dalam Al Faqih Al Mutafaqqih jilid I hal 94 karya Al Khatib Baghdadi dan Al Ilma ‘ila Ma’rifah Usul Ar Riwayah wa Taqyid As Sima karya Qadhi Iyadh dengan sanad dari Saif bin Umar dari Ibnu Ishaq Al Asadi dari Shabbat bin Muhammad dari Abu Hazm dari Abu Said Al Khudri.

 

Dalam rangkaian perawi ini terdapat perawi yang benar-benar dhaif iaitu Saif bin Umar At Tamimi.

 

  • Dalam Mizan Al I’tidal no 3637 Yahya bin Mu’in berkata “Saif daif dan riwayatnya tidak kuat”.
  • Dalam Ad Dhu’afa Al Matrukin no 256, An Nasa’i mengatakan kalau Saif bin Umar adalah dhaif.
  • Dalam Al Majruhin no 443 Ibnu Hibban mengatakan Saif merujukkan hadis-hadis palsu pada perawi yang tsabit, ia seorang yang tertuduh zindiq dan seorang pemalsu hadis.
  • Dalam Ad Dhu’afa Abu Nu’aim no 95, Abu Nu’aim mengatakan kalau Saif bin Umar adalah orang yang tertuduh zindiq, riwayatnya jatuh dan bukan apa-apanya.
  • Dalam Tahzib At Tahzib juz 4 no 517 Abu Dawud berkata kalau Saif bukan apa-apa, Abu Hatim berkata “ia matruk”, Ad Daruquthni menyatakannya dhaif dan matruk. Al Hakim mengatakan kalau Saif tertuduh zindiq dan riwayatnya jatuh. Ibnu Adi mengatakan kalau hadisnya dikenal munkar dan tidak diikuti seorangpun.

 

 

Jadi jelas sekali kalau hadis Abu Said Al Khudri ra ini adalah hadis yang dhaif kerana kedudukan Saif bin Umar yang dhaif di mata para ulama.

 

Dari semua pembahasan di atas dapat disimpulkan bahawa hadis “Kitab Allah dan SunahKu” ini adalah hadis yang dhaif. Ternyata di sisi pengriwayatan Ahlul Sunnah, yang lebih sahih itu adalah hadis dengan matan "Kitab Allah dan Itrah" seperti yang telah dikongsikan sebelum ini, yang kemudiannya dijelaskan siapa itrat Ahlulbait itu dalam hadis wasiat Nabi(saw) di malam kewafatan baginda.

 

Diharapkan saudara ASWAJA dapat membuka fikiran mereka dengan perbahasan ini, bahawa aqidah mereka yang selama ini didasarkan kepada hadis ini adalah batil.

 

Allah Maha Mengetahui

 

Rujukan:Take your Beliefs from the Quran and Sunnah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *