Antara Teori Evolusi Dan Umur Nuh AS

 ark_of_noah_by_robsonbatista-d2628ch

بسم الله الرحمن الرحيم 


والحمد لله رب العالمين 


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 

Ali al-Ansari menulis:  

As Salam alaikum wr wb.  

Saya memohon kepada Allah untuk mempercepatkan kelegaan dan menyenangkan hati bonda tuan, Fatimah Al Zahra SA, kerana Dia itu dekat dan mengabulkan permohonan.  

 

Wahai Imam, seringkali ketika membincangkan bukti kewujudan Tuhan dengan atheist, mereka akan beralih kepada perkara-perkara ajaib yang disebutkan di dalam Quran seperti umur panjang para Nabi AS, khususnya Nuh AS. Saya telah menjumpai soalan berikut yang dihantar kepada tuan di forum Ansar Imam al Mahdi, oleh saudara kita Isa dari Serbia. Saya menghantarnya di sini dengan harapan mendapat jawaban dari tuan, kerana ia akan memberi manfaat besar di dalam diskusi kami dengan Atheist. Saya memohon maaf kerana mengambil masa tuan, dan kami memohon kepada Allah agar Dia menjadikan kami dari kalangan mereka yang berpegang teguh kepada wilayah Muhammad dan aali Muhammad, serta para syuhada di bawah panji tuan. 

 
 
Soalan saya:  
 

 

As Salam alaikum wr wb,  

Mohon pencerahan berkenaan isu ini yang sukar saya fahami. 

Diketahui bahawa Homo Sapien berubah dari spesis yang lebih rendah melalui proses evolusi, dengan setiap generasi menjadi semakin baik sehingga otak mereka mencapai kadar dan kapasiti yang diperlukan, maka apakah pencerahan umur panjang para Nabi AS seperti Nuh AS? Quran Karim menyebutkan beliau berdakwah selama 950 tahun kepada umatnya. Adakah ia tahun dari dunia ini? Kita juga mempunyai beberapa riwayat yang menyebutkan beliau AS berdakwah selama 2000-2500 tahun kepada umatnya. 
 

 

Malahan kitab Injil menyebutkan manusia awal mempunyai hayat yang lama, lebih lama dari manusia hari ini. 

Adakah semua ini benar dan adakah Allah memanjangkan umur manusia terpilih seperti Nuh AS? Dan jika benar, adakah nenek moyang terdekat Adam AS mempunyai umur yang panjang atau adakah ini mempunyai maksud mutasyabihat? Bagaimana isu ini dapat diselarikan dengan Teori Evolusi? Mohon pencerahan kepada kami. 

Semoga Allah mempercepatkan kelegaan tuan, insyaAllah. Saya sangat merindui anda 

 

Isa dari Serbia  

 

 

 

[Jawaban:]  
 
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

 

  

 

Aku memohon kepada Allah untuk membantu dan menguatkan langkah kedua anda dan Isa. Semoga Allah memberi ganjaran kepada anda dengan ganjaran terbaik bagi orang-orang yang melakukan kebaikan. Oleh kerana kami telah membuktikan dengan pembuktian saintifik bahawa kewujudan Tuhan itu perlu dan kita juga telah membincangkan keilmuan atheisme dalam skop sains, mana-mana atheist yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan berdasarkan bukti-bukti saintifik perlu memberi respon kepada perbincangan saintifik dan pembuktiannya dengan cara yang betul dan keilmuan yang tepat atau beliau harus mengakui bahawa apa yang saya sebutkan itu adalah benar, menjadikan dirinya tidak lebih dari seorang yang memperbodohkan dirinya.

 

 

Berkenaan umur manusia di masa lampau, ia diketahui dengan tepat secara saintifik. Gen manusia hari ini diketahui dengan sangat terperinci. Para saintis mengetahui sebab mengapa dan bila sel menjadi tua dan badan manusia tidak berfungsi. Mereka sedang menjalankan kajian dengan matlamat melaksanakan mutasi genetik untuk memanjangkan umur manusia. Suatu hari nanti, mereka mungkin mencapai matlamat mereka. Oleh itu, mereka tahu dengan kepastian yang jitu, bahawa sebelum dan selepas masa Nuh AS, manusia tidak hidup selama seribu tahun, malah tidak menghampiri langsung. Mereka mengetahui sebagaimana anda mengetahui panjang pembaris di tangan anda.

 

 

Bagaimanapun, isu umur Nuh atau isu-isu lain yang menyanggahi hakikat saintifik bukanlah satu penghujahan yang berasas ke atas apa yang telah kami buktikan, iaitu bahawa Tuhan itu wujud. Ini kerana, dengan ringkas kami boleh katakan bahawa tiada sebarang kesukaran untuk Tuhan membawakan keajaiban, walaupun ia bertentangan dengan hakikat saintifik. Ini adalah kerana mereka adalah kes-kes individu/terpencil yang tujuannya adalah untuk meletakkan umat manusia Adami pada permulaannya di jalan keimanan kepada Tuhan yang menciptakan alam ini. Walaupun sesetengah darinya bukanlah mukjizat, namun ia adalah isu yang sukar difahami bagi sesiapa yang tidak memahami bahasa orang yang berbicara.
 
Agar isu ini menjadi lebih jelas secara saintifik, ringkasnya saya katakan bahawa apa yang dilihat oleh "pemerhati luar” dari sebuah sistem fizikal – adalah berbeza dengan apa yang dilihat oleh “pemerhati dalaman”. Oleh itu apabila terjadi pengembangan atau pengecutan di dalam sebuah sistem fizikal sebagai contoh, pengukuran sang pemerhati yang berada di dalam sistem itu adalah berlainan sama sekali dengan pengukuran pemerhati di luar, ini kerana pemerhati dalaman adalah sebahagian dari sistem tersebut, menjadikan beliau turut sama terlibat dalam pengembangan dan pengecutan sistem tersebut. Alat pengukuran yang beliau gunakan turut terlibat dalam proses pengembangan dan pengecutan sistem tersebut. Ini menjadikan beliau tidak dapat menyedari atau mengukur sebarang perubahan yang menyelubungi keseluruhan sistem itu.
 
Jika beliau mempunyai hidup secara psikologi seperti kita, ini tidak akan menghalang beliau dari mempunyai perasaan psikologi jika perubahan terjadi di dalam sistem itu atau jika wujud sebarang pecutan atau nyah-pecutan. Sebagai contoh, ramai orang hari ini merasakan masa bergerak dengan sangat pantas, walaupun apabila mereka mengukurnya, mereka mendapati tiada sebarang perubahan kepada masa.
 
Berikut adalah sebuah contoh untuk menjadikan ia lebih jelas. Mari kita andaikan ada seorang yang tinggal di dalam sebuah bilik dan mempunyai alat untuk mengukur panjang(contohnya: Pembaris). Kita minta kepada beliau untuk mengukur panjang meja di dalam bilik tersebut dan membandingkan ketinggian beliau dengan ketinggian meja tersebut.  Kemudian mari kita andaikan bilik itu dan segala sesuatu di dalamnya mengalami pengembangan/pembesaran, yakni semuanya mengembang atau membesar dengan kadar yang sama. Jika kita meminta kepada orang itu untuk mengukur panjang meja tersebut, beliau akan mendapati panjangnya masih sama. Jika kita meminta beliau membandingkan tinggi beliau dengan meja tersebut, beliau tidak akan menyedari sebarang perubahan. Sebabnya adalah beliau dan alat pengukur tersebut telah membesar dengan kadar yang sama dengan meja tersebut.

 

 

Apabila perkara di atas menjadi jelas, dapatlah difahami bahawa mana-mana pemerhati yang berada di luar sistem kosmik yang mana kita berada di dalamnya, akan mempunyai sistem pengukuran yang berbeza dengan kita, asalkan kita berada di dalam sistem tersebut. Jika sifat alam material ini secara keseluruhannya berubah dengan cara di mana "masa" sebagai dimensi kosmik keempat, mengembang atau mengecut – atau, ringkasnya, semakin laju atau perlahan – pada keseluruhan sistem, kita tidak akan dapat mengukur atau menyedari perubahan tersebut. Bagaimanapun, seorang pemerhati yang berada di luar sistem kosmik yang kita tinggal ini dapat mengukur perubahan ini. Menurutnya, beliau akan memberikan memberikan pengiraan yang berbeza dengan apa yang dikira oleh kita, kerana kita tinggal dalam sistem ini. Apabila kamu meminta beliau untuk membandingkan umur manusia hari ini dengan umur manusia 15,000 tahun yang lepas, beliau akan memberikan angka yang berbeza walaupun kamu tidak dapat merasai perbezaannya. Sebuah perbezaan yang disedari di dalam sempadan material yang kamu tinggal di dalamnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *