Sejarah Dan Skema Jawaban Kaum Penentang Lantikan Allah

 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين،

وصلى الله على محمد وآل محمد الأئمة والمهديين وسلم تسليماً كثيراً

 

Hakikat yang sukar ditelan oleh semua manusia adalah hakikat bahawa seorang khalifah atau pemimpin lantikan Allah hanyalah seorang manusia biasa, yang lemah dan dhaif, tidak mampu memberi kebaikan mahupun keburukan tanpa keizinan Allah. Sedangkan apa yang dimahukan oleh manusia adalah diri mereka dipimpin oleh seorang manusia luar biasa, lantas mereka akan meminta-minta mukjizat, dengan harapan mukjizat ini dapat memaksa mereka beriman sekaligus membatalkan tujuan kita dihantar ke dunia material ini, iaitu untuk diuji dan beriman dengan perkara ghaib.

 

Akibat dari permintaan yang melampau ini, kita akan dapati, manusia yang menolak seruan Illahi utusan Allah sentiasa mengulangi jawaban yang diberikan oleh nenek moyang mereka apabila berhadapan dengan manusia lantikan Allah. Perkara ini telah diterangkan dengan terperinci oleh Ahmad AlHassan dalam Khutbah Muharam, dan saya(Auzubillah minal ana) hanya mahu membincangkan sedikit sahaja dari aspek khutbah tersebut, yakni jawaban berulang para penentang, dari dulu sehingga sekarang.

 

Jawaban-jawaban ini terhasil dari sebab yang sama, iaitu ego / keAkuan yang berada dalam setiap diri manusia, yang menyebabkan:

 

  1. Mereka mahukan agar seorang khalifah Allah itu tampak secara zahirnya, lebih baik dari diri mereka.
  2. Akibatnya, manusia mula mewujudkan gambaran sempurna di dalam imaginasi mereka tentang apa "sifat dan ciri yang harus ada pada khalifah Allah."
  3. Ini menyebabkan manusia mencipta Peraturan tersendiri untuk mengenali dan menerima seorang khalifah atau manusia lantikan Allah

 

Peraturan ciptaan makhluk ini, membuatkan merekalah yang menetapkan apa yang seharusnya dilakukan atau tidak dilakukan oleh khalifah Allah. Mari kita telosori pengajaran yang terkandung di dalam Quran yang memberi pengajaran berguna bagi mereka yang ikhlas mencari kebenaran.

 

Pertama:Kisah Iblis

 

Tanpa ragu, makhluk pertama yang menolak manusia lantikan Allah sebagai pemimpinnya adalah jin bernama Iblis

 


وَلَقَدْ خَلَقْنَاكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنَاكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ لَمْ يَكُن مِّنَ السَّاجِدِينَ

 


 


Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.


 


قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ

 


Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah." (Surah Al A'raf: 11-12)


 


Analisis Dari Kisah Iblis


 


Alasan Iblis: Beliau lebih baik dari Adam AS disebabkan oleh sifat zahir Adam AS. Sekaligus, di dalam imaginasi Iblis, wujud seorang khalifah Allah dengan satu ciri dan sifat yang sempurna di mata Iblis, yang mana jika Adam AS datang dengan sifat tersebut, tentulah Iblis akan sujud kepada beliau.


 


Iblis telah mencipta satu peraturan tersendiri bagi mengiktiraf dan mematuhi khalifah lantikan Allah. Dan peraturan ini tidak selari dengan apa yang ada pada Adam AS, menyebabkan Iblis menolak kekhalifahan Adam AS.


 


Perkara yang sama juga berulang di zaman ini. Apabila manusia melihat Ahmad AlHassan sebagai manusia setaraf atau lebih rendah dari mereka, yakni  "Aku lebih baik daripada Adam" berdasarkan penilaian ciptaan mereka sendiri.


 


________


 

Kedua: Nabi Yang Berjalan Di Pasar-pasar

 

وَقَالُوا۟ مَالِ هَٰذَا ٱلرَّسُولِ يَأْكُلُ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشِى فِى ٱلْأَسْوَاقِ ۙ لَوْلَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مَلَكٌ فَيَكُونَ مَعَهُۥ نَذِيرًا

 

Dan mereka pula berkata: “Mengapa Rasul ini makan minum dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain)? Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya (sebagai saksi yang membenarkannya). (Al Furqan 25:7)

 


Analisis Ayat Di Atas


 


Manusia menilai  dan menetapkan apa yang sepatutnya ada dari segi sifat, ciri-ciri dan perwatakan pada seseorang yang mengaku sebagai Rasul.


 


  • Rasul tidak perlu makan dan minum

  • Rasul tidak boleh berjalan-jalan di pasar-pasar

  • Sepatutnya diturunkan malaikat bersama beliau.


 


Persepsi bahawa manusia utusan Allah harus lebih hebat dari manusia biasa wujud di setiap zaman, dan tidak terkecuali di zaman ini. Sebagai contoh manusia di zaman ini beranggapan:


 


  • Imam tidak boleh guna berdakwah melalui internet atau media sosial

  • Imam tidak boleh bersembunyi

  • Imam patut keluar berperang sekarang

  • Imam tidak patut tulis buku

  • Dan berbagai-bagai lagi.


 


Ini sebuah lagi contoh manusia mendahului Allah dalam menetapkan peraturan untuk menilai utusanNya. Maka Allah SWT memberi respons:


 


وَمَآ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ إِلَّآ إِنَّهُمْ لَيَأْكُلُونَ ٱلطَّعَامَ وَيَمْشُونَ فِى ٱلْأَسْوَاقِ ۗ وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ ۗ وَكَانَ رَبُّكَ بَصِيرًا


۞ وَقَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَوْ نَرَىٰ رَبَّنَا ۗ لَقَدِ ٱسْتَكْبَرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ وَعَتَوْ عُتُوًّا كَبِيرًا


 


Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya). Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?” Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya. (Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata: “Semoga kita jauh – dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)”. Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (Al Furqan 25:20-21)


 


Allah SWT memberi respons bahawa manusia lantikannya:


 


  • Adalah manusia biasa seperti yang lain

  • Ini agar ia menjadi ujian buat sebahagian manusia yang lain.


 


Manusia menginginkan mukjizat yang memaksakan agar mereka dapat beriman sehingga tiada lagi alasan untuk menolak, sekaligus membatalkan kepercayaan kepada perkara ghaib dan ujian di dunia ini.


 


Ketiga: Skema Jawaban Berulang Kaum Penentang


 


Mari kita teruskan melihat jawaban-jawaban lain.


 

قَالَ ٱلْمَلَأُ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى ضَلَٰلٍ مُّبِينٍ

 

Ketua-ketua dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata". (Al Araf 7:60)

 

 

قَالَ ٱلْمَلَأُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦٓ إِنَّا لَنَرَىٰكَ فِى سَفَاهَةٍ وَإِنَّا لَنَظُنُّكَ مِنَ ٱلْكَٰذِبِينَ

Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata: "Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari orang-orang yang berdusta". (Al Araf 7:66)

 

فَقَالَ ٱلْمَلَؤُا۟ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن قَوْمِهِۦ مَا هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَأَنزَلَ مَلَٰٓئِكَةً مَّا سَمِعْنَا بِهَٰذَا فِىٓ ءَابَآئِنَا ٱلْأَوَّلِينَ

 

Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu. (Al Mukminun 23:24)

 

 

۞ وَقَالَ ٱلَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَآءَنَا لَوْلَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا ٱلْمَلَٰٓئِكَةُ أَوْ نَرَىٰ رَبَّنَا ۗ لَقَدِ ٱسْتَكْبَرُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ وَعَتَوْ عُتُوًّا كَبِيرًا

 

Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?" Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya." (Al Furqan 25:21)

 

لَاهِيَةً قُلُوبُهُمْ ۗ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّجْوَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ هَلْ هَٰذَآ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ ۖ أَفَتَأْتُونَ ٱلسِّحْرَ وَأَنتُمْ تُبْصِرُونَ

 

Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata: "Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?(Al Anbiya 21:3)

 

Rumusan ayat-ayat di atas:

 

  • Lantikan Allah dituduh sesat
  • Lantikan Allah dituduh bodoh dan berdusta
  • Lantikan Allah disebut manusia biasa
  • Lantikan Allah hanya mahu melebihkan dirinya
  • Lantikan Allah perlu diutuskan bersama malaikat
  • Lantikan Allah dan seruannya tidak sama seperti yang didengari oleh nenek moyang mereka
  • Lantikan Allah hanya mengatakan perkara karut

 

Maha suci Allah, bukankah semua ayat-ayat ini kini diulangi semula oleh kaum penentang terhadap Ahmad AlHassan? Ianya sangat jelas dan tiada basa basi lagi.

 

Di manakah dan apakah kesilapan yang kini diulangi semula oleh manusia? Sudah tentu ini terjadi apabila:

 

  • Mereka mencipta undang-undang sendiri bagi menilai seorang lantikan Allah dan mengetahui kebenaran dakwaannya. Manusia lantikan Allah harus dinilai dengan Peraturan Mengenal yang diajarkan oleh Allah, bukan dengan undang-undang ciptaan manusia
  • Keakuan manusia yang sentiasa merasakan mereka lebih baik dari manusia lantikan Allah dan keengganan mereka dipimpin oleh manusia setaraf mereka.

 

Kesimpulan Dan Nasihat

 

Saya memohon kepada Allah SWT agar para pembaca sekalian membaca skema jawaban kaum penentang yang sentiasa berulang di setiap zaman, ini direkodkan dengan jelas di dalam Quran, Taurat dan Injil.

 

Kemudian, pastikan anda tidak mengikuti jejak langkah mereka dengan mengucapkan skema jawaban yang telah mereka ucapkan. Ketahuilah, jalan mereka menuju ke neraka.  Nilailah khalifah Allah melalui peraturan yang Allah tetapkan. Bukan dengan jalan sendiri.

 

Semoga anda semua beroleh hidayah.

 

Ben Azmi


 

Jawaban Keraguan: Di Mana Dan Mengapa?

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين،
وصلى الله على محمد وآل محمد الأئمة والمهديين وسلم تسليماً كثيراً 
 
Para pembaca sekalian.
 
Sebelum ini kami telah pun menjawab soalan "bila". Kali ini adalah "di mana" dan "mengapa". Hakikatnya ini adalah soalan yang tidak sepatutnya menjadi penghujahan utama. Namun, oleh kerana kita sebagai manusia biasa sentiasa mempunyai keraguan, maka tidak dapat tidak persoalan ini muncul di benak kita. Lantas ia terus di manipulasi oleh golongan penentang yang bersifat Satanist, untuk menyebarkan keraguan di kalangan umat manusia dari menerima seruan Al Mahdi AS.
 
Soalan: Di mana Sayed Ahmad AlHassan dan mengapa beliau menghilangkan diri atau bersembunyi? Adakah kerana beliau takut?
 
Jawaban:
 
Apa yang boleh kami jawab adalah Sayed Ahmad AlHassan berada di Iraq, tempat yang disebutkan sebagai mulanya pergerakan Mahdawiyah dari riwayat-riwayat Maksumin. Sementara persembunyiannya pula adalah disebabkan beliau diarahkan sedemikian oleh bapanya kerana diburu para penzalim.
 
Maka ini akan membawa kita kepada persoalan: Sayed Ahmad AlHassan adalah seorang penakut. Para Nabi dahulu keluar berdakwah secara terang-terangan, tidak pernah lari dan sebagainya.
 
Atau benarkah begitu? Persoalan dan tanggapan sebegini hanya keluar dari mulut seorang yang jahil akan sejarah. Cukuplah kami ingin mengingatkan kepada golongan jahil ini akan beberapa fakta.
 
Fakta Pertama
 
Sayed Ahmad AlHassan telah keluar berdakwah secara terang-terangan sejak tahun 1999 sehingga 2008. Dalam tempoh ini, masyarakat, para ulama dan penguasa semuanya mengenali beliau dan dapat berjumpa dengan beliau. 
 
Jadi tidak timbul persoalan beliau pengecut dan tidak pernah muncul. Hampir 10 tahun beliau menyeru secara terbuka. Para ulama elit Iraq semuanya mengenal beliau.
 
Para pembaca boleh membaca kisah biografi dakwah beliau dari lisan para mukminin awal di link berikut: http://www.eramahdi.net/kitab-berkaitan/biografi-dakwah-ahmad-al-hassan-dari-penceritaan-pengikut-awal/
 
Fakta Kedua
 
Perlu diingatkan bahawa takutnya seorang maksumin, atau larinya/bersembunyinya mereka, bukanlah seperti takutnya kita manusia biasa. Ia adalah satu perintah dari Allah yang mempunyai hikmah strategi bagi mencapai matlamat dakwah/seruan Ketuhanan. Perkara ini adalah Sunnah yang berulang dari zaman para utusan Allah yang lepas sehiggalah sekarang.
 
Jika semua sifat-sifat ini difahami sebagai pengecut atau penakut seperti kita manusia biasa, dan saya akan gunakan kaedah pemikir para penentang, maka:
 
1. Nabi Muhammad SAW adalah seorang pengecut/penakut apabila berdakwah secara rahsia pada tahun-tahun awal. Sepatutnya baginda terus berdakwah secara terang. Bukankah Allah bersama baginda? ((Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci." (93:3)
 
2. Nabi Muhammad SAW adalah seorang pengecut/penakut apabila melarikan ke Madinah, sepatutnya baginda terus berada di Makkah, dan berdakwah sehingga ke titisan darah terakhir.
 
3. Nabi Muhammad SAW adalah seorang pengecut/penakut apabila bersembunyi di dalam gua bersama Abu Bakr dari kumpulan yang memburu baginda setelah keluar dari Makkah. Sepatutnya beliau melawan, kalau terbunuh, syahid. Baginda terlalu takut sehingga Allah terpaksa menenteramkannya [“Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.” (9:40)]
 
4. Nabi Musa AS adalah seorang penakut kerana kerana telah membunuh orang-orang Firaun.  "Semenjak itu, tinggalah ia di bandar (Mesir) dalam keadaan takut sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kepadanya semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata kepadanya: "Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata sesatnya!”(28:18)
 
5. Nabi Musa AS adalah seorang yang penakut apabila lari meninggalkan Mesir.
 
Dan seterusnya, terlalu banyak untuk diceritakan contohnya di sini, namun ia memadai, dan anda boleh merujuk kitab Al Quran dan kitab sirah untuk mengetahui perkara ini. Adakah ada sesiapa dari kalangan kita yang berani menuduh insan-insan suci ini sebagai pengecut?
 
Ya, sudah tentu, ini bukanlah keadaan sebenar, dan kita punya jawaban bagi pertuduhan seperti ini. Oleh itu, apabila Sayed Ahmad AlHassan AS bersembunyi, adalah tidak patut dan tidak logik untuk dituduh penakut, sedangkan para Anbiya dan Mursalin yang lepas semuanya pernah berada dalam keadaan serupa. Dan perlu saya ulang, takutnya mereka, bukan seperti kita, tetapi mempunyai hikmah strategis. Apatah lagi, seperti yang disebutkan dalam fakta pertama, beliau hampir 10 tahun berdakwah secara terang. Ini tidak mampu dilakukan oleh seorang pengecut.

 
Berikut adalah beberapa dalil tambahan yang menguatkan lagi apa yang kami hujahkan.
 
قال أبو جعفر عليه السلام: ما أجاب رسول الله صلى الله عليه وآله أحد قبل علي بن أبي طالب وخديجة عليهما السلام ولقد مكث رسول الله صلى الله عليه وآله بمكة ثلاث سنين مختفيا خائفا يترقب، ويخاف قومه والناس المصدر: كمال الدين للصدوق ص328 ح9
 
Telah berkata Abu Jaafar as: Seruan Rasulullah sallallahu alaihi wa alih tidak dijawab oleh sesiapapun sebelum Ali dan Khadijah alaihima salam. Rasulullah telah tinggal tetap di Mekah selama tiga tahun dalam persembunyian, ketakutan serta berjaga-jaga kerana risaukan kaumnya dan orang ramai. Sumber: Kamaluddin, syeikh Saduq, ms 328, hadis 9
 
وبهذا الاسناد، عن أحمد بن محمد، عن أبيه محمد بن عيسى، عن ابن بكير، عن زرارة قال: سمعت أبا عبد الله عليه السلام يقول: إن للقائم غيبة قبل أن يقوم، إنه يخاف – وأومأ بيده إلى بطنه – يعني القتل.
 
Abu `Abdillah عليه السلام bersabda: Sesungguhnya Al Qaim akan dighaibkan sebelum kebangkitannya; beliau akan merasa takut- dan beliau menunjukkan kepada perutnya- bermaksud takut dibunuh. (al-Kafi)
 

Fakta Ketiga
 
Tahukah anda, bahawa kehilangan Ahmad AlHassan telah disebutkan oleh Nabi dan Aimmah?
 
 
 
 
 
Maka mencukupilah bagi orang-orang yang berakal, bahawa persembunyian seorang khalifah Allah adalah Sunnah yang sentiasa berulang, dan bukan dalil kebatilan seruannya.