Delusi Atheisme: TEORI EVOLUSI DAN QURAN

TEORI EVOLUSI DAN QURAN
Teori evolusi adalah ungkapan tentang teori sains, oleh kerana itu, apabila kami menyebut teks-teks keagamaan yang bertepatan dengannya, ini bukanlah bermakna kami hendak menetapkan teori evolusi menerusi teks keagamaan. Tetapi apa yang kami inginkan adalah bagi memastikan teks keagamaan bertepatan dengan penemuan sains ini. Besar kemungkinan juga bagi memastikan kebenaran agama sekitar penetapan pengetahuan-pengetahuan ghaib yang terkandung dalam teks keagamaan, kerana mungkin dikatakan sebagai contohnya, Quran menyebutkan tentang evolusi di dalam firmanNya:
وَٱللَّهُ أَنۢبَتَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ نباتا
(Dan Allah telah menumbuhkan kamu dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna).
Sedangkan manusia tidak mampu menyingkapkan hakikat sains ini melainkan baru-baru ini, sekaligus memastikan kebenaran Quran dan kebenaran Muhammad Rasulullah SAW menerusi pengkhabaran ghaibnya lebih seribu tahun dahulu tentang hakikat sains sebelum ianya disingkapkan pada hari ini. Hal yang sama juga dikatakan pada pengkhabaran-pengkhabaran Keluarga Muhammad AS, ketikamana mereka telah mengkhabarkan lebih daripada seribu tahun dahulu tentang kewujudan NasNas atau makhluk yang menyerupai manusia (keserupaan manusia) sebelum kewujudan manusia lagi, dan kebenaran sains ini telah didedahkan sekarang. Berdasarkan kajian genetik yang menetapkan kewujudan manusia "Neinderthal" adalah berbeza genetiknya daripada manusia moden, begitu juga pendedahan tentang manusia "homo erektus " dan manusia "homo sapiens" di Afrika.
Firman Allah SWT:
Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat. Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat, Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang), Dan Allah telah menumbuhkan kamu dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna. (Surah Nuh; 14-17)
Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat: peringkat (طور) adalah perihal karakter yang meningkat naik atau maju. Dinamakan gunung sebagai peringkat (طور) kerana karakter ketinggiannya dan tingkatan naik dari kakinya. Dinamakan burung (طائر dan kata jamaknya طيور), kerana karakternya yang memiliki mekanisma kepak yang membolehkannya meningkat naik lebih tinggi daripada tempat asal persekitarannya. Dan peringkat-peringkat (اطوار), adalah perihal-perihal karakter yang meninggi dan meningkat naik. Dengan ini makna ayat "Dia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat" adalah : sesungguhnya Allah telah menciptakan kamu di masa lalu, yang mana penciptaan itu telah pun terlaksana dan selesai, serta melepasi kamu dengan hal keadaan yang berbagai-bagai, unik dan meningkat maju. Bererti peringkat-peringkat fizikal tubuh yang meningkatnaik atau maju secara progresif, yang telah kita lalui sehingga sampai kepada fizikal tubuh yang memiliki mekanisma kecerdikan yang ulung. Seterusnya menjadikan ia layak untuk berhubung dengan nafs (jiwa) Adam AS. Terlaksananya peringkat-peringkat kemajuan ini selama jutaan tahun bukanlah satu halangan, sehinggalah urusan ini sampai kepada fizikal tubuh yang bersesuaian untuk diturunkan nafs (jiwa) Adam AS, yang dipindahkan oleh seseorang dan berada di dalam rahim.
(Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat): Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana: bererti apabila kamu menginginkan pengetahuan bagaimana kamu diciptakan berperingkat-peringkat, maka persoalannya adalah menyamai persoalan penciptaan langit-langit. Oleh itu, jika makna berperingkat-peringkat yang dijelaskan sebelum ini masih lagi belum jelas buat kita, maka perihalnya adalah sama seperti tujuh petala langit yang berbeza-beza karakter, sebahagiannya lebih tinggi daripada yang lain dan sebahagiannya pula lebih baik kedudukannya berbanding yang lain. Ayat ini seterusnya membawa kita kepada natijah yang sama sebelum ini, iaitu fizikal tubuh Adam telah melalui peringkat-peringkat kenaikan atau kemajuan sebagaimana langit-langit digred berdasarkan peringkat-peringkat ketinggian dan kenaikannya.
Dan Allah telah menumbuhkan kamu dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna: saya mengandaikan ayat ini tidak perlukan lagi sebarang penjelasan kerana maksudnya amat jelas dan ayat ini mengatakan kamu adalah benih-benihan di muka bumi ini yang tumbuh dan memproduksi hasil.
Allah telah menumbuhkan kamu sebagaimana tumbuh-tumbuhan dan ia tidak terhasil secara serta-merta, tetapi berperingkat-peringkat dan meningkat naik. Di permulaannya ia adalah sebiji benih kecil yang ditabur di tanah dan menyerap air, yang kemudiannya menumbuhkan tumbuhan kecil daripada biji benih, tanah dan air, lalu tumbuhan ini membesar dan meningkat naik daripada satu peringkat ke satu peringkat, sehinggalah ia menjadi sempurna untuk menghasilkan buah-buahan. Inilah apa yang terjadi pada kamu. Peta genetik Allah dengan benih di atas muka bumi ini dan meningkat maju sehingga sampai ke penghujungnya dan merealisasikan tujuannya. Dengan izin Allah akan dijelaskan nanti bagaimana peta (genetik) ini adalah bukti yang jelas akan kewujudan Allah SWT, dan dengan ini teori evolusi menjadi bukti akan kewujudan Allah SWT dan bukan sebaliknya.
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati dari tanah. Kemudian kami jadikan "pati" itu air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. (Surah mukminun: ayat 12-14)
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah. Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari saripati air yang hina. (Surah as-sajadah: ayat 7-8)
Saripati (سلالة), adalah kumpulan terpilih dan disaring daripada yang lainnya untuk menjadikannya unik dan melebihkannya dari saringan yang lain. Makna firman Allah SWT: (Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati dari tanah), bererti manusia bumi yang pertama diciptakan adalah daripada kumpulan yang unik dan terbaik (saripati). Saripati itu terhenti silsilahnya ke tanah (سلالة من طين).
Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh dan Keluarga Ibrahim dan Keluarga Imran melebihi segala umat. (Surah Ali Imran: 33)
Sesungguhnya Allah telah memilih Adam: kerana Adam AS adalah manusia pertama di langit pertama dan mustahil untuk dikatakan bahawa: jiwanya (nafs) yang dipilih, kerana pemilihan itu mestilah terjadi secara berkumpulan. Pemilihan sebegini tidak mungkin bersesuaian melainkan ke atas fizikal manusia bumi yang berhubung dengan jiwa (nafs) Adam AS. Ini bermakna terdapat makhluk bumi lainnya yang dahulunya wujud dan Allah telah memilih fizikal Adam dari kalangan makhluk yang menyerupai manusia (keserupaan manusia). Pemilihan itu tidak berlaku melainkan dari kalangan yang menyamainya. Adam mempunyai fizikal tubuh yang sama seperti anak mereka dan sama seperti Adam pertama yang dipindahkan kepada mereka. Ini sekaligus membenarkan pendapat bahawa Dia telah memilih dari kalangan mereka. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa Adam dipilih berbanding makhluk-makhluk lainnya adalah tidak benar. Apa makna kamu berkata bahawa kamu memilih seorang manusia dari kalangan kelompok singa, lembu dan keldai dan seterusnya, adakah kata-kata sebegini mempunyai makna? Atau mungkin diucapkan oleh orang-orang yang mempunyai kebijaksanaan?
Firman Allah SWT: Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum, lalu kami pisahkan keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman? (Surah al-Anbiya: 30)
Lafaz air (ماء) di dalam ayat ini ditujukan untuk kewujudan keseluruhannya, bukanlah yang dimaksudkan sebagai air (H²O) yang kita ketahui di bumi, seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, tetapi ia hanya merujuk kepada kehidupan fizikal bumi sahaja dan ini menjadikan ayat ini memaknai hidupan di atas muka bumi ini bermula daripada air tanah (dan kami jadikan daripada air). Ini jelas bermakna bahawa permulaan kehidupan bumi ini dahulunya adalah daripada air tanah, sekaligus menjelaskan bahawa benih pertama untuk kehidupan dahulunya adalah dari persekitaran berair dan kandungannya terdiri dari kandungan tanah liat atau kimia. Ini amat bertepatan dengan teori evolusi. Adapun kelangsungan hidupan atas muka bumi ini bukanlah daripada air atau apa yang terkandung di dalamnya. Benar, mungkin dikatakan bahawa kelangsungan kehidupan pada air atau melalui perantaraan air, tetapi bukan daripada air. Oleh itu,kehidupan yang dibentuk daripada air dan tanah liat itu meliputi kehidupan pertama sahaja.
Diterjemah dari kitab Wahmul Ilhad, mukasurat 132-134.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *