Bahagian 2: Kecelaruan Demokrasi

PARTI Baiatu Lillah

 

Petikan dari Kitab Ketuanan Allah VS Ketuanan Manusia

 

KECELARUAN DEMOKRASI

 

1 – Kediktatoran yang berakar umbi di dalam demokrasi:

 

Fakta ini adalah jelas dalam realiti praktikalnya kerana apabila suatu doktrin pemikiran memperolehi kekuasaan melalui jalan parti tertentu, maka ia akan cuba memaksakan visi politiknya di negara tersebut dengan berbagai cara. Barangkali mereka akan berkata bahawa rakyat sendiri yang memilih dan membawa doktrin ini kepada kekuasaan.

 

Bagaimanapun, saya katakan: Rakyat telah meletakkan parti dan doktrin pemikiran ini atas tampuk kekuasaan berdasarkan apa yang wujud dalam medan politik semasa tempoh berlangsungnya pilihan raya. Padahal, rakyat tidak tahu menahu tentang urusan yang bakal berubah dalam setahun selepas itu. Oleh itu, apabila terjadi sesuatu yang membahayakan kepentingan agama atau duniawi mereka daripada pihak pemerintah, maka mereka tidak mampu lagi menolaknya, seperti pepatah mengatakan:"Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak…"

 

Beginilah caranya pemerintah seperti Hitler mendatangkan malapetaka di bumi setelah mendapatkan kekuasaan melalui pilihan raya dan demokrasi yang disebutkan itu. Jika ada bangkangan yang mengatakan bahawa apa yang berlaku di Jerman adalah disebabkan oleh ketidakmatangan demokrasi pada masa itu, maka anda perlu tahu bahawa kes yang sama juga berlaku di Itali pada masa kini. Malah di Itali, sekumpulan manusia mendapat kekuasaan lalu menyeret negara itu bersekongkol dengan Amerika dalam peperangan kotor terhadap Islam dan umat Islam. Walaupun rakyat Itali kini menentang kerajaan ini dan pembangkang menggesa pengunduran tentera Itali, tetapi pihak yang memegang kekuasaan berkeras untuk mengekalkan tentera Itali menduduki Iraq.

 

Beginilah kita melihat bagaimana diktator dan fasisme kini telah kembali ke Itali. Malah, kita juga melihat United Kingdom yang demokratik merupakan sekutu utama Amerika Syarikat dalam pendudukan Iraq dan pencerobohan terhadap Islam dan umat Islam. Berjuta-juta orang keluar membantah di jalanraya-jalanraya London mengutuk perang penjajahan kafir terhadap Islam dan umat Islam, namun sedikit pun tidak menjejaskan keputusan kerajaan British. Kesimpulannya adalah kediktatoran berakar umbi dalam teras Demokrasi.

 

2 – Negara demokrasi terbesar di dunia mengamalkan kediktatoran:

 

Walaupun, secara zahir rejim di Amerika Syarikat nampak demokratik, namun, ia masih mengamalkan bentuk penguasaan dan kediktatoran yang paling buruk ke atas penduduk dunia. Ini adalah percanggahan yang jelas kepada idea kesantunan demokrasi, yang wajib ditegakkan pada

semua orang di setiap tempat dan ketika, tanpa sebarang pengecualian.

 

Ini kerana Amerika mahu menghina dan menguasai penduduk bumi, di samping memperlakukan umat Islam khususnya dengan penuh kehinaan tanpa hormat, kerana Amerika tahu bahawa mereka akan berakhir di tangan Imam Mahdi AS, iaitu Imam bagi semua umat Islam. Malahan, umat Islam yang tinggal di Amerika Syarikat sendiri juga menderita akibat diskriminasi. Oleh itu, di manakah demokrasi?

 

3 – Demokrasi dan wang:

 

Tiada tempat di dalam demokrasi bagi orang-orang yang tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan pada propaganda, pembohongan, pemalsuan fakta, pembelian tentera upahan dan penjahat. Beginilah munculnya kuasa wang dalam sistem demokrasi dengan cara yang tidak normal. Parti dan organisasi mula merampas wang golongan fakir dan miskin melalui berbagai cara dan bermulalah cukai. Sebagai contoh di Amerika Syarikat, kawalan Yahudi terhadap perjalanan pilihan raya melalui wang dan kadar kejayaan yang dicapai sekurang-kurangnya tujuh puluh peratus dalam penentuan calon yang mereka mahukan berkuasa di Amerika Syarikat, bagi memastikan kelangsungan sokongan Amerika ke atas entiti Zionis.

 

Berkenaan isu pengiklanan yang palsu, berunsur penipuan serta peranan wang dalam demokrasi adalah isu yang sentiasa dibincangkan di dada-dada akhbar Amerika sendiri. Malah, saya masih ingat lagi beberapa tahun lalu, saya telah membaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang penulis Amerika mengesahkan bahawa demokrasi di Amerika Syarikat adalah hanya satu penipuan dan permainan sandiwara, kerana yang menguasainya tidak lain dan tidak bukan adalah helah, tipu daya dan wang.







 

4 – Demokrasi dan kebebasan:

 

Tiada sistem di dunia yang mengiktiraf kebebasan mutlak, bahkan sistem demokrasi meletakkan sekatan ke atas kebebasan individu dan kumpulan. Namun, apakah had untuk sekatan ini, yang mengurangkan kebebasan? Dan sehingga ke tahap manakah pihak berkuasa boleh membiarkan individu-individu dan kumpulan-kumpulan bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu?!

 

Sekatan-sekatan ke atas kebebasan di dalam ruang lingkup demokrasi diletakkan oleh manusia sendiri dan mereka pasti melakukan kesilapan, apatah lagi kebanyakan mereka hanya mengambil berat tentang keinginan memuaskan nafsu mereka semata-mata. Oleh itu, sekatan-sekatan di dalam demokrasi hanya dikenakan ke atas agama, reformasi (islah), menyuruh kepada kebaikan dan pencegahan kemungkaran. Ini kerana agama Tuhan iaitu undang-undang Tuhan adalah undang-undang yang bercanggah dengan undang-undang ciptaan manusia.

 

Malah, demokrasi membiarkan kebebasan bermaharajalela dalam menyempurnakan keinginan, kerosakan, keruntuhan moral dan tenggelam dalam maksiat yang dilarang oleh Allah. Oleh itu, keseluruhan masyarakat di mana demokrasi dilaksanakan telah bertukar menjadi masyarakat yang reput dan busuk, kerana undang-undang ciptaan manusia melindungi orang yang melakukan zina, rasuah, minum arak, wanita bogel dan berbagai bentuk kerosakan lagi.



 

5 – Demokrasi dan agama:

 

Sudah pastinya, agama Illahi mempunyai falsafah yang berbeza daripada falsafah demokrasi kerana agama Allah hanya mengiktiraf pelantikan yang dibuat oleh Allah (Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi) iaitu perlantikan Al  Mahdi AS, yang hanya mengiktiraf undang-undang Allah (Al-Quran) dalam era ini untuk umat Islam, Ilya AS dan kitab Taurat bagi orang-orang Yahudi, serta Isa AS dan kitab Injil bagi penganut Kristian. Jika ianya telah ditetapkan sedemikian, maka bagaimanakah orang-orang yang mengaku sebagai Muslim, Kristian atau Yahudi mendakwa dirinya beriman kepada Allah serta mengakui KetuananNya yang diwakili oleh Mahdi AS dan al-Quran, Isa AS dan Injil atau Ilya AS dan Taurat. Tetapi dalam masa yang sama, mengiktiraf ketuanan manusia dan demokrasi yang menyangkal teras agama Allah dan ketuanan Allah di muka bumiNya?

 

Oleh itu, sesiapa jua yang mengiktiraf demokrasi dan pilihan raya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan agama Allah, serta dianggap sebagai menolak semua agama dan Ketuanan Allah di muka bumiNya.

 

6 – Demokrasi dari buaian hingga ke liang lahad:

 

Ketika demokrasi mula mengatur langkah di mana-mana negara, maka terbentuklah berpuluh-puluh parti dan gelombang politik. Namun, disebabkan penipuan, pemalsuan, pembohongan, fitnah, pengiklanan dan wang adalah yang sebenar-benarnya berkuasa dalam sesebuah negara tersebut, maka dengan berlalunya masa, kebanyakan parti ditapis dan kebiasaannya hanya dua parti yang kekal di medan politik. Malah, natijah dan pengakhiran pahit adalah dominasi salah satu daripada kedua-dua parti ini di atas tampuk kepimpinan. Akibatnya, kemunculan semula diktator dalam bentuk demokrasi. Malah, kedua-dua negara-negara demokrasi terawal adalah bukti yang jelas kepada realiti ini kerana mereka sedang melalui fasa terakhir demokrasi. Kedua-dua negara ini adalah United Kingdom yang didominasi oleh Parti Konservatif dan Parti Buruh, serta Amerika Syarikat yang didominasi oleh Parti Republikan dan Parti Demokratik.

 

Pada fasa ini, parti-parti ini sedang dalam konflik mendapatkan dominasi mutlak bagi menerajui tampuk kekuasaan melalui fasa penghapusan pihak yang lemah. Begitu juga, manusia sedang melalui peralihan daripada demokrasi ke arah kediktatoran. Malah, dominasi dua parti dan ideologi menerajui kepimpinan dengan sendirinya adalah kediktatoran, apabila kita mengambil kira keserasian ideologi antara mereka dan tidak wujud lagi ideologi pembangkang yang sebenar.

 

Tambahan pula, jika tiada halangan berlaku selepas sekumpulan penyokong demokrasi mengambil alih tampuk pemerintahan dan menghapuskan pihak-pihak lain, maka demokrasi akan beralih kepada kediktatoran dalam sekelip mata.

 

Dalam hal ini, ahli falsafah Yunani Plato berkata: (Akan terserlah di kalangan pendokong demokrasi dan pelindung rakyat seorang yang paling ganas dan licik, beliau kemudian akan menafikan atau menidakkan golongan kaya, menghapuskan hutang, membahagikan tanah-tanah dan membentuk sendiri sebuah ketumbukan tentera untuk melindungi dirinya dari komplot bahaya. Rakyat akan berpuashati dengan beliau dan seterusnya melantik beliau sebagai pemerintah. Dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya dan menyibukkan rakyat serta membuatkan mereka sentiasa memerlukannya, maka beliau akan mengisytiharkan perang terhadap jiran-jirannya, sesudah berdamai dengan mereka sebelumnya. Ini adalah bagi memastikan keamanan di dalam negeri, di samping mencantas lawan atau pengkritiknya. Beliau akan menjauhkan dirinya daripada orang-orang mulia serta membawa masuk kumpulan tentera upahan dan veteran. Beliau memberikan ganjaran yang banyak kepada penyair-penyair yang kami usir dari kota kami dan sebagai tukaran kepada pujian-pujian mereka terhadapnya . Beliau merampas kuil-kuil, serta memeras rakyat untuk memberi makan kepada pengawal-pengawal dan pembantu-pembantunya. Pada ketika itu, barulah rakyat menyedari bahawa beliau telah beralih daripada kebebasan kepada kezaliman dan inilah kerajaan terakhir). Buku “The Republic” oleh Plato



Terdapat terlalu banyak percanggahan di dalam demokrasi, tetapi cukup sekadar saya nyatakan percanggahan-percanggahan ini secara ringkas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *