Tiada Perintah Ikut Ahl Albait Dalam Quran?

Ini adalah bantahan-bantahan cliche yang kerap disodorkan oleh para penentang jalan kebenaran apabila berhadapan dengan kami, Ansar Imam Almahdi. Oleh kerana ia terlalu kerap dibangkitkan, maka kami fikir perlu untuk ditanggapi walaupun secara ringkas, agar pemikiran serong seperti ini dapat diluruskan,

Pertama

Hakikat yang perlu kita terima adalah tidak semua perincian agama disebutkan di dalam Alquran. Cara solat tidak diterangkan di dalam Quran, fiqh zakat, haji, ibadah, serta perincian-perincian Usul agama tidak semuanya diterangkan di dalam Quran.

Alquran adalah kitab yang menerangkan Doktrin Usul secara umum, falsafahnya, manhajnya, dan kemudiannya, perincian nya pula akan diterangkan melalui lisan khalifah Allah yang membawa kitab tersebut, dalam konteks ini, Nabi Muhammad (SAW).

Maka, apakah doktrin kepimpinan yang diterangkan dalam Quran? Saya telah bincangkan doktrin ini dalam artikel berikut:

  1. Ketuanan Allah Bhg. 1: Hak Lantikan Kepimpinan Milik Allah atau Manusia?
  2. Ketuanan Allah Bhg. 2: Adakah Masih Ada Perlantikan Khalifah Allah Selepas Muhammad(s)?
  3. Ketuanan Allah Bhg.3: Apakah Wasiat Yang Ingin Ditulis Nabi (s)

Saya ringkaskan rumusan dari Quran tentang doktrin Ketuanan Allah.

  1. Allah yang melantik khalifahNya di muka bumi, bukan manusia
  2. Manusia tidak mempunyai hak memilih pemimpinnya, dan harus taat kepada lantikan Allah
  3. Perlantikan khalifah adalah berlansung setiap zaman, sehingga hari kiamat
  4. Setiap zaman akan ada khalifahNya.

Inilah doktrin umum dari Quran, yang seterusnya mewajibkan kita mencari, siapa khalifah lantikan Allah di zaman ini? Malah, orang yang bertanya soalan dalil Imamah Ahl Albait dari Quran sebenarnya perlu membawakan dalil ketuanan manusia dari Quran, dalil bahawa manusia mempunyai hak melantik dan memilih pemimpin mereka. Silakan

Kedua

Seperti yang saya terangkan di atas, kalam Nabi diperlukan bagi menerangkan pelbagai ayat mutasyabih di dalam Quran. Maka bagi mendapatkan perincian siapa khalifah Allah di zaman ini, atau selepas zaman Nabi secara umumnya, maka kita perlukan kalam Nabi (saw). Begitu jugalah dengan pelbagai topik-topik lain, seperti cara solat dan sebagainya.

Kalam Nabi juga adalah kalam Allah, kerana segala yang diucapkan Nabi adalah wahyu, dan Nabi tidak menyanggahi perintah Allah.
وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ
إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌ يُوحَىٰ

“Segala yang diperkatakannya itu (sama ada AlQuran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.(Al Najm 53:3-4)

لَا يَسۡبِقُونَهُۥ بِٱلۡقَوۡلِ وَهُم بِأَمۡرِهِۦ يَعۡمَلُونَ

Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya. (Al Anbiya 21:27)

Maka, kalam Nabi adalah kalam Allah, dan tidak boleh dipandang ringan dan dibuat mudah.

Dan saya tidak mahu bawakan kalam Nabi tentang Imamah Ahl Albait (AS) di dalam artikel ini, kerana ianya sudah banyak diterangkan di tempat lain, maka rujuklah ia. Saya ringkaskan seperti berikut:

  1. Hadis wasiat Nabi Muhammad (s) di malam kewafatan baginda.
  2. Hadis Tsaqalain
  3. Hadis Khalifatain
  4. dan banyak lagi hadis keutamaan Ahl Albait

Ketiga

Walaupun tidak disebutkan secara jelas, sebenarnya banyak ayat-ayat Alquran yang menerangkan Imamah dan keutamaan Ahl Albait, dan ini disokong oleh para ahli tafsir ASWJ. Antaranya saya senaraikan seperti berikut:

  1. Ayat Altathir
  2. Ayat Alinzar
  3. Ayat Alwilayah
  4. Ayat Albalagh
  5. Ayat Alikmal
  6. Dan banyak lagi.

Siapakah Ulil Amri yang kedudukan mereka untuk ditaati diserupakan dengan Rasul Allah? Siapakah Ahl Alzikr yang diperintahkan untuk dirujuki jika kita tidak tahu? Ini semuanya diturunkan oleh para khalifah Allah dari Ahl Albait.

Kesimpulan

Maka dengan ketiga-tiga point ini, kita tahu bahawa AlQuran sarat dengan satu polisi, iaitu polisi ketuanan Allah. Bahawa Allah yang melantik dan memilih wakilNya di muka bumi, setiap masa dan setiap zaman, dan ini disokong oleh kalam Nabi (s) dan ayat-ayat yang diturunkan bagi menerangkan kepimpinan dan keutamaan Ahl Albait (A).

Tiada lagi alasan melainkan mereka yang bersangka-sangka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *