APAKAH MAKNA ISMAH SEBENAR?

Makna Ismah menurut Imam Ahmad Al Hassan (as).

 

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Ya Allah, berselawat dan salamlah ke atas Muhammad dan Keluarga Muhammad, para Aimmah dan para Mahdiyyin dengan sejahterakanlah mereka dengan kesejahteraan yang melimpah ruah.

Seringkali timbul persoalan, “bagaimana Imam Ahmad Al Hassan (as) boleh tersalah membaca sesuatu atau tersalah menyebutkan perkataan, kemudian memperbetulkan semula bacaannya dan bagaimana seorang yang ma’sum boleh lupa atau membuat kesilapan-kesilapan kecil?”

Bertahun-tahun lamanya persoalan berkaitan dengan “ismah” dan apakah kualiti seorang ma'sum telah menjadi satu topik yang tidak pernah difahami sepenuhnya oleh umat Syiah. Sebelum ini, kita difahamkan bahawa seorang ma'sum tidak boleh berdosa, mahupun lupa atau boleh tersalah mengucapkan perkataan tertentu secara tidak sengaja, dan seorang ma’sum itu difahami secara harfiahnya adalah Peribadi Sempurna. Kelompok Sunni berpegang kepada hujah ini ketika berhadapan dengan kita dalam mempersoalkan pegangan Syiah, jika seorang ma’sum disifatkan dengan kesempurnaan seperti itu, maka pada asasnya anda mengatakan mereka mempunyai kualiti dan ciri-ciri yang sama sebagaimana Allah SWT. Hujah mereka adalah berasas dan betul keseluruhannya kerana itulah apa yang kita sebagai Syiah fahami.

Walaupun kita mempercayai sedemikian iaitu tentang apa dan bagaimana kita memahami ismah, namun kita masih lagi dibebankan dengan berbagai persoalan seperti mengapa kita mempunyai riwayat-riwayat yang menyebutkan bahawa Aimmah (as) atau Nabi (sawas) terlupa, atau mengapa Musa (as) pernah memohon kepada Allah untuk melonggarkan simpulan (kecacatan/ telor) dari lidahnya, membetulkan ucapannya. Atau mengapa Yusha bin Nun (as) yang ma’sum boleh terlupa dan tertinggal bekalan mereka di atas batu semasa beliau dan Musa (as) dalam pengembaraan mereka, sebagaimana yang diceritakan di dalam Quran.

Persoalan-persoalan ini kekal tidak terjawab kerana kekurangan kita dalam mengetahui makna sebenar “ismah” yang terkait dengan khalifah Allah dan Hujjat Allah di muka bumi, sehinggalah Imam Ahmad Al Hassan Al Yamani (as) mengutarakan dan mengajarkan kita makna sebenar ismah dan apakah punca-punca ismah serta kualiti seorang ma'sum.

Jika anda mengambil inisiatif untuk membaca ilmu Imam Ahmad Al Hassan (as), anda akan menyedari bahawa pengetahuannya adalah jauh melangkaui pengetahuan mana-mana ulama dan pengetahuan ini tidak boleh diperolehi melalui pembelajaran, yang mana ianya adalah ilmu ketuhanan yang hakiki dari Allah SWT, yang diserahkan oleh bapanya Imam Mahdi Muhammad bin Al Hassan Al Askari (as) kepada beliau (as).

Imam Ahmad Al Hassan (as) di dalam bukunya "Rihlatu Musa ila Majma’ Al Bahrain" menjelaskan segala-galanya dan setiap apa yang disimbolkan semasa pengembaraan Musa (as) ke pertemuan di antara dua lautan (Majma’ Al Bahrain). Imam Ahmad Al Hassan (as) di dalam buku ini mengaitkan keterlupaan rakan pengembaraan nabi Musa (as) iaitu nabi Yusha bin Nun (as) untuk mendefinisikan ismah.

Quran memberitahu kita tentang pengembaraan Musa (as) ke pertemuan antara dua lautan dan di pertengahan pengembaraan ini Musa (as) berhenti untuk makan bekalan mereka, tetapi Yusha’ bin Nun (as) menjawab kepada Musa (as) bahawa syaitan telah membuatkan dia terlupa dan mereka berpatah balik untuk mencari kembali bekalan mereka. Sekarang timbul dua soalan di sini, PERNAHKAH ANDA TERFIKIR BAGAIMANA MUNGKIN BAGI SEORANG NABI YANG MA’SUM DIMANIPULASI OLEH SYAITAN? dan BAGAIMANA SEORANG MA’SUM BOLEH LUPA? Sedangkan hakikat sebenarnya, syaitan laknatullah tidak mampu memanipulasi seorang maksum. Imam Ahmad Al Hassan (as) berkata bahawa syaitan di sini adalah berbeza daripada Iblis laknatullah.

Imam Ahmad Al Hassan (as) menjelaskan bahawa manusia mempunyai dua sisi iaitu sisi cahaya (nur) dan sisi kegelapan (dzulmah). Nisbah cahaya kepada kegelapan adalah bergantung kepada perbuatan seseorang. Syaitan adalah kegelapan (dzulmah) di dalam individu yang dijana oleh dosa seseorang dan syaitan dalam contoh Yusha bin Nun (as) semasa pengembaraan ini adalah bermakna kegelapan di dalam diri Yusha bin Nun (as). SEKARANG ANDA MUNGKIN BERTANYA “BAGAIMANA SEORANG MA’SUM BOLEH MEMPUNYAI KEGELAPAN (DZULMAH) DI DALAM DIRI MEREKA?”

Imam Ahmad Al Hassan (as) berkata sebab bagi titik kecil kegelapan di dalam diri seorang ma'sum adalah semata-mata untuk membezakan mereka dari Allah SWT. Allah adalah cahaya keseluruhannya dan tiada kegelapan padaNya. Jika seseorang maksum juga adalah cahaya keseluruhannya dan tiada kegelapan padanya, maka tidak akan ada faktor yang membezakan antara Pencipta dan makhluk. Oleh itu, dengan wujudnya titik kecil kegelapan yang tersangat halus dan tidak dapat dilihat oleh mata kasar ini, boleh memberi kesan buat mereka ke tahap di mana mereka terlupa atau tersalah mengucapkan perkataan sekali-sekala sepertimana kes nabi Yusha bin Nun (as) terlupa bekalan di atas batu.

Jika kita mengatakan bahawa para ma’sumin adalah sempurna ke tahap di mana mereka tidak boleh lupa atau tersalah dalam mengucapkan perkataan sekali-sekala, ini bermakna mereka adalah cahaya 100% dan 0 kegelapan dan ini adalah perbuatan syirik kepada Allah SWT. Disebabkan nisbah cahaya kepada kegelapan yang luar biasa bagi seseorang ma’sum itu, ia menyumbang kepada ismah mereka berdasarkan usaha dan keikhlasan di pihak mereka, dan di pihak Allah SWT pula menganugerahkan mereka ismah berdasarkan tahap usaha serta keikhlasan mereka ini. Allah SWT menganugerahkan mereka dengan petunjuk di mana mereka tidak mampu melakukan dosa dan tidak mampu mengeluarkan sesiapa pun dari kebenaran mahupun membawa sesiapa jua ke dalam kebatilan. Inilah makna sebenar "ismah". Harus diperhatikan juga bahawa lupa atau tersilap menyebutkan perkataan bukanlah dosa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *