CGPA 4.0: Hakikat Ilmu Aimmah (as) Dan Imam Ahmad (as) Kepada Mereka Yang Menghujahkan Kelemahan Beliau

CGPA 4.0: Hakikat Ilmu Aimmah (as) Dan Imam Ahmad (as) Kepada Mereka Yang Menghujahkan Kelemahan Beliau

Artikel ini perlu dinilai secara keseluruhan, bukan sekerat-sekerat

 

4-flatBismillah ar Rahman ar Rahim. 

 
Allahumma Solli ‘ala Muhammad wa aali Muhammad, Aimmah wal Mahdiyyin wa sallim tasliman katsira

 

Firman Allah swt:

 

Yunus (Jonas): 36.
 

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

 

 

Inilah hakikatnya yang dilakukan ramai orang dalam menilai peribadi Imam Ahmad(as). Mereka menjadikan sangkaan sebagai dalil bagi menimbulkan keraguan dalam diri mereka sendiri, agar mereka sentiasa syak dengan peribadi ini, sehingga mereka menjadi buta.

Antara hasil dari sangkaan yang mereka wujudkan dalam menilai peribadi Imam Ahmad(as) adalah beliau harus dan sepatutnya cemerlang dalam pelajaran, mendapat CGPA 4.0 dan sebagainya. Jelas ini menunjukkan kejahilan mereka terhadap sirah Imam Ahmad(as), malah kejahilan mereka tentang doktrin dimensi ilmu Aimmah(as) sendiri. InsyaAllah, ana akan menjawab dalam beberapa bahagian, yang menjelaskan tentang hakikat sangkaan yang mereka wujudkan.

 

Hakikat Pertama: Imam Ahmad al-Hasan(as) Belum Menjawat Jabatan Imamah Secara Total

 

Ini adalah hakikat pertama yang harus umat manusia fahami dalam menilai figur Al Yamani. Imam Ahmad(as) datang sebagai seorang wakil dan utusan dari Imam Zaman(as), bukan sebagai seorang yang sudah menjawat jabatan Imamah, yang mewarisi ilmu dari Aimmah sebelumnya SECARA TOTAL. Benar, beliau adalah Mahdi Pertama, washi Imam Mahdi(as), seperti mana Imam Ali(as) adalah Imam Pertama dan washi Nabi(s).

Sila rujuk artikel sirah beliau di sini: SIRAH KEHIDUPAN IMAM AHMAD AL HASSAN (A.S) DAN SEJARAH DAKWAHNYA SECARA RINGKAS

Pun begitu, di hari pengutusan beliau, seperti yang disebutkan di dalam hadis Sunni dan Syiah, apabila beliau dipersiapkan di dalam satu malam, maka beliau telah mewarisi ilmu yang diperlukan untuk membuktikan dirinya sebagai seorang hujjah, Al-Yamani dan Mahdi Al-Awwal. Maka penilaian ilmu harus bermula dari pengutusan beliau, bukan sebelumnya.

 

عن ضريس الكناسي قال: سمعت أبا جعفر عليه السلام يقول: (إن صاحب هذا الامر فيه سنة من يوسف ابن أمة سوداء يصلح الله أمره في ليلة واحدة). 1 ـ بحار الأنوار ـ للمجلسي ـ ج51 ص218. 2 ـ الغيبة ـ للنعماني ـ باب ما روي في صفته وسيرته وفعله وما نزل من القرآن فيه. 3 ـ كمال الدين وتمام النعمة ـ للصدوق ـ باب ما أخبر به أبو جعفر محمد بن علي الباقر عليهما السلام.

 

Diriwayatkan dari Yazid al-Kanasi: “Aku mendengar Abu Ja’far (Imam Baqir as) berkata, “Sesungguhnya pemegang urusan ini pada dirinya (mengikuti) sunnah dari Yusuf putra seorang wanita budak hitam. Allah akan melancarkan urusannya dalam satu malam.” (al-Ghaibah/an-Nu’mani, hal 163)

 
Hakikat Kedua: Bilakah Waktunya Imam Ahmad(as) Diajarkan Ilmu Dari Imam al Mahdi (as)?

 

Lalu mereka akan pertikaikan, jika beliau diajar ilmu oleh Imam Mahdi(as), maka sepatutnya tesis beliau, pencapaian akademik beliau adalah superb dan exellent dan lain-lain. Di sini sekali lagi mereka berbuat sangkaan yang murahan.

 

 

Pertama sekali, saya tertanya-tanya juga, adakah mereka mempunyai bukti bahawa Imam Ahmad(as) tidak mendapat pencapai akademik yang cemerlang? Katakan jika tidak cemerlang, adakah ada bukti pencapaian akademik beliau begitu buruk sehingga gagal atau “atas pagar”? Juga tiada. Namun saya di sini akan mengandaikan beliau gagal. Adakah ada kesan kepada saya?

 

Jawabannya tidak. Di sini saya quote kan beberapa perenggan dari artikel sirah ringkas hidup beliau.

 

Imam Ahmad Al Hassan (a.s) sebelum ini menetap di Basrah yang terletak di selatan Iraq.Menyempurnakan pengajian akademiknya dan berjaya memperolehi ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Beliau (a.s) kemudian berpindah ke kota suci Najaf dan menetap di situ bagi meneruskan pengajian dalam ilmu-ilmu keagamaan. Namun setelah menghadiri beberapa siri halaqah pengajian dan menyemak sukatan pelajaran di Hawzah (pusat pengajian ilmu agama) Al Najaf. Beliau (a.s) dapati kecacatan yang besar dalam manhaj pembelajaran yang digunapakai. Ini kerana mereka mempelajari bahasa Arab, mantiq, falsafah, usul fiqh, ilmu kalam (aqidah) dan feqah (hukum-hakam syariat) tetapi mereka tidak mempelajari Al Quran dan Al Sunnah yang mulia (hadis-hadis Rasulullah SAWA dan para Imam alaihim salam). Begitu juga mereka tidak mempelajari Akhlak Ilahi yang wajib diamalkan oleh setiap mukmin.

 

Tujuan utama beliau (a.s) memasuki Hawzah Ilmiah di Najaf adalah berdasarkan visi yang dilihatnya, yang mana Imam Al Mahdi (a.s) mengarahkannya supaya memasuki Hawzah Ilmiah di Najaf dan mengkhabarkan kepadanya apa yang bakal diperolehinya, dan terbukti ianya berlaku sepertimana yang telah dikhabarkan kepadanya.

 

Sebelum memasuki tahun 1999, Sayyid Ahmad Al Hassan (a.s) telah bertemu dengan bapanya Imam Al Mahdi (a.s) di alam nyata. Imam Al Mahdi (a.s) telah memperturunkan ilmunya dan mengarahkan beliau (a.s) mengikut arahannya. Pada penghujung tahun 1999 dengan arahan Imam Al Mahdi (a.s), beliau (a.s) telah mengkritik hebat kebatilan yang berlaku di Hawzah dan menuntut mereka melakukan pembaharuan dari segi keilmuan, amalan dan kewangan. Protes dan kritikan bagi menuntut pembaharuan ini berterusan sehingga ke tahun 2002, apabila Imam Mahdi (a.s) mengarahkan Sayyid Ahmad Al Hassan untuk memberitahu orang ramai bahawa dia (a.s) adalah utusan Imam Mahdi (a.s) dan seterusnya mengajak mereka beriman kepadanya. Pada tahun yang sama di bulan Julai bersamaan Jamadil Awwal 1423 hijrah di kota suci Najaf, bapanya Imam Mahdi (a.s) mengarahkannya (a.s) supaya mengajak keseluruhan manusia bahawa namanya disebutkan di dalam wasiat Rasulullah (SAWA) di malam sebelum kewafatannya.

 

Boleh faham? Ini bermakna, ilmu Imam Mahdi yang diperturunkan kepada beliau adalah setelah beliau menghabiskan pelajarannya. Maka ilmu beliau harus diadili setelah permulaan dakwah, bukan sebelumnya, ini barulah satu penilaian yang adil. Bacalah kitab-kitab beliau, dan jawaban-jawaban yang beliau berikan dalam isu-isu berkaitan, itulah caranya kita menilai ilmu beliau.

 

Hakikat Ketiga: Ada Perbezaan Antara Ismah dan Ilmu Aimmah

Hujah yang paling kerap ana dengari adalah: “Seorang yang ma’sum itu perlu ada ilmu ghaib atau ilmu yang diwarisi.”

 

Pertama sekali, saya andaikan definasi “ilmu ghaib” di sini adalah ilmu yang diwarisi dari Hujjah sebelumnya dan ilmu yang harus para Aimmah ketahui dengan izin Allah kerana, ada banyak ahadis yang menunjukkan para Imam menafikan mereka memiliki ilmu ghaib, melainkan apa yang diwarisi. Saya bagi satu contoh di sini:

 

ما رواه الكشي في الصحيح عن ابن أبي عمير، عن شعيب، عن أبي بصير، قال قلت لأبي عبد الله (ع) إنهم يقولون! قال: و ما يقولون قلت يقولون تعلم قطر المطر و عدد النجوم و ورق الشجر و وزن ما في البحر و عدد التراب، فرفع يده إلى السماء، و قال: سبحان الله سبحان الله لا و الله ما يعلم هذا إلا الله.

 

Shaikh Kashi meriwayatkan sebuah hadis sahih dari Ibn Abi Umair, dari Shu’aib, dari abi Baseer, yang berkata: Aku berkata kepada Abi Abdullah (as): “Sungguh mereka mendakwa!” Imam(as) bertanya: “Apa yang mereka dakwakan?” Aku berkata: “Mereka mendakwa kamu mengetahui bilangan titisan hujah, bilangan bintang dan dedaun di pokok, berat apa yang ada di dalam laut dan bilangan butiran pasir.” Maka Imam(as) mengangkat tangannya ke arah langit dan bersabda: “Subahanallah! Subhanallah! Tiada yang mengetahui semua ini kecuali Allah(swt).

 

الاحتجاج – الشيخ الطبرسي – ج ٢ – الصفحة ٢٨٨

 

Hadis lain:

 

Yahya bin Abdullah bin al Hassan dan aku bersama dengan Abul Hassan(as), dan Yahya bertanyakan kepada beliau: “Semoga aku menjadi tebusan mu, mereka menyangka kamu mengetahui ilmu ghaib.” Beliau bersabda: “Subhanallah! Letakkanlah tanganmu di atas kepalaku.” Dan bila aku melakukannya, setiap helaian rambut di atas kepalaku dan badanku berdiri tegak. Kemudian beliau bersabda: “Tidak demi Allah, ianya tiada apa melainkan apa yang kami telah warisi dari Nabi(s).”

 

Sumber: Al-Amaali by Sheikh Mufeed,Ch 3,Pg 23,H 5. Status:Sayyed al-Khoie:”Saheeh Sanad” (Mu’jam Rijaal al-Hadeeth 21/69)

 

Baik, ini adalah sedikit sebanyak istilah tentang ilmu Aimmah(as). Bagaimana pula dengan kemaksuman?


حدثنا محمد بن الحسن بن أحمد بن الوليد رضي الله عنه قال حدثنا محمد بن الحسن الصفار عن أحمد بن محمد بن عيسى عن الحسين بن سعيد عن حماد بن عيسى عن إبراهيم بن عمر اليماني عن سليم بن قيس الهلالي عن أمير المؤمنين علي بن أبي طالب ع قال إن الله تبارك و تعالى طهرنا و عصمنا و جعلنا شهداء على خلقه و حججا في أرضه و جعلنا مع القرآن و جعل القرآن معنا لا نفارقه و لا يفارقنا

 

Ameer Al-Mu’mineen `Ali bin Abi Taalib (عليه السلام) bersabda: “Sesungguhnya Allah(tabaraka wa taala) telah menyucikan kami dan menjadikan kami ma’sum(ismuna) saksi ke atas ciptaannya, dan hujjahNya di muka bumi, dan menjadikan kami bersama Quran dan menjadikan Quran bersama kami. Kami tidak berpisah dengannya dan tidak juga ia berpisah dengan kami.”

 

Sumber: Al-Sadooq, Kamaal Al-Deen, jil. 1, bab. 22, hal. 240, hadis # 63

 

Dari hadis di atas, jelas kemaksuman itu bererti suci dari dosa, terjagaan dari melakukan perkara keingkaran kepada perintah Allah swt. Pendapat ini juga dimiliki oleh Syeikh Saduq(ra).

 

Seseorang yang mengingkari Allah tidak boleh ditaati; dan “sesungguhnya ketaatan itu untuk Allah dan Rasulnya dan Ulil Amri.” Sesungguhnya, Allah memerintahkan manusia untuk mentaati para Rasul kerana mereka adalah tiada dosa dan suci, yang tidak akan mengarahkan manusia untuk mengingkari Allah, dan sesungguhnya Dia mengarahkan manusia untuk mentaati Ulil Amri adalah kerana mereka juga tiada dosa dan suci, dan tidak akan mengarahkan manusia untuk mengingkari Allah.” (Ilal al-Sharaye’, Shaikh al-Saduq, J1, Hal. 123).

 

Ini sekaligus bertepatan dengan Ayatul Tathir yang menjadi dalil kemaksuman Ahlulbait(as), bahawa mereka disucikan dari semua jenis kekotoran, al Rijs.


إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذۡهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجۡسَ أَهۡلَ ٱلۡبَيۡتِ وَيُطَهِّرَكُمۡ تَطۡهِيرٗا

Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji). (33:33)

Dari sini dapatlah disimpulkan akan wujudnya perbezaan antara Ismah dan keperluan/keberadaan Ilmu Aimmah(as). Kemaksuman itu dinisbatkan dari nas, dan jika seseorang itu maksum berdasarkan nas, maka beliau akan maksum dari kecil, bagi memastikan keterjagaan dari sebarang bentuk kekotoran dan dosa. Ilmu seorang Hujjah pula diwarisi secara sempurna apabila kewafatan Imam sebelumnya.

 

Contoh mudah, ketika Imam Ali(as) menjadi Imam, beliau merupakan hujjah ALlah yang diberi mandat sempurna, maka segala ilmu Rasulullah(s) diwarisi kepada beliau sahaja. Bonda Zahra(sa) juga ma’sum, namun beliau tidak mewarisi ilmu Rasulullah(s). Begitu juga Imam Hassanain(as) yang masih muda ketika itu juga adalah ma’sum, namun oleh kerana mandat Imamah itu belum dipegang oleh mereka, maka ilmu Rasulullah(s) tidak mereka punyai. Apa yang mereka ada hanyalah setakat mana yang diajarkan oleh Imam Zamannya, yakni Imam Ali(as).

 

Begitulah juga kesnya dengan Imam Ahmad(as). Beliau ma’sum(ditsabitkan melalui hadis wasiat) dan terjaga dari sebarang dosa dan kekotoran, namun ilmu beliau hanyalah setakat apa yang diperturunkan oleh Imam Zaman(aj).

 
Hakikat Keempat: Kemaksuman Tidak Boleh Diuji

 

Apabila dikatakan kepada mereka bahawa bahawa Imam Ahmad(as) ini ma’sum, terjaga dari dosa dan sebarang jenis kekotoran, maka lantas mereka menyatakan niat mereka untuk menguji kema’suman yang dipunyai beliau. Mereka ingin memantau atau mencari-cari kesalahan beliau. Apalah kejahilan yang mereka tampilkan ini. Sekali lagi metod mereka meleset dari ajaran Ahlulbait(as), kerana Aimmah sendiri menyatakan kema’suman ini harus ditsabitkan dengan nas, serta ianya tidak dapat dinilai dengan mata kasar.

 

Imam Zainal Abidin berkata: “Para Imam dari kalangan kami semestinya maksum. Kemaksuman bukanlah satu ciri-ciri luaran yang dapat dikenalpasti, oleh sebab itu ia perlu dinukilkan di dalam Nas.” Beliau kemudian ditanya, “Wahai anak Rasulullah(sawa), apakah yang dimaksudkan oleh maksum?” Beliau menjawab, “Ia adalah ciri orang yang memegang kuat tali Allah, dan tali Allah ialah al Quran. Mereka tidak berpisah antara satu sama lain sehingga hari kebangkitan, dan Imam ialah pemandu ke arah(kefahaman) Al Quran, Al Quran pula ialah panduan kepada para Imam, yang merupakan maksud kepada firman Allah swt, “Sesungguhnya Al Quran itu adalah panduan ke jalan kebenaran.” [Ma`ani al-Akhbar, ms. 132, no. 1]

 

Hadis di atas sudah sangat jelas sehingga tidak lagi memerlukan kepada apa-apa penjelasan.

 
Hakikat Kelima: Dimensi Ilmu Aimmah(as): Waktu Kesempurnaan Ilmu Seorang Imam

Saya telah terangkan dalam hakikat sebelum ini bahawa ada beza antara kema’suman dan ilmu Aimmah(s). Jika seseorang itu ditsabitkan secara nas, maka kema’sumannya adalah dari kecil, namun ilmu ghaib(lihat definasi ilmu ghaib di atas) belum dipunyai olehnya. Makanya, bilakah waktunya seorang Imam itu menjadi seorang a’lam sepenuhnya dengan ilmu ghaib selayaknya sebagai seorang hujjah rujukan para makhluq di muka bumi?

 

Kembalilah kepada hadis Ahlulbait(as) yang ana ambil dari Kitab al Kafi, Kitab al Hujjah Bab 52:

 

(293)-1. Muhammad bin Yahya, daripada Ahmad bin Muhammad, daripada al-Hasan bin Sa‘id, dariapda Ali bin Asbat, daripada al-Hakam bin Miskin, daripada sebahagian sahabat kami berkata: Aku telah berkata kepada Abu Abdillah a.s tentang bilakah [imam] yang akhir mengetahui apa yang ada pada [imam] yang pertama? Beliau a.s telah berkata: Pada minit akhir sebelum pemergian rohnya.

 

(294)-2. Muhammad, daripada Muhammad bin al-Husain, daripada Ali bin Asbat, daripada al-Hakam bin Miskin, daripada ‘Ubaid bin Zurarah dan kumpulan bersamanya berkata: Kami telah mendengar Abu Abdillah a.s telah berkata: Orang yang selepas imam mengetahui ilmu imam sebelumnya pada minit akhir sebelum pemergian rohnya”

 

Jadi, seorang Imam itu mewarisi ilmu dari Imam sebelumnya di masa kewafatannya. Tidak kiralah berapa pun umur Imam yang baru itu, beliau akan mewarisi ilmu kepunyaan bapanya. Kes ini dapat dilihat dalam contoh Imam Muhammad al Jawad(as), yang mana disebabkan oleh kewafatan bapanya ketika beliau masih kecil, namun disebabkan hukum ilmu Aimmah akan diwarisi dengan wafatnya Imam yang akhir, maka dapat kita lihat Imam Al Jawad sungguh berilmu dan mampu berdebat dengan ulama senior di zamannya. Ini di sebabkan oleh ilmu yang beliau warisi dari bapanya. (Boleh baca kisahnya di sini)

Namun oleh kerana Ahmed Al-Hasan adalah hujjah yang berbicara ketika ini, menjadi utusan Imam Al-Mahdi bagi mempersiapkan umatnya, maka beliau telah diajarkan ilmu yang perlu untuk membuktikan dirinya, SELEPAS PENGUTUSAN BELIAU. 

Pendapat Ulama Muktabar Berkenaan Ismah dan Ilmu
 
Kebanyakan orang Syiah terkeliru perbezaan antara kemaksuman dan ilmu. Telah saya bahaskan di atas secara berdalil, seorang yang maksum, boleh sahaja masih belum mewarisi Imamah atau ilmu dari bapa mereka, atau hujjah sebelumnya. 
 
Mereka mengatakan seorang maksum itu harus berilmu dalam setiap bidang dan terbaik dalam segala hal. Ini memerlukan pembuktian hujah dari sisi mereka. Hakikat ini juga tidak dipersetujui oleh ulama muktabar Syiah. Saya berikan contoh di sini Syeikh Saduq dan Sayed Fadlullah.
 
"Berkenaan tahap ilmu mereka ( para maksumin), ia adalah isu yang berlainan (dengan isu kemaksuman). Terdapat ulama yang mengatakan para maksumin tidak mempunyai ilmu ghaib, seperti Sayed al Murtadha dan sekumpulan besar ulama awal mempercayai bahawa Nabi dan para Imam tidak mempunyai apa-apa ilmu lain selain daripada apa yang telah ditugaskan kepada mereka untuk didakwahkan, berkaitan ajaran agama dan fiqh. Berkenaan dengan bidang keilmuan yang lain seperti fizik dan kimia, ia adalah bidang yang mereka tidak punyai ilmu di dalamnya." 'Al Ijtihad' oleh Ayatullah Fadlullah, halaman 240
 

 

ويقول الشيخ الطوسي أيضاً في كتابه المذكور: «ولم نوجب أن يكون [الإمام] عالماً بما لا تعلُّق له بالأحكام الشرعية

Syeikh Tusi menulis di dalam kitabnya, Talkhis al Shafi, Jilid 1, halaman 252: "Adalah tidak wajib untuk seorang Imam mempunyai sebarang ilmu yang tidak berkaitan dengan hukum syariat."

 
Kesimpulan
 
Ilmu merupakah salah satu dari 3 kaedah utama untuk mengenal seorang Hujjah Allah, dan penilaian ilmu ini harus bermula dari waktu pengutusan mereka. Waktu bagi seorang hujjah Allah mewarisi ilmu ketuhanan adalah berbeza-beza mengikut waktu pengutusan mereka, jadi ada waktu di mana mereka masih belum dibukakan ilmu ketuhanan yang berada dalam hati mereka. Ini boleh kita lihat jika kita mengkaji riwayat-riwayat para Imam Ahlulbayt(as).
 
Contoh, Imam Ali tidak boleh memahami tulisan Parsi apabila disuruh Rasulullah, atau Imam Hasan dan Husain mempunyai tutor, atau Isa belajar ilmu pertukangan dari seorang ghair maksum dan banyak lagi contoh dari sejarah jika kita meletakkan kefahaman bersandarkan dalil, bukan waham tersendiri.
 
Maka, nilailah ilmu Ahmed Al-Hasan di masa kini. Telitilah penulisan-penulisan beliau dalam tafsir kitab-kitab samawi, hadis, eskatologi, biologi, fizik dan sebagainya. Kami mencabar kalian membuktikan terdapat kecacatan dan kecelaan dalam ilmu beliau kini. Ini barulah kaedah sebenar.
 
Wasalam wr wb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *