Menanggapi Hadis Kemunculan Serentak Yamani, Khurasani dan Sufyani

Bismillah ar Rahman ar Rahim. Solawat ke atas Muhammad dan Aali Muhammad, para Imam dan Mahdi.
Assalamualaikum wa rahmatollah.
Antara hujah pihak Syiah Maraji’ dalam menimbulkan keraguan terhadap Imam Ahmad al Hassan a.s sebagai Yamani yang dijanjikan adalah hadis berikut:

وعنه ، عن سيف بن عميرة، عن بكر بن محمد الازدي ، عن أبي عبد الله عليه السلام قال: خروج الثلاثة: الخراساني والسفياني واليماني في سنة واحدة في شهر واحد في يوم واحد، وليس فيها راية بأهدى من راية اليماني يهدي إلى الحق .

Dan dari Saif bin Umaira dari Bakr Bin Muhammad al Azdi dari Abu Abdullah a.s: Keluarnya(khuruj-خروج)  yang tiga: Al Khurasani dan al Sufyani dan Yamani, di dalam tahun yang sama, di dalam bulan yang sama, hari yang sama, dan tiada panji di hari itu yang lebih mempunyai petunjuk dari panji Al Yamani, menunjuk ke arah kebenaran.” Ghaibat at Tusi
Mereka berhujah bahawa berdasarkan hadis ini, sepatutnya Yamani a.s harus keluar serentak dengan keluarnya Khurasani dan Sufyani, Imam Ahmad a.s telah keluar dahulu sebelum Sufyani dan Khurasani, maka ini menunjukkan pendakwaan beliau telah terbatal, berdasarkan hadis ini.
Bagi para pendokong kerajaan Wilayatul Faqih pula, mereka, atau kebanyakan dari mereka, mempunyai kepercayaan kuat bahawa Sayed Khamenei adalah Al Khurasani yang dijanjikan. Jadi mereka menisbahkan Al Khurasani sebagai pemimpin kerajaan Iran, atau kerajaan Iran sendiri.
InsyaAllah, saya akan cuba membuat penjelasan tentang pemahaman hadis ini, agar lebih tepat dengan riwayat-riwayat yang lain serta tidak bertentangan dengan logika akal. Penjelasan ini akan saya buat point by point, mengikut turutan.

Point 1: Makna Khuruj

Ramai orang yang berpegang kepada pemahaman hadis ini berpendapat perkataan “keluar” ini adalah sama dengan “kemunculan”. Adakah makna ini tepat? Berdasarkan riwayat-riwayat Aimmah a.s, perkataan khuruj, yakni keluar ini, lebih tepat difahami sebagai keluar berperang mereka berperang, keluarnya mengangkat senjata, bukanlah kemunculan pertama dan baru ingin mengumpul pengikut pada ketika itu. InsyaAllah, saya akan jelaskan perkara ini berdasarkan hadis-hadis berikut:
Imam al Sadiq(as): “Apabila Sufyani muncul, dia akan menghantar tentera kepada kami dan kepada kamu. Jika itu terjadi, datanglah kepada kami dengan setiap sa’ab atau thalul.” Bihar al Anwar, JIl. 52, hal 261;  
Imam Sadiq a.s menyatakan bahawa Sufyani l.a akan keluar dan keluarnya adalah terus dengan tujuan berperang. Maka jelas keluarnya dua lagi panji lain yakni panji Yamani dan Khurasani pada masa yang sama adalah untuk menentang tentera Sufyani l.a. Perkara ini jelas terdapat di dalam banyak riwayat, sehingga tidak perlu diragukan lagi.
Dari Imam Sadiq: “Al-Yamani dan as-Sufyani adalah seperti kuda yang bersaing.” (Ghayba oleh Nu’mani, hal. 305)
Di dalam skriptur Ibn Hamaad, telah tertulis bahawa  As Sufyani akan memasuki Kufah, menjarahnya selama tiga hari, membunuh 60,000 orang, dan akan tinggal di sana selama 18 malam. Pada ketika itu, panji hitam akan keluar dan ketika mereka sampai di air, pendokong Sufyani di Kufah akan mendengar khabar kedatangan mereka dan melarikan diri. Selepas itu, sekumpulan penduduk Kufah akan keluar, sedikit dari mereka yang bersenjata, dan dari kalangan mereka adalah penduduk Basrah. Mereka akan mengalahkan pendokong Sufyani dan mengumpul kekuatan semula dari apa yang dijarah mereka dari Kufah. Panji hitam kemudiannya akan memberi baiah kepada Imam Mahdi” Aser Az-Zuhur,  Sheikh Al-Kurani, hal. 125 
Jadi jelas setakat ini, keluarnya ketiga panji ini adalah keluarnya untuk berperang, memerangi antara satu sama lain, di dalam peperangan hak dan batil.

Point 2: Siapakah Tentera Yamani a.s

Baik, sekarang kita tiba ke persoalan seterusnya, di mana tentera Yamani a.s? Mari kita mengandaikan Al Khurasani memang benar kerajaan Iran sekarang. Maka kita akan ditinggalkan dengan persoalan di atas. Adakah beliau langsung tidak memerlukan sebarang tempoh untuk mempersiapkan para pengikutnya untuk revolusi yang mulia ini? Adakah pada waktu dan ketika beliau khuruj nanti, beliau hanya perlu mengatakan: “Wahai manusia, aku adalah Yamani, panji aku panji benar, jangan berpaling kerana anda akan masuk neraka, maka berilah baiah kepada ku, datanglah kepadaku!!” dan manusia lantas akan mempercayai beliau dan menyertai beliau? Ini langsung tidak masuk dengan logika akal. Logika akal menyatakan, untuk sesuatu peristiwa dengan magnitude ini, memerlukan suatu tempoh persediaan.
Ketika artikel ini ditulis, kita sudah melihat sudah dua tahun pihak Sufyani FSA di Syria, melancarkan pemberontakan, menambah kekuatan ketenteraan, menguatkan persenjataan dan melebarkan jaringan bantuan dari Amerika dan negara barat lain. Perlahan-lahan, mereka semakin berjaya mengatasi kemampuan ketenteraan Bashar Asad.
Al Khurasani pula mengambil masa lebih dua dekad, untuk memajukan kekuatan ketenteraannya, dari hanya tentera pejalan kaki selepas perang Iraq-Iran kepada sebuah pasukan yang berdikari, mempunyai sistem persenjataan canggih, buatan mereka sendiri, sehingga mereka menjadi sebuah “player” yang besar serta berpengaruh di rantau mereka. MasyaAllah.
Malangnya, walaupun dipaparkan dengan semua realiti ini, kumpulan Syiah Maraji’ mampu mempercayai bahaya Al Yamani a.s tidak memerlukan masa untuk mempersiapkan pengikutnya, dan hanya perlu keluar apabila tiba masanya nanti, dan menyeru, mencari-cari pengikutnya hanya ketika perang meletus. Ini memang memalukan bagi kumpulan yang mengaku mengikut Ahlulbait a.s untuk memiliki mentaliti serendah ini.
Panji paling tinggi, paling benar, paling memberi petunjuk, tidak memerlukan sebarang persediaan? Tahniah para pentaqlid marja’ sekalian. Riwayat Aimmah a.s menunjukkan tentera Yamani a.s, iaitu tentera berpanji hitam telah pun mengenali ketua mereka, ketika peperangan ini meletus.
Allah swt mempunyai perbendaharaan di Thaliqan yang bukan emas dan bukan juga perak, ianya adalah 12,000 orang dari Khurasan, bendera mereka adalah “Ahmad, Ahmad.” [Mutakhab Al-Anwar Al-Mudhi’ah, ms343] 
Tidak perlu dibuktikan lagi bahawa Ahmad ini adalah nama Mahdi Pertama di dalam wasiat Nabi s.a.w.a, mukmin pertama, yang juga merupakan sahabat pertama Imam Mahdi a.s dari Basrah.
Imam Ali (a.s) ketika dia membicarakan tentang sahabat-sahabat Imam keduabelas:“Yang pertama dari kalangan mereka adalah dari Basra dan yang terakhir dari mereka adalah dari Ibdaal (Syria).” [Bisharat Al Islam, ms 148]
Dan nama para sahabat dari Basrah disebutkan Imam Sadiq a.s: “Dan dari Basra adalah Abdul Rahman, Ahmad dan Maleeh.” [Bisharat Al Islam, ms 181]
Jelas dari riwayat di atas, ketika peperangan meletus, para tentera berpanji hitam sudah pun mengenali siapa ketua mereka, yakni Yamani a.s. Mereka sememangnya keluar mengangkat senjata, menuju kepada tuan punya mereka. Jadi, bagaimana untuk mereka mengenali tuan mereka, jika tidak ada persediaan atau dakwah sebelumnya bagi mengenalkan mereka dengan siapa Al Yamani a.s? Pasti, akan ada satu period dakwah oleh Yamani a.s, untuk mengenalkan manusia bahawa beliau pemilik panji kebenaran, membuktikannya dengan ilmu Adhaim dan sebagainya.
Saya tidak mahu masuk semula kepada isu pembuktian Yamani adalah Mahdi Pertama, dan beliau adalah ketua tentera berpanji hitam. Sudah wujud banyak artikel-artikel lepas membuktikannya. Antara riwayat lain yang menunjukkan bahawa para pengikut panji hitam ini sudah mengenali tuan mereka adalah seperti berikut:
Amirul Mukminin (a.s) telah berkata mengenai tanda-tanda akhir zaman: “Dan selepas itu orang-orang Arab akan bangkit, dan bangkitnya seorang lelaki dengan bendera hitam dari Basrahyang akan menuju ke Sham bersama-sama dengan pemuda-pemudanya.” [Alamat Akhir Al Zaman min Ali ibn Abi Talib oleh Ali Ashoor, ms274]
Baca bersama:

قال: حدثنا نعيم، حدثنا محمد (3) بن عبد الله أبو عبد الله التاهرتي عن عبد الرحمن بن زياد بن أنعم عن مسلم بن يسار عن سعيد بن المسيب، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (خرج من المشرق رايات سود لبني العباس، ثم يمكثون ما شاء الله، ثم تخرج رايات سود صغار تقاتل رجلا من ولد أبي سفيان وأصحابه من قبل المشرق، ويؤدون الطاعة للمهدي) (1).

Rasulullah (sawas) telah bersabda: “Seorang lelaki dari timur dengan bendera-bendera hitam kecil akan membunuh lelaki Sham, dan dia adalah seorang yang mentaati Al Mahdi (a.s).” [Al mahdi Al Maw’ood Al Muntazhar, bab 30, ms 328]
Saya kongsikan sekali lagi riwayat yang saya bawakan di point pertama:
Di dalam skriptur Ibn Hamaad, telah tertulis bahawa  As Sufyani akan memasuki Kufah, menjarahnya selama tiga hari, membunuh 60,000 orang, dan akan tinggal di sana selama 18 malam. Pada ketika itu, panji hitam akan keluar dan ketika mereka sampai di air, pendokong Sufyani di Kufah akan mendengar khabar kedatangan mereka dan melarikan diri. Selepas itu, sekumpulan penduduk Kufah akan keluar, sedikit dari mereka yang bersenjata, dan dari kalangan mereka adalah penduduk Basrah. Mereka akan mengalahkan pendokong Sufyani dan mengumpul kekuatan semula dari apa yang dijarah mereka dari Kufah. Panji hitam kemudiannya akan memberi baiah kepada Imam Mahdi“ Aser Az-Zuhur,  Sheikh Al-Kurani, hal. 125 
Cukup saya simpulkan setakat ini, tentera Thaliqan sudah mengenali siapa Ahmad yang menjadi moto mereka, begitu juga dengan para pemuda lelaki dari Basrah ini, yang sudah mempunyai pengikut ketika peperangan meletus. Jadi jelas mereka sudah mengenali siapa Yamani a.s. Maka cubalah fikirkan, bagaimana kita boleh menyertai “batch pertama” ini? Bagaimana caranya untuk kita berada dalam kumpulan yang sudah mengenali orang yang menyeru kepada Empunya Zaman ini(Riwayat Imam Baqir a.s)?

Point Ketiga: Tunggu Sufyani Keluar Dahulu?

Antara hujah mereka yang lain adalah apa yang mereka perlu lakukan untuk mengenali Yamani yang sebenar adalah menunggu sehingga Sufyani keluar dahulu, malah ada ulama jahil mereka yang mengatakan lebih baik tunggu sehingga Imam Mahdi a.s zuhur terlebih dahulu, kerana jarak masanya hanya 9 bulan, berdasarkan hadis berikut:

وعنه، عن ابن أبي عمير، عن عمر بن أذينة، عن محمد بن مسلم قال: سمعت أبا عبد الله عليه السلام يقول: إن السفياني يملك بعد ظهوره على الكور الخمس حمل امرأة.  ثم قال: أستغفر الله حمل جمل، وهو من الامر المحتوم الذي لابد منه . 

Dari Abu Abdullah a.s bersabda: Setelah kemunculannya, Sufyani akan memerintah lima kawasan selama tempoh kehamilan seorang wanita. Aku memohon keampunan kepada Allah, kehamilan seekor unta. Ini adalah perkara yang dijamin akan berlaku. (Ghaibah at Tusi)
Ulama tersebut dan jawaban balas kepada kenyataan beliau boleh dilihat di dalam siri berikut: Sejarah Pengkhianatan Berulang: Persamaan Kelmarin dan Hari ini
Baik, saya hanya akan menanggapi golongan yang mengatakan mereka ingin menunggu Sufyani keluar terlebih dahulu. Tetapi benarkan si terlaknat ini akan keluar terlebih dahulu? Kita kembalikan persoalan ini kepada lisan suci Aimmah a.s:

عنه، عن ابن فضال، عن ابن بكير، عن محمد بن مسلم قال: يخرج قبل السفياني مصري ويماني . 

Dari Ibn Faddal dari Ibn Bukair dari Muhammad bin Muslim, Imam Sadiq a.s bersabda: “Sebelum keluarnya Sufyani, adalah (keluarnya) Misri dan YamaniGhaibah at Tusi
Baik, hadis di atas jelas, menunjukkan Yamani datang sebelum Sufyani. Ini turut mendapat dokongan dari hadir berikut:
Al Fadhil bin Shat’an, daripada Mumar bin Khalad, daripada Abi Al Hassan (a.s) telah berkata: “Seolah-olah aku sedang melihat panji-panji berwarna hijau yang datang dari Mesir, sehinggalah kemudiannya akan keluar lelaki dari Shams, yang semakin mendekati anak si Pemilik wasiat.” [Irshad, jilid 2, ms 376]
Anak si pemilik wasiat jelas merujuk kepada Mahdi Pertama yang juga adalah Yamani a.s, anak Imam Mahdi a.s yang wujud di zaman kezuhurannya.
Nabi (sawas) memegang tangan Al Abbas dan tangan Ali (a.s) sambil berkata: “Di sana akan terdapat lelaki daripada keturunan lelaki ini (Al Abbas) yang akan memenuhi bumi dengan ketidakadilan dan penindasan, dan akan ada juga dari keturunan lelaki ini (Ali a.s) yang akan menyebarkan keadilan dan ketenangan. Apabila kamu melihat perkara ini berlaku, hendaklah kamu pergi kepada lelaki yang dia adalah Yamani, yang datang dari timur dan dia adalah seorang yang bersama-sama dengan panji Al Mahdi.” [Al-Mahdi Al-Muntather Al-Maw’ood bab 2, ms 207] 
Jadi bagaimana sekarang, panji yang dilarang untuk kita sama sekali berpaling darinya akan muncul dahulu sebelum Sufyani l.a. Tidak timbul persoalan untuk menunggu Sufyani kerana Yamani a.s muncul terlebih dahulu, dan kita diarahkan untuk pergi kepadanya apabila beliau khuruj. Saya ingin kongsikan beberapa hadis lagi yang jelas menunjukkan, ketika Sufyani muncul, Yamani a.s, panji terbaik telah pun ada dan “well established”:
Imam al Sadiq(as): “Apabila Sufyani muncul, dia akan menghantar tentera kepada kami dan kepada kamu. Jika itu terjadi, datanglah kepada kami dengan setiap sa’ab atau thalul.” Bihar al Anwar, JIl. 52, hal 261;
Daripada Khilad al Saig dari Abu Abdullah(as): “Al Sufyani adalah tidak dapat dielakkan, dan dia tidak akan muncul kecuali dalam bulan Rajab.” Seorang lelaki bertanya kepadanya: Ya Aba Abdillah, jika beliau muncul, bagaimana keadaan kami?” Dia menjawab: “Datanglah kepada kami.” Bihar al Anwar, jil 52, hal. 135 
Persoalan; Siapakan KAMI yang disebutkan di dalam dua hadis di atas? Al Khurasani? Tidak sama sekali, kita tidak ditaklifkan untuk mentaatinya, tetapi kita diancam neraka jika berpaling dari Yamani a.s. Adakah ia merujuk kepada Imam Mahdi a.s? Tidak juga, kerana Imam Mahdi a.s akan muncul selepas Sufyani. Jadi sudah pasti, KAMI adalah merujuk Ahlulbait a.s di zaman itu, yakni Mahdi Pertama a.s/Yamani a.s. Dan ia sangat logik sekali dan sangat padan apabila kita membaca semua riwayat ini secara bersekali. Alhamdulillah.
Imam Sadiq a.s mengarahkan kita menuju kepada “mereka” menunjukkan asas kekuatan Yamani a.s sudah pun terbina, sudah dikenali dan dapat dikenali. Ini jelas, seperti yang saya katakan di atas, membuktikan Yamani a.s akan keluar untuk beberapa tempoh yang agak lama untuk;
  • Mengenalkan dirinya
  • Membuktikan dirinya
  • Mengumpulkan pengikutnya
  • Mempersiapkan pengikutnya.
Ini barulah sealiran dengan riwayat Aimmah a.s dan akal logik, kerana Imam Ali a.s bersabda: “Kebatilan yang terancang akan mengalahkan kebenaran yang tidak terancang.”
Jadi, adakah panji terbaik, panji petunjuk, panji yang diperintahkan ditaati, diancam neraka jika berpaling, akan keluar dengan cara tidak terancang (i.e caca merba)? Tidak sama sekali. Jika ia akan keluar pada hari yang sama dengan Sufyani, dan pada ketika itulah baru dirinya ingin melakukan empat perkara di atas, maka ini adalah satu perkara yang tidak terancang, dan maha suci Allah sw. dari menjadikan panji kebenaran lantikannya sebagai caca merba seperti itu.

Penutup

Segala puji bagi Allah swt. Bagi orang yang berakal waras, riwayat dan cara pendalilan ini akan mencukupi baginya. Namun bagi orang yang penuh ego untuk menerima Hujjah Allah, dan memilih ketuanan manusia, para ulama ghairu amilin, maka mereka akan sentiasa mencari “sangkaan” untuk menolak ketuanan Allah. Saya tutup dengan satu persoalan kepada para Syiah Maraji’:
Katakanlah Imam Ahmad a.s bukanlah Yamani yang dijanjikan, maka dengan cara bagaimana kalian akan mengenali Yamani a.s yang sebenar nanti muncul? Keep in mind bahawa ia harus dilakukan dalam masa yang singkat, kerana Sufyani bakal muncul dalam masa yang sama. Adakah pada hari itu, kalian akan mudah mempercayai pendalilan dari beliau a.s juga? Adakah pada hari itu, kalian akan mempercayai pembuktian si pendakwa sebagai Yamani a.s?
Satu perkara lagi yang perlu difikirkan ialah, siapakah yang akan mengumumkan dan menetapkan bahawa si polan yang khuruj ini adalah Khurasani, atau Sufyani atau Yamani? Agar kita mengenali dan mengetahui bahawa "mereka" sudah keluar? Tepuk dada dan tanyalah kepada diri kalian sendiri.
Adapun pada saya, jika begini keadaanya, jawabannya berkemungkinan besar TIDAK. Sebab itulah saya menerima pendalilan di atas. Wallahualam
Yang Hina lagi Faqir, Ibnu Azmi

One thought on “Menanggapi Hadis Kemunculan Serentak Yamani, Khurasani dan Sufyani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *